Menifesto Bela Rakyat Atau Manifesto Belasah Rakyat
Keperluan, kesejahteraan penduduk pelbagai kaum di Sarawak tetap diutamakan kerajaan
KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 bulan depan memberi fokus kepada isu yang diberi perhatian oleh rakyat dengan tema konsep rakyat didahulukan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata manifesto itu yang sudah pada peringkat akhir disiapkan, akan dilancar Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas penamaan calon pada 6 April ini. “Kita ada tajuk yang akan diperkenalkan, membabitkan keperluan dan keutamaan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya selepas perjumpaan tertutup kira-kira dua jam bersama ahli Majlis Tertinggi BN Sarawak, di sini semalam.
Berita Harian difahamkan, tema manifesto BN kali ini ini adalah mengajak rakyat bersama-sama kerajaan mentransformasi Sarawak ke arah kemakmuran serta kualiti hidup lebih baik. Manifesto komprehensif itu dikatakan memberi penekanan kepada keharmonian kaum, kestabilan politik, tadbir urus baik, pemuliharaan alam sekitar, memulihara budaya semua kaum, menyediakan peluang pekerjaan mencukupi, peluang pendidikan dan ekonomi, menjanjikan kehidupan rakyat lebih baik serta memastikan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik dipertingkatkan terutama di luar bandar.
Ia juga dipercayai menyentuh kepada usaha menjadikan Sarawak negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030 serta janji yang sudah ditunaikan BN kepada rakyat Sarawak serta kejayaan BN sepanjang menerajui Bumi Kenyalang.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, BN Sarawak menampilkan slogan Sarawak yang Aman, Progresif dan Makmur menerusi manifesto yang melakar masa depan negeri, kisah kejayaan dan janji ke arah pengagihan kekayaan secara saksama di kalangan semua kaum di negeri itu. Muhyiddin juga berkata, BN Sarawak sudah berada pada tahap persiapan paling tinggi dengan ‘mood’ untuk menggerakkan jentera pilihan raya pada bila-bila masa.
“Saya berpuas hati dengan persiapan, cukup terperinci mengambil kira semua keperluan dan kita pasti dapat mempertahankan kedudukan Sarawak di bawah BN.
“Kita juga sudah mengambil kira mengenai bidang utama yang akan diberikan fokus di Sarawak dengan gerakan dipimpin Ketua Menteri Sarawak dan kami di peringkat BN Pusat akan mengambil kira semua perkara untuk membolehkan kita mencapai sasaran memperoleh kemenangan seperti diharapkan,” katanya.
Hadir sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom.
Sumber : Berita Harian, 01/04/2011
Menifesto Bela Rakyat Atau Manifesto Belasah Rakyat
Sekali lagi rakyat Sarawak akan dipergula-gulakan dalam pesta demokrasi. Menjelang Pilih Raya DUN Sarawak April ini rakyat akan ditatang umpama raja sehari. Sememangnya begitulah penipuan yang berlaku dalam sistem demokrasi. Seperti biasa, para pemimpin sekular dari parti pemerintah ini akan menawarkan dan mewar-warkan hadiah dan segala bentuk janji manis menjelang pilihan raya yang akan berlangsung. Segala kehendak rakyat akan cuba ditunaikan oleh pemain-pemain yang bermain disepanjang pesta demokrasi ini. Dan sudah pasti pemerintah sekular Barisan Nasional yang telah sekian lama merompak harta rakyat tidak bermasalah untuk memberikan dan membelikan gula-gula beracun untuk diberikan kepada rakyat Sarawak dalam usaha mereka meraih sokongan dari para pegundi.
Apa yang pasti, rakyat akan terus diangan-angankan dengan perkara-perkara yang indah-indah belaka. Tetapi selepas berakhirnya pilihan raya, rakyat akan ditinggalkan dengan segala bentuk bebanan kehidupan. Kos hidup dan harga barang-barang semakin lama semakin meningkat….dan janji akan terus tinggal janji. Itulah sebenarnya permainan politik sekular demokrasi. Janji adalah permainan politik demokrasi untuk memancing undi dalam pilihan raya. Faktanya, mana ada pemimpin di dalam negara sekular demokrasi ini yang hidup susah jika dibandingkan dengan rakyatnya sendiri. Maka apakah rakyat Sarawak masih mahu terus tidur dan dibuai mimpi? Yang pastinya, Sarawak khususnya dan dunia amnya memerlukan perubahan yang berasaskan Islam. Sudah saatnya Khilafah memimpin dunia.