Meneladani Rasulullah (saw) dan Sahabat Dalam Menghadapi Wabak

Satu perkara baik yang dapat kita saksikan ketika Covid-19 melanda seluruh dunia pada hari ini ialah meningkatnya ruhiyah umat Islam. Ruhiyah yang dimaksudkan di sini ialah idra’ silah billah (hubungan dengan Allah). Di saat wabak Covid-19 ini, semakin ramai yang mula memperkatakan dan berkongsi hal-hal bersifat ruhiyah baik secara video, audio mahupun penulisan. Ramai yang sudah melahirkan kebergantungan kepada Allah (swt), apatah lagi tatkala munculnya kesedaran bahawa tidak ada makhluk yang dapat melawan tentera Allah, Covid-19 ini.

Pada waktu inilah kita menyaksikan ramai golongan agamawan, dan juga umat Islam mula memperkatakan cara untuk melawan wabak ini menurut ajaran Islam. Sudah banyak berlegar nasihat daripada banyak pihak yang mengajak umat Islam untuk menangani isu wabak ini sesuai dengan tuntutan nas, walaupun sebelum ini mereka tidak pernah berbicara mengenai nas dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Wabak bukanlah persoalan yang baru muncul di zaman mutakhir ini, malah telah lama wujud di dunia ini, termasuklah di zaman Rasulullah (saw) dan para sahabat. Justeru di sinilah pentingnya untuk kita mengkaji dan memahami apakah yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan para sahabat dalam keadaan wabak. Ini kerana, apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) sudah pasti merupakan perintah Allah (swt) kerana baginda (saw) tidak melakukan sesuatu berdasarkan hawanya, tetapi berdasarkan apa yang diwahyukan kepadanya.

Apabila muncul situasi penularan penyakit, Rasulullah (saw) memerintahkan kepada kaum Muslimin agar tidak memasuki kawasan wabak, manakala bagi yang berada dalam kawasan wabak agar tidak keluar darinya. Kalau dalam keadaan sekarang, hal ini bolehlah disamakan dengan kaedah lockdown atau kawalan pergerakan. Hal ini bagi memastikan wabak tersebut tidak terus menular, dan ia dapat dihapuskan atau setidaknya dapat diminimumkan kerosakan yang diakibatkan olehnya. Sabda Rasulullah (saw),

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا

“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka jangan kalian tinggalkan tempat tersebut” [HR Bukhari].

Ada pun sebesar manakah tempat atau daerah wabak untuk diasingkan, maka hal ini sudah tentu terpulang kepada pemerintah yang akan menentukannya berdasarkan fakta yang terjadi dan nasihat pakar.

Selain dapat melihat samada hukum syarak dipatuhi atau tidak dalam keadaan ini (sebagaimana hadis di atas), kita juga dapat melihat polisi dan kebijaksanaan pemerintah dalam menangani masalah ini, dan kesannya. Di Malaysia contohnya, kerajaan Malaysia telah terlewat mengambil langkah pencegahan apabila pada peringkat awal Covid-19 ini sudah dikesan yang berpunca dari Wuhan, China, kerajaan masih membuka pintu masuk kepada pelancong yang datang dari sana. Akibatnya virus tersebut telah menular ke negara ini, dan terjadilah apa yang kita lihat sekarang.

Pada masa Umar al-Khattab (ra) menjadi Khalifah, wabak (tha’un) telah menular di Syam, dan beliau pada waktu itu sedang dalam perjalanan menuju ke Syam.

أَنَّ عُمَرَ خَرَجَ إِلَى الشَّامِ فَلَمَّا جَاءَ سَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الْوَبَاءَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّامِ فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

“Bahawa Umar sedang dalam perjalanan menuju ke Syam. Ketika tiba di tempat bernama Sargh, Umar mendapat khabar adanya wabak di wilayah Syam. Abdurrahman bin Auf kemudian berkata kepada Umar bahawa Rasulullah (saw) pernah bersabda, ‘Jika kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Tetapi jika terjadi wabak di tempat kalian berada, maka jangan tinggalkan tempat tersebut” [HR Muslim].

