Mengapa Timur Tengah Membara? Analisis Perang Terbuka Amerika-Yahudi dan Kesudahannya

Wilayah Timur Tengah kini berada dalam suasana perang serantau berskala besar yang bermula dengan serangan mengejut dan dahsyat ke atas Iran. Lingkaran sasaran ini kemudiannya meluas merangkumi Lubnan, dengan kemungkinan “bola api” ini akan terus bergolek menuju ke Yaman dan negara-negara lain di rantau ini.
Dalam konteks ini, timbul persoalan mendesak tentang motif sebenar di sebalik peningkatan ketegangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini: Adakah ia berlaku secara tiba-tiba, atau merupakan hasil perancangan awal yang bertujuan melakar semula peta politik dan geopolitik rantau ini sepenuhnya?
Tipu Daya Diplomasi dan Niat Tersembunyi
Walaupun golongan optimis menaruh harapan pada rundingan yang berlangsung antara Amerika dan Iran, fakta di lapangan menunjukkan bahawa pentadbiran Trump telah lama menyimpan niat untuk melancarkan perang ini. Kerahan tentera besar-besaran, yang melibatkan kapal pengangkut pesawat, kapal perang, dan ratusan jet tempur, menjadi bukti niat Washington untuk memukul sasarannya tanpa mengira keputusan rundingan.
Nampaknya, Iran telah diperdaya dengan gambaran seolah-olah ada kemungkinan penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak, sedangkan matlamat sebenar adalah untuk menghapuskan ruang pergerakan (maneuver) Iran sepenuhnya, memaksa mereka menghentikan pengayaan nuklear, serta melumpuhkan proksi dan kumpulan militia serantaunya.
Meniru Senario Venezuela untuk Pertukaran Rejim
Antara kejutan terbesar dalam perang ini adalah penyasaran langsung ke atas pemimpin tertinggi rejim Iran, terutamanya Khamenei – yang mana pemerhati terkejut melihat beliau dibiarkan di lokasi yang mudah diserang – serta pembunuhan tokoh penting seperti Menteri Pertahanan, Ketua Staf Tentera, Komander Pasukan Pengawal Revolusi (IRGC), dan lain-lain.
Besar kemungkinan Amerika tidak bertujuan untuk meruntuhkan negara Iran sepenuhnya sehingga menjadi huru-hara total, sebaliknya mahu mengulangi senario Venezuela. Rancangan ini bergantung kepada penghapusan sayap yang menentang Amerika bagi memberi laluan kepada tokoh politik yang lebih fleksibel dan patuh dari dalam rejim itu sendiri untuk mengambil alih kuasa. Nama-nama seperti Presiden Masoud Pezeshkian dan Javad Zarif muncul sebagai pilihan berpotensi untuk bekerjasama dengan Barat, bagi menukar Iran menjadi sebuah Daulah Wadziifiyyah (Functional State / Negara Berfungsi) yang biasa, yang meninggalkan proksi luarnya dan hanya menumpukan pada urusan dalaman.
Peranan Entiti Yahudi
Di sisi lain, entiti Yahudi bertindak sebagai penggerak utama dalam pertembungan ini, di mana Perdana Menterinya, Netanyahu, memberikan tekanan hebat untuk mendorong Amerika memilih jalan ini. Kebimbangan utamanya adalah untuk melucutkan senjata nuklear Iran dan memusnahkan sistem peluru berpandunya. Menghapuskan keupayaan nuklear Iran serta menghalang mana-mana negara serantau lain daripada memiliki keupayaan nuklear adalah matlamat strategik entiti Yahudi.
Taktik Balas dan Kedudukan Proksi Iran yang Mengelirukan
Berhadapan dengan serangan ini, pelan ketenteraan Iran bergantung secara eksklusif kepada pencegahan peluru berpandu (missile deterrence) dalam usaha mewujudkan perang berpanjangan (war of attrition) terhadap Amerika dan entiti Yahudi bagi mendatangkan kerugian material yang maksimum.
Iran memfokuskan serangannya ke atas pangkalan Amerika di negara-negara Teluk dan wilayah Palestin yang diduduki, sambil mengelak – mungkin secara sengaja – daripada menyasarkan pangkalan Amerika di Turki demi menjaga hubungan sejarah dan mengelak daripada memprovokasi negara anggota NATO sebesar itu.
Sebaliknya, Iran tidak teragak-agak menggunakan baki keupayaan ketenteraan terhad kumpulannya di Lubnan untuk melancarkan roket ke wilayah Palestin yang diduduki, walaupun ia bakal membawa kemusnahan kepada Lubnan dan penderitaan kepada komuniti Syiah serta memalukan pemimpin politik kumpulan tersebut di hadapan penyokong dan kancah politik Lubnan. Ini mencerminkan keterdesakan rejim Iran untuk menggunakan semua kad yang ada tanpa menghiraukan pertimbangan politik.
China dan Rusia: Permainan Perang Saraf dan Kepentingan Besar
Di pentas antarabangsa, timbul syak wasangka bahawa Beijing dan Moscow memberikan sokongan rahsia dari segi maklumat dan teknologi ketenteraan canggih kepada Tehran. Adalah menjadi kepentingan kuasa besar ini untuk membiarkan Amerika terjerat dan lemah di “padang pasir” Timur Tengah sebelum Washington beralih untuk menghadapi mereka secara global. Amerika juga menyasarkan perang ke atas Iran ini untuk memutuskan bekalan minyak kepada China, sebagaimana yang dilakukan di Venezuela, selain menguasai wilayah yang menjadi laluan Laluan Sutera (Silk Road) China.
Projek Menyeluruh Amerika untuk Rantau Ini
Pertempuran ini tidak terhad kepada menundukkan Iran semata-mata, tetapi sebahagian daripada strategi menyeluruh Amerika untuk memperketat hegemoni di wilayah Timur Arab. Amerika berusaha memecahbelahkan rantau ini kepada wilayah-wilayah kecil berasaskan etnik dan mazhab agar mudah diuruskan dan ditukarkan menjadi zon pelaburan besar bagi syarikat-syarikatnya. Projek ini berjalan seiring dengan usaha gigih mempromosikan naratif “Agama Ibrahimiyyah” dan memerangi sebarang bentuk gagasan “Islam Politik” serta menjadikannya sesuatu yang terlarang.
Senario Terbuka
Rantau ini kini berada di persimpangan dengan dua senario utama:
(1) Kejayaan Amerika: Mesin perang dan konspirasi Amerika berjaya menjatuhkan kepimpinan Iran sedia ada dan menggantikannya dengan barisan yang setia kepada Amerika untuk melaksanakan pelan Barat – ini akan mengukuhkan hegemoni Amerika untuk beberapa dekad akan datang.
(2) Ketabahan Iran: Iran mampu menyerap kejutan dan bertahan dalam war of attrition. Kejayaan Iran untuk bertahan akan menggagalkan rancangan Amerika dan memberikan tamparan politik yang hebat kepada Trump dan Netanyahu, terutamanya dengan menjelangnya pilihan raya Amerika, menjadikan mereka terpaksa membayar harga yang mahal atas pengembaraan yang tidak diperhitungkan ini.
Persoalannya, adakah Iran akan mengejutkan dunia dengan keupayaannya untuk bertahan dan mematahkan keangkuhan Amerika serta entiti Yahudi?
Ditulis oleh: Ahmad al-Qasas