Mulakan Hijrah Berpandukan Wahyu

Oleh : Amani Mohamed

Muqaddimah

Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat sering dijadikan inspirasi untuk mengubah keadaan hidup. Ramai yang melakukan hijrah meninggalkan kemaksiatan menuju ketaatan dan ada juga memilih untuk hijrah meninggalkan kesusahan hidup demi mencari kesenangan material. Tetapi apabila hijrah dilakukan secara perorangan, kesannya tidak dirasai oleh keseluruhan masyarakat apatah lagi bagi umat Islam yang berbillion jumlahnya. Lalu, bagaimana rahmat Allah dapat dinikmati oleh sekalian alam? Sedangkan hijrah Baginda Rasul SAW ke Madinah adalah untuk membina peradaban baru dunia yang berpaksikan aqidah Islam dan berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya. Inilah hijrah yang hakiki.

Tanah Air Kita Selepas 1444 Tahun

Islam yang kita terima pada hari ini tidak datang kepada generasi nenek moyang kita secara automatik sebaliknya ia adalah hasil pengorbanan dan hijrah yang dirintis oleh umat terdahulu iaitu pendakwah Islam. Natijahnya ialah Tanah Melayu turut menerima kesan daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW melalui aktiviti dakwah yang dilakukan negara Islam yang kuat dan berdaulat walau jauh ribuan batu, sehingga pada akhirnya, kaum Melayu menjadi kaum Muslimin yang satu dan hidup bahagia di bawah penerapan syari’at Islam yang sempurna. Sayangnya, realiti hari ini jauh berbeza. Mari kita singgah bersama-sama di beberapa “stesen” untuk melihat realiti sebenar di lapangan kehidupan umat.

Stesen A : Sekolah

Sekolah merupakan tempat untuk menimba ilmu dan membentuk akhlak. Namun pandemik Covid-19 membuatkan suasana pembelajaran telah berubah di mana anak-anak belajar sepenuhnya di atas talian. Sebuah kajian yang dijalankan badan antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu UNICEF dan UNFBA mendapati seorang daripada lima murid di negara ini telah hilang minat untuk ke sekolah [Astroawani 30/10/2020]. Maka, tidak hairanlah apabila seramai 32,735 orang calon SPM tidak hadir ke peperiksaan tahun lalu. Malah Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan lebih 72 peratus pelajar lepasan SPM dan STPM pada 2019 (sebelum pandemik) tidak berminat untuk meneruskan pelajaran. Negara dijangkakan mengalami pengurangan generasi berpendidikan tinggi dan tenaga kerja yang pakar serta mahir di masa hadapan.

Stesen B : Mahkamah Syari’ah

Di sinilah tempat kegemaran para wartawan mencari kisah untuk disensasikan. Tugas mahkamah syari’ah telah disempitkan antaranya menjaga unit terkecil dalam sebuah masyarakat iaitu keluarga Muslim. Bukan sahaja kes penceraian selebriti, malah mengejutkan apabila Jabatan Kehakiman Syariah mendedahkan sebanyak 45,420 kes penceraian telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021 [HMetro 4/7/2023]. Jangan pernah lupa tentang beberapa kes pertukaran agama di mana mahkamah terpaksa akur kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti dalam kes anak-anak Indira Gandhi tahun 2018 dan Muhammad Nagahswaran Muniandy tahun 2021. Mahkamah syariah mendedahkan kepincangan dalam masyarakat tanpa solusi tuntas. Lalu, siapa lagi boleh diharapkan untuk mempertahankan aqidah anak-anak kita?

Stesen C : Kompleks Pentadbiran Kerajaan

Slogan keramat “dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat” yang dijulang oleh sistem demokrasi ini pertama kali diucapkan oleh Abraham Lincoln yang bukan Muslim. Sepatutnya tidak dijunjung oleh ahli politik Muslim, bukan? Mereka dipilih rakyat, tetapi selepas berkuasa rakyat pula yang menderita. Buktinya, pembentangan Bajet 2023 mencatatkan penurunan subsidi untuk rakyat kepada RM64 billion berbanding RM70 billion sebelum ini, padahal inflasi mata wang semakin meningkat. Manakala, golongan T20 yang dilabel “mahakaya” oleh PM tidak layak menerima sebarang bantuan malah cukai untuk mereka ditingkatkan [Bharian 20/2/2023]. Ibarat harapkan pegar, pegar makan padi.

