Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia(MHTM) Turun Padang Melaksanakan Tabanni Mashalihul Ummah
Pada saat umat Islam di seluruh dunia menunaikan tanggungjawab di bulan Ramadhan, rakyat Pakistan di uji dengan krisis kemanusiaan yang teruk. Laporan terkini mengatakan bahawa lebih kurang 800,000 mangsa banjir saat ini sedang terkandas di beberapa lokasi yang terputus hubungan dengan dunia luar dan hanya boleh diselamatkan dengan perhubungan udara. Diberitakan bahawa kehilangan dan kerosakan harta benda juga turut berlaku dalam jumlah yang cukup besar.
Sebagai sebuah parti politik yang berpegang dengan ideologi islam dan bergerak ditengah-tengah umat Islam di seluruh dunia saat ini, maka ahli-ahli MHTM turut tidak mahu ketinggalan untuk melakukan apa yang dipanggil sebagai tabanni mashalihul ummah (TMU). Iaitu suatu aktiviti untuk mengangkat kemaslahatan yang menjadi hak umat tetapi tidak mereka perolehi atau ianya telah dirampas oleh pihak lain khususnya oleh para penguasa yang berkuasa disaat itu.
TMU dilakukan dengan cara mengambil setiap persoalan yang berlaku ditengah-tengah umat yang diselesaikan oleh pemerintah dengan cara yang salah, dengan memberikan penjelasan terhadap kerosakan dan kekeliruan tersebut dan juga kezaliman yang berlaku terhadap masyarakat akibat kerosakan dan kekeliruan tersebut, dengan memberikan penyelesaian yang sebenar mengikut hukum syarak.
Dalam kes banjir di Pakistan ini telah terbukti bagaimana kerajaan sekular Pakistan pimpinan Zardari gagal menyelesaikan isu tersebut dengan baik malahan terdapat maklumat yang mengatakan bahawa bantuan-bantuan yang datang dari pihak luar telah turut diselewengkan. Inilah suatu bentuk pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin sekular kepada umatnya sendiri. Jelas bahawa umat Islam di Pakistan khasnya dan umumnya seluruh dunia saat ini amat memerlukankhalifah yang akan memelihara kebajikan seluruh umat.
Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh umat adalah amat menggalakkan. Terserlah ikatan akidah dan ukhuwah Islamiyah dikalangan umat Islam hari ini masih lagi kukuh dan utuh didalam diri masing-masing. Sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih-sayang, rasa belas dan ikatan sesama mereka adalah umpama satu jasad, sekiranya satu anggota jasad merasai kesakitan maka yang seluruh jasad juga akan turut merasai sakit.” [Hadis riwayat Imam Muslim].
Pihak MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada selmua yang telah memberikan sumbangan. Semoga setiap sen dan ringgit yang telah dihulurkan oleh para penderma tersebut terutamanya dikalangan umat Islam yang prihatin kepada nasib umat Islam di Pakistan itu, akan diganjari oleh Allah SWT dengan berlipat kali ganda ketika kita disaat ini sedang berada di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh dengan keampunan dan keberkatan disisiNya sebagaimana firmanNya: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui.” [TMQ Al Baqarah 2:261] Wallahu ‘alam.