Menghukum Pemberi & Penerima Sedekah Penyelesaian Aneh Sistem Kapitalis

Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, menurut kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurutnya lagi, tindakan tersebut diambil bagi membendung budaya mengemis yang mencemar imej ibu negara. Setelah undang-undang tersebut diperketat, pemberi sedekah akan dikenakan saman manakala peminta sedekah akan ‘diangkut’ pihak penguatkuasa. Tindakan tersebut akan dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara.

Ternyata tindakan yang bakal diambil oleh pihak kementerian tersebut tidak lebih daripada sekadar sebuah penyelesaian yang bersifat kosmetik dan bertujuan untuk kononnya menjaga imej ibu negara. Sedangkan pada hakikatnya tindakan tersebut tidak akan mampu menangani permasalahan sebenar yang melanda, iaitu kewujudan golongan gelandangan yang berkeliaran lantaran kesempitan hidup dan tidak dibela. Persoalannya, apakah yang menjadi akar kepada permasalahan tersebut?

Sebagai sebuah negara yang bercita-cita untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi dan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, kewujudan golongan gelandangan yang mengemis di ibu negara dilihat sebagai satu perkara yang boleh merosakkan imej negara dan bukannya dilihat sebagai suatu bentuk permasalahan yang perlu diatasi secara tuntas. Natijahnya, tiada usaha yang serius dan menyeluruh yang dilaksanakan oleh negara dalam menanganinya. Sebaliknya, peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh negara itu telah diambilalih oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang mewujudkan ‘soup kitchen’ untuk membekalkan makanan secara percuma kepada golongan gelandangan setiap minggu.

Sebagai seorang pemimpin negara, ia pasti akan diminta pertanggungjawaban atas seluruh rakyat yang dipimpinnya. Sudah menjadi kewajipan ke atas bahunya untuk memastikan bahawa seluruh keperluan asas rakyat dipenuhi. Antaranya adalah sebagaimana mafhum hadis :

Uthman ibn Affan ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Tidak ada hak kepada setiap anak Adam selain daripada tiga perkara iaitu rumah sebagai tempat tinggal, pakaian, dan makanan/minuman“. [Sunan at-Tirmidhi, No. 2341]

Apalah gunanya berbangga-bangga dengan kemajuan demi kemajuan yang bersifat ‘superficial’ (luaran) sedangkan hakikatnya jurang antara golongan kaya dan miskin menjadi semakin lebar di bawah sistem kapitalis yang mencengkam? Sebuah sistem yang menilai kemajuan material berdasarkan nilai pendapatan per kapita  adalah satu bentuk penilaian yang tidak memberikan gambaran sebenar terhadap kesempitan hidup golongan marhaen kerana ia langsung tidak mengambilkira faktor pengagihan kekayaan dalam penilaiannya.

Di bawah sistem Khilafah kelak, kebajikan rakyat menjadi kewajiban dan keutamaan khususnya dalam memastikan bahawa keperluan asas umat dipenuhi di samping menerapkan polisi yang membuka ruang untuk rakyat mencari rezeki mengikut garis panduan syarak. Sistem ekonomi Islam dalam Khilafah turut menjamin pengagihan kekayaan secara telus dan adil serta melarang sama sekali wujudnya monopoli yang boleh melebarkan jurang antara yang kaya dan yang miskin yang langsung tidak boleh diterima akal manusia yang waras sepertimana yang berlaku pada hari ini. Wallahua’lam.

Sumber:
1) “Pemberi, peminta sedekah di ibu negara akan dihukum, kata Tengku Adnan”, Portal The Malaysian Insider, 1 Julai 2014.