Mini Seminar Anjuran MHTM Johor: Nasibmu Wanita: Dimanakah Bahagianya?
Mini seminar yang bermula pada jam 0830 pagi hingga 1230 tengahari ini telah diadakan di Dewan Seminar, No 20-01, Jalan Sri Putra 1, Taman Sri Putra, Johor Bahru. Seminar ini menampilkan dua ahli panel iaitu Ustazah Hjh. Zainun Mat Lazim dan Ustazah Fatihah Abdullah yang kedua-duanya merupakan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia.
Pembentangan oleh kedua-dua ahli panel berkisar tentang realiti kehidupan dan keadaan wanita pada masa kini dibandingkan dengan kehidupan para muslimah di zaman pemerintahan Daulah Khilafah dahulu. Kesengsaraan hidup serta penghinaan keatas martabat wanita Muslimah di seluruh dunia turut dipaparkan dan ternyata kebahagiaan yang di cari-cari oleh para Muslimah masih belum di temui dan sudah pasti tidak akan di temui sekiranya Islam tidak dimartabatkan semula sebagai sistem menyeluruh di dalam kehidupan baik dalam Pemerintahan, Uqubat, Pendidikan, Ekonomi dan selainnya melalui sebuah Negara Khilafah Islamiyyah. Peranan, Tugas dan Tanggungjawab sebenar seorang Muslimah juga turut di perincikan oleh kedua-dua pembentang. Adalah menjadi kewajipan para Muslimah untuk menuntut ilmu dan memperdalami pengetahuan Islam mereka dalam usaha mengembalikan kebahagiaan sebenar yang dicari untuk kehidupan dunia dan Akhirat.
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan hangat dari para peserta seminar dengan pelbagai persoalan diajukan kepada barisan ahli panel.
Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa demi merealisasikan gerak kerja dakwah dalam mendekati umat ini. Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad(47):7].