Letak hukum vaksin pada tempatnya tanpa perlu polemik

Pandemik COVID-19 yang tercetus ini benar-benar telah menggugat norma kehidupan. Manakan tidak, ia bukan sahaja mengancam kesihatan, bahkan ia turut memberikan dampak yang besar terhadap kehidupan masyarakat dalam segenap aspek. Kini, setelah lebih setahun semenjak pandemik ini melanda, masyarakat sudah mulai kelesuan dan ramai yang sudah tidak dapat menahan marah dengan langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu ini. Secara umumnya hampir setiap hari statistik menunjukkan peningkatan kes-kes positif COVID-19 dan kadar kematian juga meningkat walaupun kecil. Pelbagai langkah telah diambil, namun apa yang pasti masih tetap gagal mengekang peningkatannya. Keadaan diburukkan lagi dengan pelaksanaan undang-undang yang double standard, serta polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan yang kelihatan caca-marba, mengelirukan dan seolah-olah tanpa perancangan yang teliti.

Di sebalik kritikan kuat oleh rakyat terhadap kerajaan yang dilihat gagal, kerajaan pula menyalahkan rakyat kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Ya, tidak dinafikan terdapat segelintir rakyat yang memandang remeh pandemik dan SOP yang dibuat, namun memang tidak wajar untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada rakyat, kerana realitinya ialah kerajaan merupakan pihak yang mengatur urusan rakyat dan paling bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat. Kepincangan wujud bukan sahaja dari sudut pelaksanaan langkah pencegahan dari aspek kesihatan awam, bahkan dapat dilihat pada program pemberian vaksin yang sedang berlangsung pada ketika ini yang menyaksikan kelewatan dari segi pelaksanaannya, dan beberapa isu yang terkait dengannya.

Antaranya ialah, muncul keraguan terhadap vaksin (vaccine hesitancy) setelah berlegar pelbagai khabar dan pertikaian terhadap keselamatan vaksin yang diberikan, kehalalannya, dan juga ‘teori konspirasi’ di sebalik vaksin. Sebagai respons, kerajaan dilihat mendesak rakyat agar mendaftar untuk menerima vaksin, sehingga khutbah-khutbah Jumaat dijadikan platform untuk menyeru dan memujuk rakyat mengambilnya. Malah golongan agamawan turut ‘digunakan’ untuk meletakkan hukum wajib untuk mengambil vaksin demi menjaga nyawa sendiri dan orang lain, yang dikatakan sebagai salah satu maqasid syariah dalam urusan agama.

Dengan menolak ke tepi segala teori konspirasi, umat Islam perlu tahu apakah hukum pengambilan vaksin, sehingga setiap orang perlu jelas apakah pendirian dan langkah yang perlu diambilnya dalam isu ini.

Vaksinasi merupakan suatu proses pelalian yang bertujuan untuk merangsang daya imun tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Dengan kata lain, pemberian vaksin secara umumnya bertujuan untuk mencegah seseorang daripada terkena jangkitan mikroorganisma yang khusus bagi vaksin tersebut. Justeru, vaksin merupakan sebahagian daripada pengubatan yakni dalam rangka pencegahan penyakit. Maka hukum pengambilannya sama seperti hukum berubat.

Amir Hizbut Tahrir, Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rashtah telah memberikan penjelasan yang terperinci dan meyakinkan mengenai hukum vaksinasi. Beliau menjelaskan bahawa oleh kerana vaksinasi merupakan sebuah proses pengubatan, maka hukum vaksinasi adalah sama seperti hukum berubat, yang secara umumnya adalah mandub (sunat) berdasarkan dalil-dalil berikut:

1. Imam al-Bukhari meriwayatkan dari jalur Abu Hurairah (ra), ia menuturkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً»

“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Allah turunkan ubat untuknya” [HR Bukhari].

Imam Muslim telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dari Nabi (saw), baginda bersabda:

«لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ»

“Untuk setiap penyakit ada ubatnya, jika ubat itu kena dengan penyakitnya, maka sembuhlah ia dengan izin Allah Azza wa Jalla” [HR Muslim].

Imam Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnadnya dari Abdullah bin Mas’ud:

«مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً، إِلَّا قَدْ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً، عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ، وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ»

“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Allah turunkan ubat untuknya, itu diketahui oleh orang yang berilmu dan tidak diketahui oleh orang yang jahil” [HR Ahmad].

Hadis-hadis ini mengandungi petunjuk bahawa setiap penyakit ada ubat yang menyembuhkannya. Hal itu agar menjadi dorongan untuk berusaha berubat yang membawa kepada sembuhnya penyakit itu dengan izin Allah. Ini adalah anjuran dan bukan bersifat wajib.

2. Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Anas, ia berkata: Rasulullah (saw) bersabda:

«إِنَّ اللَّهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا»

“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, Dia menciptakan ubatnya, maka berubatlah” [HR Ahmad].

Abu Daud telah meriwayatkan dari Usamah bin Syarik, ia berkata, “Aku datang kepada Rasulullah (saw) dan para sahabat beliau seolah-olah kepala mereka seperti burung. Aku ucapkan salam, kemudian aku duduk. Lalu datang Arab Badwi dari sana dan sini. Mereka bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah kita berubat?’” Rasulullah menjawab:

تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً، غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ»

“Berubatlah kalian, kerana sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak mendatangkan penyakit kecuali Allah juga mendatangkan ubat untuknya, kecuali satu penyakit (iaitu) al-harmu (yakni kematian)” [HR Abu Daud].

Dalam hadis pertama, Rasul (saw) memerintahkan untuk berubat. Dalam hadis kedua, baginda (saw) menjawab kepada Arab Badwi dengan menyerunya agar berubat, sekali gus seruan kepada para hamba agar berubat, kerana Allah tidak mendatangkan penyakit kecuali mendatangkan ubat untuknya.

Seruan dalam kedua hadis itu disampaikan dalam bentuk perintah. Perintah ini memberi pengertian tuntutan tetapi tidak memberi pengertian wajib. Seruan akan menjadi perintah yang wajib jika ia berbentuk tegas, manakala ‘ketegasan’ itu memerlukan qarinah (indikasi) yang menunjukkannya. Dalam kedua hadis tersebut, tidak ada qarinah yang menunjukkan bahawa ia wajib.

Di samping itu, terdapat banyak hadis lain yang menunjukkan kebolehan untuk tidak berubat, yang sekali gus menafikan pengertian perintah wajib dari kedua-dua hadis tersebut. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Imran bin Hussein bahawa Nabi (saw) bersabda:

«يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ»، قَالُوا: وَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «هُمُ الَّذِينَ لَا يَكْتَوُونَ وَلَا يَسْتَرْقُونَ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ»

“Ada 70 ribu orang dari umatku yang masuk syurga tanpa hisab’. Mereka (para sahabat) bertanya, ‘Siapakah mereka wahai Rasulullah?’ Rasul menjawab, ‘Mereka adalah orang-orang yang tidak melakukan kay dan tidak meminta minta diruqyah (dijampi-jampi)’” [HR Muslim].

Kay dan ruqyah termasuk dalam kategori pengubatan. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dari Ibn Abbas: ia berkata “…. (iaitu) perempuan berkulit hitam ini, ia datang kepada Nabi (saw) lalu berkata:

إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، «فَدَعَا لَهَا…»

“Aku mengidap sawan dan auratku tersingkap setiap kali ia datang. Maka berdoalah kepada Allah untukku.’ Rasul bersabda: ‘Jika engkau mahu, engkau bersabar dan untukmu syurga, dan jika engkau mahu aku boleh berdoa kepada Allah agar menyembuhkanmu.’ Maka perempuan itu menjawab: ‘Aku akan bersabar’. Lalu dia melanjutkan: ‘Auratku tersingkap setiap kali sawan, maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak tersingkap.’ Maka Rasul pun berdoa untuknya” [HR Bukhari].

Kedua-dua hadis ini menunjukkan bolehnya untuk tidak berubat.

Semua ini menunjukkan bahawa perintah “fatadaawuu” atau “tadaawuu” (berubatlah) bukanlah suatu perintah yang wajib. Dengan demikian, perintah untuk berubat di sini boleh jatuh sebagai mubah (harus) atau boleh juga mandub (sunat), tergantung kepada kuatnya tuntutan.  Berdasarkan kuatnya tuntutan daripada Rasul (saw) untuk berubat dalam hadis-hadis yang disebutkan, maka kesimpulan yang dapat diambil ialah perintah berubat adalah mandub.

Atas dasar itu, maka vaksinasi hukumnya mandub, kerana vaksinasi adalah ubat dan hukum berubat adalah mandub.

Namun demikian, jika terbukti vaksinasi tertentu boleh membahayakan, misalnya bahannya rosak atau membahayakan kerana suatu sebab tertentu, maka vaksinasi dalam keadaan seperti ini menjadi haram, sesuai dengan kaedah dharar yang diambil dari hadis Rasulullah (saw) yang telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, dari Ibn Abbas, yang berkata: Rasulullah (saw) bersabda:

«لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ»

“Tidak boleh membahayakan orang lain dan diri sendiri” [HR Ahmad].

Hanya sahaja keadaan merbahaya akibat vaksin ini sangat sedikit terjadi.

Demikianlah ringkasan penjelasan Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah [sumber: https://mediaumat.news/tanya-jawab-tentang-vaksinasi-fakta-dan-hukumnya-menurut-syaikhul-ushul-atha-bin-khalil-amir-hizbut-tahrir/].

Oleh yang demikian, amat jelas berdasarkan nas bahawa hukum vaksinasi ialah mandub, bukannya mubah (harus), dan bukannya fardhu, apatah lagi fardhu ain, seperti pandangan segelintir pihak. Umat Islam digalakkan untuk mengambil vaksin sebagai suatu kaedah dalam berubat. Namun, pengambilan vaksin ini hendaklah dibuat atas kerelaan sendiri, dan tidak ada siapa pun, termasuk pemerintah yang boleh memaksakannya. Pemerintah tidak boleh menetapkannya sebagai sebuah kewajipan, apabila telah ada nas yang jelas menunjukkan bahawa hukumnya adalah sunat. Walaupun pemerintah boleh memberi penerangan dan menggalakkan rakyat mengambil vaksin, namun pemerintah sama sekali tidak boleh merubah hukum dengan mewajibkan pengambilannya.

Pengambilan vaksin merupakan salah satu ikhtiar bagi mencegah penularan COVID-19, yang tidak seharusnya dipolemikkan. Jika terbukti vaksin tersebut boleh mencegah penularan, maka adalah baik untuk setiap orang mengambilnya. Namun, jika terbukti vaksin tersebut boleh mendatangkan dharar (mudarat), maka haram untuk umat Islam mengambilnya. Ada pun ukuran keberkesanan dan mudaratnya sesuatu vaksin itu, hendaklah ditentukan oleh pakar dalam bidang yang berkenaan. Ada pun tanggungjawab pemerintah ialah untuk memberi penerangan yang benar kepada rakyat, tanpa menyembunyikan kebenaran dan tanpa pembohongan.

Wallahu a’lam.