Muslihat AS dengan kekuatan peluru berpandu Iran

WASHINGTON 16 Julai – Pentagon semalam berkata, Iran mempunyai keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu yang boleh mengenai sasaran di timur dan selatan Eropah. Pengarah Agensi Pertahanan Peluru Berpandu Pentagon, Leftenan Jeneral Trey Obering berkata, beliau percaya Iran mempunyai peluru berpandu dengan jarak 2,000 kilometer tetapi enggan menyatakan sama ada senjata itu telah diuji.

“Iran sendiri mengatakan mereka telah menguji peluru berpandu dengan jarak 2,000 kilometer.

“Saya percaya, berdasarkan apa yang saya lihat setakat ini (melalui laporan media Iran) dan laporan risikan, mereka berupaya melakukannya dan akan lebih maju lagi pada masa hadapan,” katanya.

Iran minggu lalu menyatakan, ia telah melancarkan siri ujian peluru berpandu termasuk apa yang dipanggil oleh media negara itu sebagai versi baru Shahab-3 yang dikatakan mampu sampai ke Israel.

Iran bagaimanapun menafikan ia memajukan senjata nuklear dan menegaskan program nuklear negara itu direka untuk menjana tenaga elektrik bagi membantu pengeluaran gas dan minyak.

Agensi Risikan Pertahanan Pentagon yang memantau ancaman senjata pemusnah utama ke atas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya turut kabur dalam testimoni yang dikeluarkan pada 27 Februari lalu mengenai keupayaan peluru berpandu Iran tersebut – Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 17/07/08

Ulasan:

Amerika Syarikat baru-baru ini telah menghadapi tentangan untuk mendirikan pangkalan ketenteraannya di Irak. Presiden boneka Irak, Nouri al-Maliki sendiri memberitahu bahawa dia mahu jadual pengunduran beransur-ansur tentera AS dari Iraq. Sekutu utama AS iaitu  Britain telah pun mengundurkan diri daripada Basra, selatan Irak, sementara Australia juga telah berbuat demikian.

Selain keupayaan peluru berpandu, AS turut juga menuduh Iran membekalkan senjata kepada kumpulan militan di Irak, dan menakutkan penduduk Iraq terhadap ancaman Iran.

Hal ini boleh difahami kerana AS mahu mendirikan pangkalan ketenteraannya di Irak. Oleh itu, AS mesti mewujudkan suatu “ketakutan” terhadap Iran di kalangan penduduk Irak. Walaupun Iran tidak pernah mengancam Irak sejak berakhirnya perang Iran-Irak pada tahun 1988.

Begitu juga usaha AS mahu mewujudkan ketakutan terhadap negara-negara Eropah terhadap senjata peluru berpandu Iran. Ini adalah kerana AS mahu menempatkan peluru berpandunya di Eropah Timur iaitu negara-negara bekas Sosialis pada masa perang dingin dengan Kesatuan Soviet. Kesatuan Soviet Sosialis pernah menceroboh dan menduduki Hungary dan Czechoslovakia pada tahun 1950an. Untuk mengimbangi kuasa Rusia supaya peristiwa lama tidak berulang kembali di Eropah Timur, maka AS mahu menempatkan peluru berpandunya di negara-negara Eropah Timur supaya Rusia tidak kembali menjajah atau dengan kata lain, tidak kembali menjadi kuasa penjajah. Ini kerana Rusia merupakan saingan utama kepada AS yang mahu meluaskan pengaruh dan penjajahannya di seluruh Eropah.

Rusia telah beberapa kali menyatakan bantahannya tentang penempatan peluru berpandu AS di Eropah Timur. Oleh itu untuk mencari alasan untuk menempatkan peluru berpandunya di Eropah Timur, maka AS terpaksa mewujudkan ketakutan Eropah Timur terhadap peluru berpandu Iran, walaupun Iran tidak pernah mengancam mana-mana negara Eropah Timur.

Sebab yang sama dapat dilihat di dalam isu pangkalan ketenteraan AS di Korea Selatan, di mana AS sengaja mewujudkan ketakutan terhadap Korea Utara di kalangan penduduk Korea Selatan, supaya AS dibenarkan untuk membina pangkalan ketenteraannya di Korea Selatan.

AS sebagai kuasa besar di blok Barat mahukan penduduk dunia terus memilihnya sebagai polis dunia untuk menjaga keamanan dengan mewujudkan berbagai alasan untuk mencapai tujuan tersebut. Dengan mengadakan ketakutan terhadap negara tertentu, maka objektif ini dilihat akan terhasil. Justeru negara-negara yang tidak berupaya untuk menghadapi kekuatan AS terpaksa menandatangani perjanjian dengan AS dan membenarkan AS mendirikan pangkalan ketenteraannya di negara tersebut sebagai benteng terhadap ancaman luar.

Selama mana tidak adanya Daulah Khilafah, selama itulah nampaknya negara-negara di dunia terus di dominasi oleh kejahatan AS. Hanya Khilafah sahajalah yang akan muncul sedikit masa lagi yang akan menjadikan “pertemuan” dengan Amerika umpama buku dengan ruas.