Muhasabah di kala musibah

Wabak Covid-19 yang kini semakin teruk di seluruh dunia, setakat ini telah mencecah 1 juta kes [WHO]. Di Malaysia pula sehingga 4 April 2020, sebanyak 3,662 kes positif Covid-19 dan 61 kematian telah dicatatkan [CPRC KKM]. Jumlah yang semakin meningkat saban hari ini telah sedikit sebanyak menyebabkan panik dalam masyarakat dan memaksa kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh lebih kurang sebulan. Antara kesan ketara dalam tempoh PKP ini ialah ramai orang yang telah hilang sumber pendapatan terutamanya golongan yang bekerja sendiri.

Walaupun ramai yang telah dijangkiti wabak ini dan sebahagian kecil daripadanya telah berakhir dengan kematian, namun sebagai Muslim janganlah kita berduka cita dan berputus asa daripada rahmat Allah (swt). Dalam keadaan apa sekali pun, kita wajib beriman kepada qadha’ Allah (swt). Begitu juga dengan segala ujian dan musibah yang melanda kita semuanya berlaku adalah dengan izin Allah (swt). Kita hendaklah bertabah dan bersabar dengan ujian ini supaya Allah mengangkat lagi darjat kita. Allah (swt) berfirman,

“Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (yakni) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” [TMQ al-Baqarah (2):155-157].

Dalam keadaan yang genting ini, kita wajib ber-istirja’ (mengembalikan segalanya kepada Allah) dan berdoa tatkala terkena musibah. Rasulullah (saw) bersabda,

“Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu ia mengatakan, ‘Inna lillahi wa innailaihiraji’un (seraya berdoa) Ya Allah! berilah pahala kepadaku dalam musibah ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya’, kecuali Allah memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik untuknya” [HR Muslim, Ahmad dan Ibn Majah].

Dalam hadis yang lain, Rasulullah (saw) bersabda,

“Tidaklah seorang Mukmin tertimpa musibah (berupa) tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah tinggikan dia satu darjat atau Allah hapuskan daripadanya satu kesalahan” [HR Muslim, Tirmizi dan Ahmad].

Bahkan di antara musibah itu ada yang Allah sediakan pahala syahid (syahid akhirat). Sabda Rasulullah (saw),

“Orang-orang yang syahid itu ada lima golongan, orang yang (mati) terkena wabak, penyakit perut, lemas, tertimpa tembok/bangunan dan syahid di jalan Allah” [HR Bukhari dan Muslim].

Bersegera Meninggalkan Maksiat

Dalam meyakini qadha’ Allah (swt), kita juga perlu ringat bahawa setiap musibah yang berlaku juga antaranya adalah asbab dari kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia.

Firman Allah (swt),

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” [TMQ al-Syura (42):30].

Apa yang dimaksudkan dari ayat ini ialah musibah yang menimpa manusia tiada lain adalah akibat daripada dosa dan kerosakan yang dibuat oleh manusia itu sendiri. Selain itu, kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia secara umumnya di muka bumi, bukan sahaja akan menimpa dirinya sendiri, malah termasuk orang lain juga. Firman Allah (swt),

“Telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan kerana (kemaksiatan) manusia supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ al-Rum (30):41].

Dalam sebuah hadis, Rasulullah (saw) bersabda,

“Jika zina dan riba berleluasa di suatu negeri, maka sungguh mereka telah menghalalkan atas mereka azab Allah” [HR al-Hakim, al-Baihaqi dan at-Thabrani].

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah (saw) bersabda,

“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama belum menyebar di tengah mereka anak (hasil) zina. Jika di tengah-tengah mereka menyebar anak zina, maka Allah (swt) hampir meratakan azab ke atas mereka” [HR Ahmad].

Jika kita menghayati sabda baginda (saw) kita perlu melihat realiti di negara kita betapa amalan riba dan begitu berleluasa dalam masyarakat, bahkan menjadi sebahagian daripada sumber ekonomi. Manakala budaya zina (termasuk pelacuran), ikhtilat (interaksi haram antara lelaki dan perempuan), serta pergaulan bebas yang subur dalam masyarakat, semua ini sudah mendarah daging dalam masyarakat. Hasilnya jumlah anak zina terus meningkat yang statistiknya seakan-akan sudah tidak ada henti. Benarlah sebagaimana disebut oleh Rasulullah bahawa umat ini telah “menghalalkan” azab Allah (swt) ke atas mereka. Nauzubillah min zalik.

Jika kita meneliti sirah, sebenarnya telah banyak berlaku wabak ketika di zaman Sahabat dan para Khalifah. Ketika di zaman Khalifah al-Muqtadi bin Amrillah, pernah terjadi penularan wabak penyakit di Iraq, Hijjaz, dan Syam sehingga menyebabkan banyak binatang mati dan kesukaran mendapatkan bekalan makanan sehingga meresahkan masyarakat. Khalifah ketika itu telah memerintahkan supaya masyarakat melakukan amar makruf nahi mungkar. Ketika itu semua perkara-perkara lagha dan maksiat ditinggalkan. Akhirnya wabak berlalu pergi [lihat Ibnu Katsir, al-Bidayah wal-Nihayah].

Begitulah sikap dan tindakan golongan as-sabiquna al-awwalin (generasi terdahulu) dalam menghadapi musibah. Mereka sedar akan peringatan Nabi (saw), lalu bersegera meninggalkan maksiat, bertaubat, dan meningkatkan amal soleh dan ibadah mereka sehingga ketakwaan mereka semakin bertambah.

Maka, dalam menghadapi musibah wabak Covid-19 ini, marilah kita bersama-sama memuhasabah  semula diri kita, masyarakat dan yang lebih penting pimpinan negara, yang membenarkan segala perbankan riba, dan membuka pintu yang seluas-luasnya kepada (berlakunya) perzinaan. Kita wajib bertaubat dan meninggalkan segala kemaksiatan kepada Allah (swt). Sebagai Muslim, jika ada yang terlibat dengan transaksi ribawi, tinggalkan segera “peperangan” dengan Allah (swt) itu, dan jauhilah segala dosa-dosa lainnya. Ayuhlah dalam masa yang sama kita bersama-sama memuhasabah pemerintah yang “menghalalkan” sistem ribawi ini dan lain-lain kemaksiatan pada hari ini, dan mendesak mereka menerapkan hukum Islam secara kaffah.

Ingatlah firman Allah (swt),

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi” [TMQ al-A’raf (7):96].

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah (swt) dengan bersungguh-sungguh di saat berhadapan dengan ujian sebegini, seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah (saw) kepada kita,

Dari Saidina Utsman bin Affan (ra), Rasulullah (saw) bersabda, “Siapa yang berdoa,

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan sesiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam)” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Majah & Ahmad].

Manakala daripada Anas bin Malik (ra), dia berkata, Rasulullah (saw) berdoa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

“Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk” [HR Abu Daud].

Manakala doa Rasulullah (saw), daripada Ibn Umar (ra),

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat” [HR Abu Daud].

Semoga dengan taubat, doa, dan usaha kita bersungguh-sungguh dalam meniggalkan maksiat serta berusaha menegakkan hukum Allah (swt) ini akan menjadi asbab diangkatnya wabak Covid-19 ini di samping ikhtiar yang berlandaskan hukum sababiyyah (sebab-akibat) menurut Sunnatullah.

Wallahua’lam.

Editor