MHTM Cawangan Sandakan Anjurkan Kempen Khas Sempena Ramadhan

Bersempena ketibaan bulan Ramadhan kali ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) cawangan Sandakan telah melancarkan “Kempen Ramadhan & Perjuangan Hakiki; Daulatkan Syariah, Tegakkan Khilafah” dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan ini. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umat Islam, khususnya muslimah, tentang perjuangan hakiki untuk memperkukuhkan ketaqwaan iaitu dengan mengembalikan kehidupan Islam, melalui penerapan syariah secara kaffah dan tertegaknya Daulah Khilafah Islamiyyah. Di antara aktiviti utama yang diadakan ialah “Pameran dan Diskusi Sejarah Umat Islam” pada setiap hari Jumaat dan Ahad sepanjang Ramadhan, bertempat di Ruang Legar, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan. Pameran ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada umat Islam berkenaan dengan sejarah peradaban Islam dari fasa kemunculan dan kebangkitan, kegemilangan, kemunduran, keruntuhan dan kebangkitan semula peradaban Islam (baca: Kekhilafahan Islam), hubungan Khilafah dan Alam Melayu, peristiwa-peristiwa penting umat Islam yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan dan pendedahan-pendedahan (testimonial) dari kalangan ilmuan dan intelektual barat yang mengakui kegemilangan umat Islam di bawah khilafah Islam. Selain itu, pameran ini juga memaparkan realiti umat Islam yang ditindas, dibantai, dijajah dan mundur dalam segala aspek kehidupan, lantaran hilangnya “perisai” yang melindungi umat Islam, iaitu Khilafah. Dalil-dalil berkenaan kewajiban menegakkan semula daulah Khilafah berserta janji Allah dan Rasulullah akan kembalinya kekhilafahan turut dibentangkan. Pameran tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan khususnya dari kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Sandakan dan pengunjungpengunjung perpustakaan umum tersebut. Perbincangan yang dijalankan semasa pameran juga menunjukkan bahawa umat, khususnya generasi muda, bersetuju dengan idea khilafah sebagai solusi kepada permasalahan umat Islam yang wujud pada hari ini.

Selain dari aktiviti pameran sempena kempen, ahli-ahli MHTM turut mengadakan diskusi-diskusi di dalam kumpulan-kumpulan kecil bersama umat di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Sandakan. Edaran artikel khas, Nahdhah Fikriyyah sempena Ramadhan kali ini turut diedarkan di tempat-tempat umum seperti bazaar Ramadhan dan masjid/ surau setiap hari.

Kemuncak kepada kempen ini ialah Seminar Khas Muslimah yang bakal diadakan pada 28 Julai 2013 (Ahad), bertempat di Bilik Seminar, Hotel Hsiang Garden, Bandar Hsiang Garden, Sandakan Sabah, pada pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengahari. Semua muslimah yang berada di sekitar Sandakan adalah dijemput hadir.

Pihak MHTM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat, khususnya pegawai perkhidmatan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan dan pengunjung-pengunjung pameran sepanjang kempen ini dijalankan.

{sfx rss=’https://picasaweb.google.com/data/feed/base/user/116661879362415969427/albumid/5903696676166271025?alt=rss&kind=photo&hl=en_US’ display=’album’}