Mengembalikan Hukum Al-Quran dan As-Sunnah
Oleh : Iman Farhana
Menjadi seorang Muslim merupakan sebuah nikmat terbesar bagi orang-orang yang beriman. Al-Quran dan assunnah memandu kehidupan dalam segala aspek sehingga terserlah pada diri seorang Muslim ketakwaan dan keperibadian yang terpuji. Halal dan haram menjadi kayu ukur dalam setiap tingkah laku. Oleh itu, seorang Muslim yang beriman tidak akan bertindak sesuka hati. Seorang Muslim yang bertakwa tidak akan menzalimi dan menganiaya orang lain. Kehidupannya penuh dengan kebaikan. Kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah menjadikan seorang Muslim sangat istimewa kerana mampu menyelesaikan segala konflik dengan baik. Apatah lagi apabila penerapan hukum Al-Quran dan As-Sunnah bukan hanya di peringkat individu, tetapi diterapkan melalui peranan sebuah negara seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika memerintah Daulah Madinah. Semasa Rasulllah SAW mendirikan Daulah Islam yang pertama telah memastikan perlembagaan Daulah Islam Madinah adalah sepenuhnnya mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah. Muslim dan non-Muslim dapat menikmati hak-haknya sebagai seorang manusia tanpa sebarang diskrminasi bangsa dan kerakyatan. Keharmonian dan kedamaian dalam kehidupan benar-benar pernah wujud ketika Daulah Islam memerintah daripada zaman pemerintahan Rasulullah SAW sehinggalah zaman pemerintahan Daulah Uthmaniyah. Namun, keindahan era pemerintahan Daulah Islam telah hilang sejak jatuhnya Daulah Uthmaniyah. Akibatnya, penerapan hukum Islam dalam pelbagai aspek juga hilang. Al-Quran dan As-Sunnah tidak lagi menjadi panduan utama dalam diri individu, apatah lagi oleh pemerintah negara-negara sekular hari ini. Al-Quran kini hanya berfungsi pada bulan Ramadan untuk dilagukan, bukan untuk direalisasiakan.
Dalam sistem pemerintahan negara sekular hari ini, kemaksiatan dibenarkan ada di mana-mana. Kemaksiatan dan kemungkaran wujud di kiri, kanan, atas dan bawah kita. Hari demi hari, kita semakin sukar membezakan antara halal dan haram kerana normalisasi maksiat diterima dengan baik di tanah umat Islam ini. Tanpa sedar atau tidak, kita menerima konsert sebagai hiburan di hujung minggu, malah artis pujaan dipuja dan dipuji sehingga menjadi idola di hati. Si peminat berhabis ratusan dan ribuan ringgit demi menterjemahkan cinta dan setia kepada artis kesayangan. Peminat hiburan datang dari kota dan ceruk kampung, menaiki bas, membayar tol, berpanas, berhujan, dan berhimpit lelaki perempuan di tengah-tengah ribuan manusia demi menikmati persembahan memukau dengan nyanyian dan sorakan. Tanpa ada rasa segan silu umat Islam turut menari mengikut alunan muzik dan irama. Inilah gambaran biasa di bumi merdeka ini. Apabila kemaksiatan sudah menjadi nadi kebahagiaan, maka kemaksiatan sudah tidak dikenal sebagai maksiat. Ini hanyalah salah satu daripada banyaknya pengabaian hukum al-Quran dan assunnah. Dalam aspek ekonomi, negara umat Islam ini sedang menjadi sebahagian pelaksana sistem ekonomi kapitalis yang dibawa oleh Barat. Sistem Ekonomi Kapitalis menjadikan riba yang haram sebagai tunjang sumber pendapatan. Selain itu, sistem sosial yang berasal barat yang sedang berjalan hari ini juga berkiblatkan kebebasan sehingga wanita bebas berpakaian mengikut fesyen dan gaya yang disukainya. Sistem sosial yang berakidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) ini memberikan kebebasan kepada wanita untuk mempamerkan pesona tubuh walau di mana-mana mereka berada. Tiada undang-undang menyekat kemaksiatan ini. Kesannya, pergaulan lelaki dan wanita semakin rancak. Kedua-dua jantina ini tanpa segan silu bermesra di khalayak ramai sambil merangkul kemas di pinggul masing-masing sedangkan tiada ikatan sah antara kedua-duanya. Kes kelahiran tanpa pernikahan menunjukkan kroniknya zina di bumi yang kita cintai ini. Semua ini hanyalah secebis daripada ribuan bahana daripada pengabaian hukum al-Quran dan assunnah.
Segala bencana yang menimpa umat Islam ini sudah ternukil dalam Al-Quran melalui firmannya, “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-ku, Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keaadaan buta” [TMQ (20) Taha: 124].
Allah telah memberikan ancaman kepada sesiapa yang berpaling daripada Al-Quran melalui firmannya,
“Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya (Qarin)” [TMQ Az-Zukhruf (43):36].
Jadi, tidak hairanlah apabila banyak mala petaka yang terjadi dalam kehidupan umat Islam hari ini. Semuanya berlaku apabila umat Islam tidak lagi hidup dengan panduan al-Quran dan assunnah.
Adakah kita sanggup untuk terus jauh daripada petunjuk yang membawa kita ke syurga? Al-Quran dan As-Sunnah merupakan hidayah daripada Allah SWT kepada sekalian manusia. Al-Quran adalah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” [TMQ al-Isra’ (17): 9].
Oleh itu, wajib bagi kita mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah agar kita memahaminya seterusnya melaksanakan segala perintah yang terkandung di dalamnya dan meninggalkan larangan-Nya. Sebagaimana besarnya tanggungjawab kita untuk tunduk kepada isi Al-Quran dan As-Sunnah, besar lagilah tanggungjawab sebuah negara untuk memastikan perlembagaan yang menjadi asas pegangan sesebuah negara wajiblah berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Negara bertanggungjawab menerapkan sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial, perundangan yang berpaksikan akidah Islam yang bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Agama Islam tidak hanya menerangkan kewajipan solat, puasa dan zakat. Islam memiliki sistemnya sendiri yang mampu menyelesaikan segala konflik kehidupan manusia. Jika kita masih mahu mengambil selain daripada Islam, maka siapkanlah diri kita untuk menuju kehancuran seperti yang digambarkan Allah SWT dalam firman-Nya,
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” [TMQ Al-Baqarah (2): 85).