Mengapa Satu Muharram Dijadikan Tahun Baru Hijriyah?

Penetapan kalendar tahun baru Islam ditetapkan ketika Umar bin al-Khattab ra menjadi Khalifah (13-23 H/634-644 M), iaitu setelah beliau melakukan musyawarah dengan para sahabat Rasulullah SAW. Perkara yang dijadikan asas penetapan bukanlah hari kelahiran Nabi SAW dan bukan juga hari wafatnya iaitu 12 Rabiul Awal, tetapi ditetapkan berdasarkan hijrah Rasulullah SAW.

Persoalannya, jika penetapannya berdasarkan hijrah Nabi SAW, maka mengapa tanggal 1 Muharram bukannya bulan Rabiul Awal? Sedangkan riwayat yang paling kuat tentang peristiwa hijrah menyatakan bahawa hijrah Nabi SAW dan Abu Bakar ra dari Mekah ke Madinah berlaku di bulan Rabiul Awal [Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, Juz VIII/575].

Hijrah dijadikan sebagai kalendar Tahun Baru Islam atas usulan Ali bin Abi Thalib. Alasan beliau kerana itulah hari Nabi SAW meninggalkan wilayah syirik. Umar ra bersetuju dan menegaskan bahawa hijrah itu telah memisahkan antara yang haq dengan yang batil, antara Islam dengan kekufuran [Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, Juz VIII/576 dan 577].

Jadi mengapa ditetapkan pada tanggal 1 Muharram bukannya bulan Rabiul Awal? Ibn Hajar al-Asqalani mengutip penjelasan as-Suhaili bahawa dasar penetapan sahabat itu merujuk pada firman Allah:

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ

“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya [TMQ at-Taubah (9): 108].

Para sahabat memahami bahawa yang dimaksud ‘hari pertama’ dalam ayat ini bukan hari pertama secara mutlak. Namun hari pertama yang sudah tetap yaitu hari ketika Nabi SAW tiba di Quba’, hari Islam mendapatkan kemuliaan. Nabi SAW juga dapat menunaikan ibadah kepada Rabb-nya dengan aman dan tenang. Oleh itu, hari yang dijadikan asas penetapan ialah ‘hari pertama kemenangan’ [Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, Juz VIII/575-576]. Soalnya bilakah hari pertama itu?

Para sahabat akhirnya menetapkan 1 Muharram sebagai ‘Hari Pertama’ di tahun baru. Itulah merupakan hari pertama, di bulan pertama setelah kemenangan yang mereka raih pada Bai’at Aqabah II. Bai’at yang menandakan penyerahan kekuasaan (istilam al-hukm) daripada kaum Ansar kepada Nabi SAW. Bai’at Nusrah wa Man’ah, iaitu sumpah setia untuk memberikan pertolongan dan perlindungan kepada Nabi SAW dan agamanya.

Bai’at Aqabah II ini terjadi di pertengahan bulan Dzulhijjah, maka awal bulan berikutnya iaitu 1 Muharram ditetapkan sebagai ‘Hari Pertama’ kemenangan itu. Inilah penjelasan yang memuaskan akal dan menenteramkan hati, mengenai sebab dipilihnya 1 Muharram sebagai tahun baru Islam. Tahun yang menandakan kemenangan Islam dan umatnya setelah Bai’at Aqabah II, dan Islam mendapatkan kekuasaan dengan berdirinya Negara Islam di Madinah.

Bai’at Aqabah II inilah yang ditakuti oleh Iblis, sehingga ia naik di atas bukit dan berteriak agar rahsia Rasulullah SAW diketahui oleh kaum kafir Quraisy [al-Mubarakfuri, ar-Rahiq al-Mahtum, hal. 138]. Iblis yang takut dengan peristiwa Bai’at ‘Aqabah II telah menyusup dalam pertemuan kaum kafir Quraisy di Darun Nadwah dengan menjelma sebagai orang-orang tua renta. Ketika Nabi SAW mengetahui Bai’at ‘Aqabah II tersebut diketahui oleh Iblis, dengan segera Nabi SAW mengarahkan kepada kaum Ansar untuk kembali dan tutup mulut. Atas sebab itu, ketika kaum Quraisy mendatangi kaum musyrik Yatsrib termasuk Abdullah bin Ubay bin Salul, tidak ada seorang pun di antara mereka yang mengetahui peristiwa tersebut.

Aqabah terletak di Mina. Sebagaimana sabda Nabi SAW, Mina itu ‘Ma Baina al-Jabalain’ [Lembah yang terletak di antara dua gunung]. Tempat ini sangat tersembunyi yang tidak jauh daripada tiang Aqabah iaitu tempat para jemaah haji melempar Jumrah Aqabah pada 10 Dzulhijjah. Tidak jauh daripada tempat itulah Bai’at ‘Aqabah II dilaksanakan oleh Nabi SAW. Di tempat kini berdiri Masjid Bai’at yang dibina oleh Khalifah Abu Ja’far al-Manshur, Khalifah kedua di era Khilafah Abbasiyah.

Ketika kaum kafir Quraisy tidak mengetahui maklumat tentang Bai’at Aqabah II daripada orang-orang Yatsrib selain informasi daripada Iblis tadi, maka mereka pun merasa tenang. Sehingga akhirnya apa yang mereka takutkan itu benar-benar menjadi kenyataan setelah Nabi berhijrah meninggalkan Mekah dengan selamat daripada pengejaran kaum kafir Quraisy hingga tiba di Madinah. Abdullah bin Ubay juga baru mengetahui setelah Nabi SAW sampai di Tsaniyatu al-Wada’ ketika disambut begitu luar biasa oleh penduduk Madinah.

Dengan demikian, Bai’at ‘Aqabah yang merupakan bai’at nushrah wa man’ah itu menjadi tonggak kemenangan. Bai’at tersebut bukan bai’at untuk kenabian dan kerasulan, tetapi bai’at untuk memberikan kekuasaan kepada Nabi SAW. Bai’at inilah yang kemudian dijadikan sebagai pedoman sahabat dalam perlantikan Khalifah sebagai pengganti Nabi SAW. Dengan ba’iat ini para sahabat berijmak melantik Abu Bakar as-Shiddiq menjadi Khalifah.

Imam an-Nawawi dalam kitabnya Raudhatu at-Thalibin dan Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sulthaniyah kemudian menjadikan bai’at ini sebagai metode tetap dalam perlantikan Khalifah. Perkara ini merujuk kepada perlantikan Abu Bakar ra berdasarkan kepada Bai’at Aqabah II iaitu ketika Nabi dibai’at untuk mendapatkan kekuasaan demi menerapkan pemerintahan berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

[Alih bahasa]

Penulis: KH Hafidz Abdurrahman