Menang sorak kampung tergadai

Hamas isytihar menang
Rejim Zionis undur tentera ke sempadan kerana desakan antarabangsa

GAZA: Operasi ketenteraan Israel dilancarkan sejak Sabtu lalu di Semenanjung Gaza hampir tamat ketika
pergerakan Hamas mengisytiharkan kemenangan semalam selepas berkata rejim Zionis itu dipaksa mengundurkan tenteranya kembali ke sempadan.

“Musuh sudah ditewaskan,” kata jurucakap Hamas.

Operasi Hot Winter meragut lebih 100 nyawa penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak di tengah bantahan antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai itu yang memaksa pemimpin Palestin membatalkan semua rundingan damai.

“Serangan hampir tamat. Hampir semua anggota kami sudah kembali ke Israel,” kata jurucakap tentera kepada AFP.

Kereta perisai Israel mula berundur dari kem pelarian Jabaliya di utara Gaza, kata saksi semalam manakala radio awam Israel melaporkan operasi itu memang sudah berakhir.

Rejim Zionis meneruskan kekejaman di Gaza semalam dalam usaha menghalang bedilan roket yang disasarkan ke selatan Israel dari Semenanjung Gaza selepas berikrar untuk memusnahkan pejuang.

Lima aktivis Palestin terbunuh dalam serangan pesawat Israel dan tembakan ke arah Semenanjung Gaza oleh angkatan laut rejim, kata pegawai keselamatan Palestin.

Pesawat tempur Israel melancarkan lima lagi serangan terhadap bengkel besi di seluruh Semenanjung Gaza, selepas dua serangan terdahulu lewat kelmarin memusnahkan sebuah bengkel besi dan mencederakan seorang.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, berjanji meneruskan operasi darat dan udara yang mengorbankan 78 penduduk Palestin Sabtu lalu berikutan kematian seorang penduduk awam Israel minggu lalu dan mencetuskan kritikan tajam antarabangsa ke atas wilayah Yahudi itu.

Malah sekutu paling rapat Israel, Amerika Syarikat, menggesa keganasan dihentikan dan kembali ke meja rundingan.

Presiden Mahmoud Abbas menggantung semua hubungan dengan Israel berhubung serangan itu, yang bukan saja membunuh pejuang tetapi turut meragut nyawa ramai wanita dan kanak-kanak Palestin. � AFP

Sumber: Berita Harian 04/03/08

Ulasan:

Menang? Menang dalam kekalahan – itulah hakikat sebenar apa yang berlaku. Bukanlah kita tidak gembira dengan berita ini, namun sesungguhnya kaum Muslimin tidak pernah menang di bumi Palestin sejak pencerobohan entiti Yahudi. Saban hari mereka di bunuh oleh entiti Yahudi laknatullah dan apabila entiti Yahudi berhenti mengganas pula, mereka akan berbunuhan sesama sendiri antara Fatah dan Hamas. Kemudian, entiti Yahudi menyerang lagi dan membunuh lagi, dan apabila serangan dihentikan, mereka ingin berdamai lagi dengan pembunuh mereka. Selepas itu, entiti Yahudi menyerang lagi, kemudian pihak berkuasa Palestin menangguhkan rundingan damai. Kemudian rundingan di sambung semula. Selepas itu entiti Yahudi membunuh lagi…..dan begitulah seterusnya dan berterusannya episod pembunuhan dan pengkhianatan yang berlaku.

Apakah ini mereka panggil sebagai kemenangan, di saat kaum Yahudi terkutuk ini masih tetap menguasai tanah Palestin dan hanya memberikan secebis darinya kepada rakyat Palestin. Apakah ini mereka panggil kemenangan di saat mereka hanya memiliki sekangkang kera dari tanah mereka sendiri dan membiarkan selebihnya kepada entiti Yahudi. Apakah ini mereka panggil kemenangan di saat pemerintah negeri-negeri umat Islam yang lain membiarkan saudara-saudara mereka dibunuh habis-habisan oleh entiti Yahudi? Ternyata, mereka nampaknya menang sorak tapi kampung tergadai.

Sesungguhnya masalah Palestin tidak akan selesai selagi mana tidak adanya tentera-tentera kaum Muslimin yang bergerak ke sana untuk menghalau dan meghapuskan entiti Yahudi dari tanah yang diberkati itu. Dan sesungguhnya hal ini tidak akan berlaku selagi mana yang memimpin umat Islam sekarang adalah pemerintah-pemerintah bacul yang kasihkan dunia dan takutkan mati. Semoga Daulah Khilafah segera tegak untuk memberikan kemenangan yang sebenar kepada rakyat Palestin di bawah pimpinan seorang Khalifah yang tidak takut kecuali kepada Allah Azza wa Jalla. Di saat itu, beliau akan membawa bendera La ilaha illallah Muhammad Rasulullah dan memacakkannya di bumi yang penuh berkat itu tanda kemenangan hakiki telah dicapai oleh umat Islam. Insya Allah.