Merdeka Tetapi Jiwa Dan Minda Masih Terjajah

Kehadiran lebih 100 000 orang rakyat dari pelbagai kaum untuk menyaksikan perbarisan sambutan hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 di Dataran Putrajaya pada 31hb Ogos 2023 yang lepas dilihat hebat dan luar biasa. Segala usaha dan perbelanjaan besar yang dikeluarkan untuk acara tersebut seolah-olah berbaloi. Namun persoalannya, apakah semua penonton yang hadir itu benar-benar menghayati kemerdekaan atau sekadar untuk mendapatkan keseronokan dan kemegahan seketika?

Apa yang pasti, setelah sambutan kemerdekaan itu berlalu, kita tetap akan menghadapi kemelut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial yang masih tidak nampak kesudahannya. Bagi rakyat bawahan, mereka akan terus menyambung hidup dengan bertungkus-lumus siang dan malam bekerja demi mendapatkan sesuap nasi dan tempat berteduh. Golongan ini tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengikut kitaran ekonomi yang ‘dipaksakan’ ke atas mereka. Manakala pada masa yang sama kekayaan negara terus mengalir ke pangkuan para kapitalis yang dinaungi oleh para pemimpin yang berselindung di sebalik slogan perjuangan untuk rakyat dan negara.

Mungkin sebahagian besar dari kita tidak akan kisah atau ambil peduli hal ini selagi masih mampu untuk meneruskan kehidupan dan bersyukur masih diberikan kudrat dan kemudahan  oleh Allah (swt) untuk terus menikmati kehidupan dan kesenangan yang ada. Kita harus sedar bahawa di sebalik semua nikmat, keseronokan, kesenangan, cabaran dan dugaan yang menimpa umat Islam hari ini, kesemuanya mempunyai kesudahan yang akan dinilai oleh Allah (swt) di akhirat kelak. Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada hisab Allah (swt). Ini adalah kerana tujuan kita diciptakan adalah untuk semata-mata mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah (swt) yang bermaksud:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan mereka beribadah kepadaku” [TMQ Az Zariyat (51): 56].

Memetik pendapat Ibnu Jarir dalam tafsir Ibnu Katsir, beliau menyatakan bahawa penciptaan kedua-dua makhluk itu bukanlah kerana Allah yang memerlukan mereka. Namun, penciptaan mereka itu adalah semata-semata agar kedua-duanya mengakui kehambaan mereka kepada-Nya.

Justeru itu, adakah kehidupan kita pada hari ini benar-benar berjalan sesuai dengan tujuan kita diciptakan? Sama ada disedari atau tidak, sistem yang sedang diterapkan pada hari ini telah memerangkap kita sehingga menjadikan sebahagian besar dari kita sebagai hamba. Ya, memang benar tiada lagi penjajah yang menguasai negara ini dari segi fizikal, tetapi cara hidup dan cara berfikir di kalangan sebahagian besar umat Islam pada hari ini sebenarnya mengikut acuan yang telah dirancang oleh penjajah sejak lama dahulu.  Ini termasuklah cara kita menjalankan ekonomi, berpolitik, bersosial dan sebagainya. Bukankah dengan meneruskan legasi penjajah, ia secara tidak langsung telah menjadikan kita mengikut acuan mereka? Padahal Islam sebenarnya mempunyai sistem ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan yang khusus dan wajib dilaksanakan oleh penguasa ke atas masyarakat. Pendek kata, segenap aspek kehidupan haruslah berhukum sesuai dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (swt), sebagaimana firman-Nya;

“Dan barang siapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ Al Maidah (5): 44].

“Dan barang siapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ Al Maidah (5): 45]

“Dan barang siapa yang tidak berhukum  menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq” [TMQ Al Maidah (5): 47].

Ketiga-tiga ayat di atas dilihat hampir sama tetapi menggambarkan tiga situasi berbeza yang wujud dalam kalangan umat Islam yang diberi amanah kepimpinan pada hari ini. Mereka itu berada pada pelbagai hirarki dalam masyarakat dan kesemuanya tetap mempunyai kewajiban untuk berhukum dengan hukum Allah (swt) dalam seluruh aspek kehidupan yang bukan sekadar dalam ibadah, tetapi juga dalam ekonomi, politik, pendidikan dan sosial.  Hanya dengan kembali melaksanakan Islam secara menyeluruh (kaffah) kita akan dapat mencapai pengabdian sebenar kepada Allah (swt). Oleh itu, selagi ada umat Islam yang masih terus meyakini, tekad, dan redha untuk terus berada dalam sistem yang ada pada hari ini, maka mereka itulah golongan yang masih terjajah jiwa dan mindanya.

Dr Tarmizi Salleh

Ketua
Majlis Kepimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia