Menyingkap realiti industri sukan dan meletakkan kedudukannya pada tempatnya
Kejohanan bolasepak Euro 2021 telah pun melabuhkan tirainya dengan menyaksikan sambutan yang sangat menggalakkan dari peminat sukan khususnya bolasepak yang yang merupakan sukan nombor satu di dunia. Walaupun Eropah dilanda dengan pandemik COVID-19, tetapi sambutan yang sangat menggalakkan telah menyaksikan stadium penuh dengan penonton tanpa adanya langkah-langkah operasi piawaian yang sewajarnya untuk mencegah penularan pandemik. Secara amnya acara sukan seperti ini merupakan sesuatu yang dapat menggembirakan penyokong pasukan masing-masing apabila sudah lebih setahun mengalami kehidupan yang mencabar akibat pandemik.
Kini, sukan Olimpik di Tokyo pula menjadi perhatian sebahagian masyarakat dunia. Penganjuran yang pada asalnya dijadualkan pada tahun lalu, telah ditangguhkan akibat pandemik. Sungguhpun secara zahirnya temasya tersebut kelihatan gah walaupun dengan ketiadaan penonton di lokasi, namun hakikatnya penganjuran sukan ini mendapat tentangan daripada sebahagian warga Jepun sendiri kerana bimbang akan risiko penularan COVID-19. Hampir sepertiga daripada populasi di Jepun berusia lebih 65 tahun yang berisiko tinggi, manakala kadar vaksinasi di negara tersebut pula dikatakan masih rendah.
Acara sukan dan hiburan seperti ini merupakan suatu bentuk escapism, yang antara lain boleh “melalikan” masyarakat serta menghalang mereka daripada berfikir untuk menyelesaikan masalah. Di saat dunia berdepan dengan pelbagai krisis dalam segenap aspek, acara-acara sukan secara tidak langsung telah berjaya mengalihkan perhatian rakyat. Lebih malang lagi apabila politikus dan menteri-menteri kabinet turut serta menzahirkan sokongan terhadap para atlet ini. Bahkan ada antara mereka yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada kelab-kelab bola kegemaran mereka, dan mendoakan kejayaan atlet yang dikatakan ‘berjuang’ mengharumkan nama negara. Pastinya perkara ini mengundang kemusykilan dan kemarahan kerana mereka sewajarnya memfokuskan usaha kepada menangani krisis yang sedang dihadapi.
Aktiviti sukan telah lama dijadikan “industri” yang menelan belanja yang sangat besar bagi tujuan pembangunannya, latihan-latihan para atlet, dan juga pembinaan prasarana seperti institut sukan dan stadium, dan segala jenis peralatan. Perkara ini telah menjadi amalan hampir di seluruh dunia bertahun-tahun lamanya, meskipun kerajaan bersilih-ganti. Di Malaysia, dalam Belanjawan 2019, kerajaan di bawah Pakatan Harapan telah memperuntukkan RM100 juta untuk persiapan ke sukan Olimpik Tokyo. Manakala di bawah kerajaan Perikatan Nasional, sejumlah RM55 juta diperuntukkan kepada pembangunan segmen sukan berprestasi tinggi seperti ragbi, hoki, badminton, dan berbasikal. Meskipun terdapat penurunan dari segi jumlah peruntukannya, namun RM55 juta bukanlah satu jumlah yang kecil apatah lagi dalam situasi krisis seperti pandemik COVID-19 ini.
Pembinaan prasarana-prasarana bagi tujuan penganjuran temasya sukan juga tidak kurang dengan kontroversinya. Kita dapat menyaksikan fasiliti-fasiliti yang menjadi lokasi penganjuran temasya sukan kebanyakannya terbiar dan menjadi ‘gajah putih’ selepas temasya tersebut terakhir. Terdapat juga laporan yang mendakwa pekerja-pekerja pembinaan dieksploitasi dan diserap menjadi buruh paksa dalam keadaan yang daif bagi pembinaan fasiliti di Qatar yang bakal menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia 2022.
Sesungguhnya aktiviti sukan tidak sewajarnya dikembangkan sehingga menjadi “industri” secara terorganisasi. Penganjuran temasya sukan dan “industri”-nya bukan sahaja menyedut dana yang sepatutnya dimanfaatkan kepada sektor-sektor yang lebih kritikal, bahkan menyebabkan sebahagian rakyat lalai daripada kewajipan serta mengalihkan perhatian mereka terhadap kegagalan pemerintah serta kepincangan sistem yang mengatur kehidupan mereka. Selain itu, temasya sukan ini juga memupuk sentimen assabiyyah dan wathaniyyah yang ekstrem baik oleh atlet mahu pun penyokong-penyokong mereka di setiap negara. Malah ikatan ini telah mengatasi ikatan akidah dan persaudaraan kaum Muslimin. Sesungguhnya ikatan seperti ini adalah suatu ikatan yang diharamkan oleh Islam.
Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha kita dalam “membangunkan” agama Allah (swt), berbanding usaha membangunkan industri sukan? Apakah kita sudah menghabiskan usia yang diberikan oleh Allah (swt) ke arah mencari keredhaan-Nya dengan usaha-usaha menegakkan agama-Nya? Atau sebaliknya banyak usaha dan masa kita dihabiskan ke arah perkara-perkara yang melalaikan seperti “menegakkan” industri sukan dan hiburan yang tidak mendatangkan sedikit manfaat pun di padang Mashyar kelak?
Sukan sewajarnya dikembalikan sebagai suatu bentuk aktiviti riadah bagi memenuhi keperluan jasmani dan menjaga kesihatan, bukan selainnya, apa lagi untuk membina sebuah “industri”. Sebagaimana aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan dalam kehidupan ini, pastinya seorang Muslim itu melaksanakan aktiviti sukan, adalah untuk tujuan menjaga kesihatan yang optimum dalam menjalani kehidupan dalam rangka menunaikan amanah yang terpikul di bahunya, iaitu untuk mendakwahkan agama Allah, melakukan jihad dan futuhat di jalan Allah. Inilah “sukan” yang dipraktikkan oleh para Sahabat, yang wajib menjadi ikutan kita semua, yang telah menjadikan agama Allah tersebar ke seluruh dunia dan sekali gus menjadikan Islam sebagai super power dunia.
Wallahu a’lam.