Muslimah, Berilah Peluang Kepada Syarak Mengatur Dirimu!

Wanita perlu diberi peluang
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
 
Walaupun menghuni daerah yang berbeza, memiliki warna kulit dan menganuti agama yang tidak serupa, wanita di seluruh pelosok dunia berkongsi masalah yang sama.

Keganasan rumah tangga, perceraian, keibubapaan, kanak-kanak, penderaan seksual, rogol, khasiat makanan, pornografi, ibu tunggal, kanser buah dada dan sebagainya merupakan sebahagian daripada isu-isu yang melingkari dunia wanita.

Apa yang berbeza mungkin hanya dari segi penekanan – di negara-negara maju isu-isu mungkin lebih kepada kesaksamaan gender berbanding negara-negara mundur yang masih dibelenggu dengan kemiskinan, penyakit dan diskriminasi.

Terlalu banyak isu, namun realitinya kebanyakan isu-isu berkaitan kepentingan wanita tidak dianggap sebagai isu nasional yang perlu mendapat perhatian membuatkan ia dianggap tidak penting.

Berlandaskan kesedaran itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memilih tema Kesaksamaan Hak, Kesaksamaan Peluang Kemajuan Untuk Semua sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2010.

Tema sambutan yang dirai di seluruh dunia setiap 8 Mac itu, dianggap sebagai perjuangan wanita sejagat yang masih tidak selesai dalam meletakkan hak-hak mereka pada kedudukan sepatutnya.

Daripada tema itu sahaja sudah membuktikan wanita di seluruh dunia berhadapan dengan dilema yang sama iaitu mahu hak dan sumbangan mereka diiktiraf untuk kemajuan serta kesejahteraan bersama.

Dalam konteks wanita di Malaysia terutama pada masa kini, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa jurang kesaksamaan tersebut semakin rapat dengan peluang yang sama diberi kepada wanita terutama dalam pendidikan dan pekerjaan.

Ini diakui sendiri oleh Pengarah Institut Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) bagi Memperkasa Wanita (NIEW), Datuk Rafiah Salim, yang melihat kedudukan hak wanita di negara ini jauh lebih baik daripada di sesetengah negara luar.

“Berbanding di beberapa negara lain kita mungkin tidak lagi berjuang untuk mendapat kesamarataan dari segi pendidikan, undang-undang, pekerjaan, gaji dan sebagainya kerana semua itu sudah kita perolehi.

“Namun, masih ada isu atau ruang untuk kita lihat bagi diperbaiki seterusnya dipertingkatkan.

“Kalau kita lihat di parlimen jumlah ahli parlimen wanita masih kecil. Begitu juga, saya rasa kita masih kekurangan dalam barisan kabinet kerajaan sama ada peringkat menteri atau timbalan perdana menteri.

“Keadaan itu menyebabkan hasrat untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan belum kesampaian,” katanya.

Begitu juga kedudukan wanita di sektor korporat di mana sehingga setakat ini wanita hanya mengisi tujuh peratus saja kerusi pengarah di syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham.

Keadaan ini berlaku sebahagiannya disebabkan oleh pemikiran takuk lama di mana wanita sering dilihat tidak ‘cukup layak’ untuk menduduki kerusi nombor satu hanya kerana mereka wanita dan bukan disebabkan kurang kemampuan atau kebolehan.

“Sebenarnya senario ini bukan saja di Malaysia, malah di peringkat dunia termasuk negara-negara maju juga mengalami masalah sama malah di sesetengah negara seperti di negara-negara Arab keadaannya lebih teruk.
“Jadi boleh kita katakan cabaran dan halangan yang dihadapi wanita seluruh dunia adalah serupa iaitu untuk mengubah pemikiran yang lapuk,” katanya.

Dalam hal ini Rafiah berpendapat langkah-langkah yang amalkan oleh PBB patut dicontohi.

“Berdasarkan pengalaman berkhidmat di badan dunia tersebut, Kofi Annan (Setiausaha Agung PBB ketika itu ) sentiasa mengambil langkah-langkah untuk beri peluang yang sama rata pada wanita.

“Sebagai contoh, kalau ketika itu ada satu jawatan kosong dan ada dua calon lelaki dan wanita yang sama layak, wanita akan dipilih untuk memastikan 50 peratus suara wanita dalam peringkat pembuat keputusan dipenuhi.

“Saya percaya langkah yang sama masih berterusan di PBB sekarang ini,” katanya yang pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha Agung bagi Pengurusan Sumber Manusia PBB, di New York, Amerika Syarikat dari tahun 1997 hingga 2002.

Kemampuan
Rafiah juga berpendapat, sikap serta tanggapan lelaki terhadap kemampuan wanita juga perlu diubah bagi memastikan negara tidak mengalami kerugian akibat tidak memanfaatkan guna tenaga yang telah dilaburkan di peringkat pendidikan.

“Kita perlu sedar bahawa 70 peratus penuntut di universiti adalah wanita. Ia bukan jumlah yang kecil dan jika tidak digunakan di sektor pekerjaan ia satu kerugian sumber manusia yang cukup besar.