Diriwayatkan bahawa Umar dengan segera membuat keputusan untuk berpatah balik ke Madinah. Tindakan ini dibuat dengan tujuan mematuhi hadis Rasulullah (saw) yang sekali gus bertindak sebagai hukum as-sababiyyah (sebab-akibat) yang akan memutuskan rantaian wabak.

Terdapat hadis dalam konteks yang sama di mana Rasulullah (saw) tidak membenarkan satu delegasi untuk masuk ke Madinah apabila diketahui terdapat seorang yang berpenyakit kusta dalam kalangan mereka.

عَنْ يَعْلَى بْنِ عَطَاءٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ الشَّرِيدِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَ فِي وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ

“Dari Ya’la bin ‘Atha dari ‘Amru bin asy-Syarid dari bapanya dia berkata; “Dalam delegasi Tsaqif (yang akan membaiat Rasulullah) terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Maka Rasulullah (saw) mengutus seseorang untuk menyampaikan kepadanya: ‘Kami telah menerima baiat anda, oleh itu pulanglah” [HR Muslim].

Sebagaimana diketahui, baiat adalah suatu yang wajib dilakukan kepada Rasulullah (sebagai ketua negara) dan pada waktu itu kebiasaannya dilakukan dengan cara berjabat tangan secara langsung. Akan tetapi dalam kes di atas, ternyata Rasulullah (saw) memerintahkan baiat dari jarak jauh kerana adanya penyakit yang boleh berjangkit, yang boleh mendatangkan dharar (bahaya) kepada yang lain.

Selain itu terdapat juga hadis di mana Rasulullah (saw) memerintahkan agar diasingkan antara yang sihat dan yang sakit. Sabda baginda (saw),

لَا تُورِدُوا الْمُمْرِضَ عَلَى الْمُصِحِّ

“Janganlah kalian mencampurkan (unta) antara yang sakit dengan yang sihat” [HR Bukhari].

Begitulah sekilas nas daripada sekian banyak nas yang menunjukkan sikap dan perintah Rasulullah (saw) dan para sahabat dalam menghadapi wabak. Mereka melakukan ikhtiar untuk menghindari wabak bagi memastikan ia tidak menular dan membahayakan lebih banyak pihak.

Jadi, siapa sahaja yang menggunakan dan saling berpesan dengan hadis ini, maka benarlah ia.

Namun, apa yang wajib kita ingati ialah, jangan hanya menggunakan hadis ini sahaja, apatah lagi hanya menggunakan hadis di saat adanya musibah. Jangan hanya kembali kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) dengan jalan memilih-milih nas yang kita suka sahaja. Ribuan lagi hadis lain yang Rasulullah (saw) memerintahkan kita agar menerapkan hukum Allah (swt), agar menegakkan hududullah, agar menjauhi riba, agar menjauhi rasuah, agar jangan sombong, agar jangan memfitnah orang lain, agar tidak melakukan maksiat, agar melakukan amar makruf nahi mungkar, agar tidak berhukum dengan hukum kufur seperti demokrasi, agar menegakkan negara Islam (Khilafah) dan banyak lagi. Kesemua hadis tersebut wajib diamalkan, sama ada kita suka atau tidak atau di saat kita susah mahupun senang.

Fikirkanlah berapa banyak daripada perintah Allah (swt) dan Rasul-Nya yang kita telah langgar selama ini sehingga Allah (swt) menurunkan pelbagai azab kepada kita di dunia ini, dan ingatlah bahawa azab Allah (swt) di akhirat itu jauh lebih dahsyat lagi bagi mereka yang mengambil sebahagian hukum dan meninggalkan sebahagian yang lain. Nauzubillah min zalik.

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Dan Allah sekal-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan” [Al-Baqarah (2):85].

 

Abdul Hakim Othman