Mengundi Dalam Demokrasi Sia-Sia
Beliau menerangkan bahawa pada asalnya mengundi adalah fardu kifayah tetapi sekiranya ramai yang tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukkan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.
Manakala Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad juga berkongsi pandangan yang sama tetapi meletakkan syarat bahawa kewajiban itu hanya terpakai di dalam memilih calon yang memperjuangkan dan menegakkan Islam. Bahkan dia mengatakan bahawa itulah yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Tambahnya lagi; setiap individu muslim wajib memilih calon yang tidak mengamalkan rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta menjalankan amal makruf dan mencegah mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam.
Jadi, dimanakah sikap kita terhadap isu ini. Seperti sedia maklum, proses pengundian di dalam setiap pilihan raya di dalam negara ini tidak terlepas daripada peraturan dan amalan sistem demokrasi. Jadi, setiap calon harus melalui pelbagai proses yang tidak selari dengan hukum Islam semasa proses pengundian. Manakala bagi yang menang, mereka akan dimestikan untuk mengangkat sumpah untuk taat kepada perlembagaan kufur ciptaan Lord Reid(wakil British) sebelum menjadi ahli parlimen sedangkan kita diperintahkan hanya perlu taat kepada Allah SWT dan Rasul.
Adapun, hukum asal pilihan raya dalam Islam adalah mubah (harus). Ini adalah kerana ‘pilihan raya’ (intikhab) yang dijalankan dalam Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah hanyalah (bertujuan) untuk memilih pemimpin bagi mewakili kaum masing-masing (waktu itu Aus dan Khazraj), manakala semasa zaman Khulafa’ Rasyidin, intikhab dilakukan untuk memilih Khalifah dan juga untuk memilih wakil dalam Majlis Syura (Majlis Umat).
Apa yang mesti difahami adalah fungsi dan peranan Majlis Ummat adalah berbeza dengan Parlimen yang wujud pada hari ini kerana Majlis Ummat tidak terlibat dengan sebarang penggubalan akta dan penciptaan sebarang hukum berkaitan urusan seharian umat berbanding Parlimen yang berfungsi membuat/menggubal pelbagai hukum. Sedangkan hak untuk menggubal hukum adalah kepunyaan Allah SWT. Firman Allah:
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [Al An’am: 57]
Justeru, sekiranya calon yang diundi itu menang dan masuk ke parlimen lalu terlibat dengan segala amalan Demokrasi dan turut serta secara langsung mahupun tidak langsung di dalam menggubal hukum, bukankah itu sesuatu yang bertentangan dengan nas syara’? Bahkan, kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada kepincangan jentera pemerintah akan menguatkan lagi cengkaman mereka ke atas rakyat. Jadi, sebagai umat Islam yang patuh dan taat dengan perintah dan larangan Allah, di manakah kewajarannya kita mengundi nanti?
Sumber : Utusan Malaysia