Tiada Pilihan Selain Hijrah

Paparan realiti-realiti di atas menunjukkan kita masih hidup dalam penderitaan dan kegelapan. Fakta buruk, seram dan kelam yang menyelimuti kehidupan umat manusia hari ini wajib ditinggalkan kerana kita sedang hidup dalam sistem bukan Islam buatan manusia. Hidup ini terasa amat jauh daripada rahmat Allah yang hanya akan dinikmati sekiranya kita berhijrah persis yang dilakukan Rasulullah SAW. Justeru itu, apa yang perlu difahami untuk memulakan hijrah hakiki ini?

Pertama, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ Ar-Ra’d (13):11]. Frasa ‘apa yang ada’ adalah bermaksud pemikiran. Tindakan manusia melambangkan pemikiran yang diambil sebagai landasan kehidupan. Maka, umat Islam keseluruhannya perlu diluruskan semula pemikirannya agar kembali kepada Islam. Hijrah seharusnya menjadi modal bagi kita untuk menemui semula jati diri sebagai sebaik-baik umat. Rasulullah menukar pemikiran jahiliyyah penduduk Mekah kepada pemikiran Islam dan Mush’ab bin Umair menukar pemikiran penduduk Yatsrib (Madinah) kepada pemikiran Islam. Setelah berhasil, maka hijrah pun berlaku dan bergabunglah Muhajirin serta Ansar memberi dokongan kepada Junjungan Mulia Muhammad SAW sehingga tertegak Daulah Islam pertama di dunia yang menjadi perintis keagungan peradaban Islam selama lebih 13 abad.

Kedua, Rasulullah SAW telah sampaikan, “Seorang Muslim adalah orang yang menjadikan Muslim lainnya selamat dari lisan dan tangannya. Seorang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa saja yang dilarang oleh Allah.” [HR Bukhari, Abu Daud, Nasai, Ahmad, Hakim, Ibnu Hibban, Humaidi]. Hadis ini memberi erti bahawa semangat hijrah itu adalah segera dan menyeluruh dalam meninggalkan larangan Allah. Ia tidak terbatas pada perubahan individu dan masyarakat sahaja. Ada makna yang lebih luas jika kita perhatikan pada peristiwa hijrahnya Rasulullah SAW iaitu menegakkan sistem dan kepemimpinan Islam secara menyeluruh dalam urusan negara.

Ketiga, hijrah ini bukan mudah dan pastinya banyak rintangan tetapi peganglah ayat Allah ini, “Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Boleh jadi (pula) kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah [2]: 216].

Rasulullah SAW dan para sahabat melalui pelbagai kecaman dan kekejaman manusia yang membencinya. Tetapi, tetap ditempuhi jalan sukar ini demi mendapat redha dan keampunan Allah SWT. Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Mengetahui bagaimana kehidupan yang baik buat hambaNya di dunia dan akhirat.

Khatimah

Hijrah hakiki bukanlah sekadar perubahan spiritual yang bersifat individual. Peristiwa penting ini adalah batu loncatan besar dalam misi dakwah Rasulullah SAW. Batu pertama kepada bangunan besar peradaban Islam dan bertahan lebih daripada 1300 tahun. Hijrah adalah peristiwa yang menjadi titik transformasi dari idea-idea Islam sebagai ideologi yang kemudian diterapkan secara praktis oleh sebuah negara. Saat ini, hijrah yang perlu kita lakukan bukanlah berpindah tempat, tetapi menukar sistem sekular kapitalis demokrasi yang rosak hari ini kepada sistem aturan Allah secara sempurna dan menyeluruh. Marilah berazam untuk melakukan hijrah ini bersama-sama dan bertawakallah kepada Allah SWT.

Wallahua’lam