Model negara Islam versi siapa?

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi model negara Islam terbaik sekiranya masyarakat majmuk di negara ini saling mencari titik persamaan seperti dibawa Rasulullah SAW melalui kesempurnaan dan kehebatan akhlak Baginda. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata akhlak dan moral Baginda berjaya menyatupadukan masyarakat Madinah hingga hidup aman, harmoni dan bersatu-padu walaupun dalam kepelbagaian kaum serta agama.

[Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/626546/malaysia-mampu-jadi-model-negara-islam]

Komentar:

Sungguh aneh apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama mengatakan Malaysia mampu menjadi model negara Islam terbaik sedangkan realitinya Malaysia merupakan sebuah negara sekular. Benar bahawa Malaysia ialah negeri umat Islam (biladul Muslimin) iaitu negara yang majoritinya umat Islam, namun asas sistem pemerintahan di negara ini bukanlah berdasarkan Islam (al-Quran  dan as-Sunnah).

Jika dibandingkan antara model negara Islam Madinah berdasarkan sirah dengan model negara Malaysia, terdapat satu persamaan iaitu dari segi kemajmukan masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Selain daripada itu, terdapat perbezaan besar yang sangat ketara. Jika kita membuat beberapa perbandingan dari segi politik, ekonomi, sistem sosial, pendidikan, dan uqubat (sistem hukuman), kita akan mendapati bahawa model negara Malaysia (yang berasaskan perlembagaan yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid) ini jelas bercanggah dengan model negara Islam Madinah.

Dalam negara Islam Madinah, tampuk pemerintahan umat Islam berada di bawah kepimpinan Islam. Namun di Malaysia, orang kafir boleh memegang tampuk pemerintahan (ADUN, Ahli Parlimen, atau Menteri). Dilihat dari segi ekonomi pula, tiada riba dan cukai dalam Daulah Madinah dan kewangan negara diperoleh daripada zakat, infaq, jizyah, ghanimah dan lain-lain. Manakala di Malaysia, sistem ekonomi yang diterapkan berasaskan sistem kapitalisme dengan pendapatan utamanya ialah cukai dan riba. Dalam aspek perundangan, hukuman hudud,  takzir, jinayat, dan mukhalafat diterapkan ke atas semua penduduk Madinah, Muslim dan non-Muslim. Namun di Malaysia, bukan sahaja hudud tidak dilaksanakan, bahkan undang-undang syariah (hukum ‘tiga-lima-enam’) yang dilaksanakan hanya untuk orang Islam, dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda maksimum RM5000 dan enam kali sebatan jelas menyimpang jauh daripada sistem kehakiman Islam yang sebenar.

Dengan keadaan yang ada ketika ini, persoalan yang boleh dilontarkan ialah adakah kita mampu mencapai kemakmuran dan keadilan sepertimana negara Islam Madinah? Sumber perlembagaan negara sendiri sudah bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah, halal dan haram pula ditentukan oleh suara majoriti ahli parlimen. Maka kemakmuran dan keadilan apakah sebenarnya yang dicari dengan mencampakkan hukum-hukum Allah SWT?

Kita perlu memahami bahawa kemakmuran dan keadilan di dalam negara Islam Madinah bukan terbentuk daripada akhlak Baginda SAW dan umat Islam semata-mata. Sebaliknya masyarakat di Madinah dibentuk dengan peraturan, pemikiran dan perasaan yang selaras dengan Islam. Mereka diperintah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, malah orang Islam dan kafir mendapat hak dan layanan yang sama sehinggakan terdapat orang kafir dzimmi yang sanggup mengikuti perang bersama Baginda SAW untuk mempertahankan Madinah serta ramai yang memeluk Islam. Inilah keindahan penerapan Islam secara keseluruhan sehingga terbentuklah masyarakat Islam yang kuat dan bersatu padu.

Oleh itu, sekiranya Mujahid ikhlas ingin meneladani model negara Islam Madinah, Mujahid sepatutnya mendesak kerajaan yang beliau sertai ini untuk menerapkan hukum Allah SWT secara kaffah (menyeluruh), bukannya sekadar mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya), dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Affan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia