Menurunkan pemimpin bukan solusi jika sistem tetap kekal
BULETIN HTM – Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman, menegaskan bahawa menurunkan pemimpin dalam sistem demokrasi tidak akan menyelesaikan masalah rakyat dan negara, jika sistem kufur tersebut tidak ditukar secara menyeluruh kepada sistem Islam.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM bertajuk “Menurunkan Pemimpin Menurut Islam” yang disiarkan Jumaat lalu.
Mengulas isu demonstrasi dan desakan agar Perdana Menteri meletak jawatan, beliau mengingatkan bahawa hukum asal ketaatan kepada pemimpin adalah wajib, tetapi ia hanya berlaku jika pemimpin tersebut dilantik secara syarie dan menerapkan hukum Allah sepenuhnya, sebagaimana dalam sistem Khilafah.
Beliau mengemukakan dalil-dalil dalil berkenaan ketaatan kepada pemerintah yang disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah, yang merujuk kepada penguasa Muslim (Khalifah) yang menerapkan Islam, dan tidak ada ketaatan kepada penguasa yang menyuruh kepada maksiat dan memerintah dalam sistem kufur demokrasi.
“Kalau dia bukan pemimpin yang dilantik secara syarie dan tidak menerapkan Islam, maka dia tidak wajib ditaati. Bahkan sebaliknya wajib dimuhasabah untuk dia menerapkan Islam. Jika dia tidak mahu berubah, maka pemimpin seperti ini memang wajib diturunkan, tetapi jalan untuk menurunkannya hendaklah mengikut thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) kepada kita tatkala baginda berdakwah di Mekah dan berjaya mendirikan Daulah Islam di Madinah, tegas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam Islam, pemimpin (Khalifah) tidak boleh dijatuhkan sesuka hati. Khalifah hanya boleh diturunkan jika wujudnya sebab-sebab syarie untuk menurunkannya, seperti kehilangan syarat in’iqad (kelayakan) atau kerana berlakunya situasi kufran bawaahan (kekufuran yang nyata) sebagaimana disebut dalam hadis.
Jurucakap HTM itu kemudian menjelaskan secara panjang lebar kefahaman hadis berkenaan dan turut menjelaskan bagaimana ramai orang telah salah dalam memahami hadis tersebut.
Beliau juga membezakan cara-cara menurunkan penguasa dalam sistem demokrasi dan sistem Islam, sebuah perbezaan yang sangat ketara yang jarang dibincangkan oleh banyak pihak.
Ustaz Abdul Hakim turut menegaskan bahawa usaha untuk menukar pemimpin dalam sistem demokrasi tidak pernah membawa perubahan hakiki kerana hanya wajah yang bertukar, sedangkan sistemnya tetap kekal. Beliau mengingatkan bahawa selagi sistem kufur menjadi asas pemerintahan, maka penderitaan rakyat akan terus berulang walau siapa pun yang memerintah.
Sebagai solusi, beliau menyeru umat Islam untuk kembali kepada jalan dakwah yang benar sebagaimana yang ditempuh oleh Rasulullah (saw), iaitu bukan sekadar menukar pemimpin yang menerapkan sistem kufur, tetapi wajib menukar sistemnya sekali secara menyeluruh. Inilah dua malapetaka yang menimpa umat Islam sejak runtuhnya Khilafah pada 1924 – pemimpin dan sistem – yang kedua-duanya mesti diganti secara serentak, bukan dengan hanya menggantikan salah satunya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Hizbut Tahrir tidak pernah menyeru kepada pemberontakan, kekerasan atau kekacauan dalam usaha menukar pemimpin dan sistem, sebaliknya menyeru umat Islam agar mengikuti thariqah Rasulullah (saw) sebagai satu-satunya jalan yang syarie dan telah terbukti berjaya.
Program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan TikTok setiap Jumaat malam.