“Jadi kita perlu meletakkan wanita di tempat mereka mengikut kebolehan dan keupayaan kerana jika tidak negara juga yang akan rugi,” katanya.

Rafiah mengharapkan dari masa ke semasa lelaki akan ingat bahawa sebenarnya ia tentang memberi peluang kepada anak atau adik perempuan mereka sendiri.

“Kita perlu ingat bahawa every woman is somebody’s mother, grandmother, daughter, ( setiap wanita adalah nenek, ibu, kakak, anak seseorang ). Jadi beri mereka peluang yang sewajarnya.

“Memang kita tak boleh nafikan wanita Malaysia sudah pergi jauh, cuma yang kita minta sekarang peluang di tahap yang betul mengikut kebolehan.
“Tapi kadang-kadang kita lihat wanita kita pun tidak menyokong wanita sendiri malah ada juga wanita yang menindas wanita.
“Jadi saya sarankan wanita Malaysia yang sudah berjaya mempunyai kewajipan mendidik dan membawa dengan dia wanita lain.

“Kalau kita tengok golongan lelaki mereka begitu kuat dengan ikatan rangkaian mereka ( oldboy network) jadi wanita juga perlu ubah dan beri sokongan sesama sendiri.

“Bayangkan saja kalau seorang wanita membimbing satu atau dua wanita lain berjaya secara aktif maka kita akan nampak pergerakan itu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai peranan NIEW, kata Rafiah, secara umumnya pertubuhan itu diberi tanggungjawab untuk memperkasakan golongan wanita terutama dari negara-negara NAM dengan kemahiran tertentu.

Bagi mencapai matlamat tersebut NIEW telah mengadakan banyak kursus, bengkel, seminar dan sebagainya yang berkait rapat tentang mengupayakan wanita.

“Hakikatnya wanita boleh membuat pilihan tapi sukar untuk berbuat demikian kalau tidak mempunyai kebolehan atau kemahiran sukar untuk membuat pilihan tersebut,” katanya.

Sumber: Utusan Online 


Muslimah, Berilah Peluang Kepada Syarak Mengatur Dirimu!
Kesaksamaan Hak, Kesaksamaan Peluang Kemajuan Untuk Semua’.  Begitulah tema yang dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2010 yang dirai seluruh dunia pada 8 Mac 2010.  Alunan kesaksamaan gender yang sering dikumandangkan golongan feminis kini berbunyi lagi. Seiring dengan itu jugalah umat Islam khususnya Muslimah  tanpa berfikir jauh terus menerima dan merangkul erat pemikiran merbahaya ini.

Gema kesaksamaan paluan pejuang feminis ini telah mendorong sebahagian muslimah untuk menuntut persamaan hak dan kedudukan dalam semua aspek tanpa melihat adakah ianya berpaksikan hukum Allah atau sebaliknya. Nilai yang menjadi ukuran saksama atau tidak semata-mata dilihat oleh pemikiran  yang dipandu oleh akal dan emosi. Kenyataannya wanita tidak saksama dengan lelaki sebatas diukur dengan kurangnya bilangan wanita yang menduduki kerusi di Parlimen; menjadi pengarah di syarikat-syarikat saham dan korporat, menjawat jawatan dalam kabinet sebagai menteri atau timbalan menteri dan sebagainya.  Ini antara aspek yang dinilai dalam menentukan saksama atau tidaknya lelaki dan wanita.

Kesaksamaan atau tidak dalam aspek apa sekalipun perlulah dinilai dari perspektif syarak. Berbaliklah kepada ukuran syarak. Apabila syarak memperincikan hak dan peranan lelaki dan wanita, maka laksanakanlah ia dengan redha dan ikhlas kerana Allah.

Dan tidak patut bagi laki-laki dan perempuan yang Muslim dan tidak (pula) bagi laki-laki dan perempuan yang mu’min, apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan suatu ketetapan aka nada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsaiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah berbuat kesesatan yang nyata“. [TMQ Al-Ahzab :36]

“Sesungguhnya perempuan adalah saudara laki-laki ” [HR Bukhari] 

Kedudukan saudara yang diberikan antara lelaki dan perempuan menunjukkan bahawa sekalipun dalam beberapa hal peranannya berbeza, namun di antara keduanya terjalin hubungan kerjasama dan tolong-menolong.

Wahai para muslimah, tidak ada pilihan hidup yang lebih baik selain kembali kepada Islam.  Sudah terbukti Islamlah yang mampu mensejahterakan kehidupan kaum wanita dan bukan perjuangan kesaksamaan hak secara membuta tuli.  Bukankah hanya Allah yang mampu memahami segala kekurangan dan kelebihan makhluk yang diciptakannya?  Sudah saatnya kalian memberi dan membuka peluang ke atas diri kalian  untuk diatur ketentuan syarak dalam seluruh aspek hidup dan sudah pasti ianya bakal  menjadi kenyataan dengan tertegaknya Daulah Khilafah yang akan memastikan syariat Allah diterapkan secara kaffah(menyeluruh) sebagaimana yang diperintahkan Maha Pencipta di dalam kitabullah : ” Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam agama Islam secara keseluruhan(kaffah) dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu.”  [TMQ Al Baqarah (2) : 208]  Wallahua’alam.