Menanggapi Isu Balak Menurut Perspektif Islam

Peristiwa banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat apabila tersebarnya gambar-gambar balak yang dihanyutkan arus deras. Desas-desus mendakwa aktiviti pembalakan ini merupakan punca banjir dan arus deras yang melanda di Pahang. Lalu muncul desakan dan kritikan yang ditujukan kepada golongan elit yang mengaut laba daripada aktiviti pembalakan tatkala rakyat kebanyakan menderita akibat kesannya.

Sesungguhnya syariat tidak melarang pemanfaatan sumber hasil bumi, namun kita perlu memastikan aktiviti-aktiviti pemanfaatan itu tidak mengundang mudarat dan kerosakan yang terjadi akibat pelaksanaannya. Dengan kata lain, aktiviti pembalakan wajib dijalankan secara lestari bagi menjamin keberlangsungan biosfera termasuklah kehidupan manusia.

Di samping itu, antara perkara lain yang wajib dipatuhi ialah dari perspektif kepemilikan (ownership) dan pengagihannya (distribution). Praktik pembalakan dalam sistem kapitalis hari ini merupakan ‘lubuk’ kekayaan milik sesetengah pihak, baik penguasa mahupun kroni-kroni mereka.

Dari sisi pemilikan, kekayaan alam hasil balak yang terdapat dalam suatu wilayah telah ditetapkan oleh syarak sebagai hak umum (rakyat), bukan hak pemerintah atau individu mahupun kelompok-kelompok tertentu (seperti golongan elit). Maka, hasil dari pembalakan wajib dipulangkan kepada rakyat, bukannya masuk ke kantung-kantung selainnya.

Dengan kitaran hak kekayaan syarie seperti ini, nasib rakyat akan terbela. Bahkan hasil pembalakan dapat dijadikan sebagai modal pusingan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan hutan-hutan balak.

Negara juga boleh mengambil langkah proaktif untk membuka tanah-tanah baru agar rakyat dapat menikmati peluang menjana pendapatan melalui sektor guna tanah secara efisien.

Inilah sekilas aturan syariah terhadap hutan, balak dan tanah. Kesejahteraan dan kemakmuran serta keberkatan dari langit dan bumi akan dapat dikecapi jika negara menerapkan syariah dan memiliki pemimpin yang beriman dan bertakwa.

Ridhuan Hakim

Pimpinan Pusat HTM