[Nahdhah Fikriyah | Edisi 135] Wanita Celik Politik, Tegak Khilafah
Oleh: Syamsiyah Jamil
Kedudukan tercorot Malaysia bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik seperti yang dinyatakan dalam Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) tidaklah menghairankan kerana masih ramai lagi wanita termasuk Muslimah yang kurang celik tentang makna dan aktiviti politik yang sebenar sehingga merasakan politik itu tidak penting.
Malaysia berada di tangga paling rendah dalam politik iaitu pada kedudukan ke-134 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2024 oleh Forum Ekonomi Dunia. Malaysia mengulang sejarahnya pada 2023 apabila tercorot dalam kalangan negara ASEAN bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik. Ketua Penerangan Muslimat PAS Sabah, Julaila Ismail pernah mengatakan bahawa, “Mereka tidak terlibat politik kerana tidak faham tentang kepentingan berpolitik…” [Harakah Daily, 16/9/2022]
Yeong Pey Jung, penganalisis kanan bagi Program Sosioekonomi dan Statistik di Penang Institute dalam artikelnya yang bertajuk Penyertaan Wanita Dalam Politik, menyatakan bahawa terdapat dua faktor yang menghalang wanita Malaysia menyertai politik. Pertama, norma budaya dan sosial yang sering mengehadkan peranan mereka kepada tanggungjawab keluarga dan domestik. Kedua, cabaran seperti diskriminasi berasaskan jantina, kekurangan sokongan kewangan dan sumber, serta akses yang terhad kepada rangkaian politik menjadikan persaingan dengan kaum lelaki dalam arena politik semakin sukar.
Inilah salah satu impak apabila runtuhnya Khilafah sebagai institusi politik Islam. Kesedaran politik Islam terbenam dalam diri umatnya termasuk Muslimah. Islam hanya diguna pakai dalam urusan individu dan sebahagian kecil urusan masyarakat. Politik tidak lagi diatur dengan Islam malah diatur dengan sistem demokrasi ciptaan kuffar Barat. Aktiviti politik yang benar telah dikaburkan saat ini dengan perjuangan yang terhad kepada sempadan negara bangsa dan perjuangan gender. Kedua-duanya bersifat sementara. Keadaan ini menggesa Muslimah untuk bangkit dan celik semula tentang politik.
Politik Malaysia Masa Kini
Saban tahun, banyak seruan dilaungkan untuk menggalakkan wanita supaya terlibat dalam politik. Tidak kurang juga suara-suara yang menggesa kerajaan untuk melakukan tindakan yang lebih besar untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam politik negara.
Dalam forum Political Participation in Malaysia: Towards Equal Access for Women to Political Mandates in Parliament and State Assemblies yang berlangsung di Kedutaan Jerman, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nice Ching berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil tindakan lebih tegas dan proaktif bagi memastikan wanita mendapat tempat sewajarnya terutama dalam politik negara. Parti politik harus mengambil inisiatif meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita atau mewujudkan kerusi khas yang hanya boleh ditandingi oleh kaum hawa. [astroawani.com, 14/11/2024]
Selain itu, satu kempen yang dilancarkan oleh Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) bersama gabungan masyarakat sivil dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain pada November tahun lalu telah menggesa kerajaan untuk meminda undang-undang pilihan raya supaya semua parti politik diberi mandat untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita menjelang PRU16 pada 2027/2028. [Utusan Malaysia Online, 23/11/2024]
Terang lagi bersuluh, makna dan aktiviti politik di Malaysia hanya dibataskan pada aktiviti sekitar pilihanraya dan meraih kerusi di tampuk kepimpinan. Tidak berlebihan juga untuk mengatakan bahawa seruan untuk melibatkan wanita dalam politik hanya sekadar untuk mencapai standard tertentu seperti Indeks Jurang Gender Global, Indeks Jurang Gender Malaysia, Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, Deklarasi Beijing dan sebagainya.
Persoalannya, adakah lebih ramai wanita akan melibatkan diri dalam politik sedangkan mereka sendiri tidak memahami politik yang sebenar dan kewajipan mereka untuk berpolitik sesuai dengan kehendak Islam? Adakah politik negara akan bertambah baik dengan bertambahnya wanita dalam barisan kepimpinan negara sedangkan sistem politik itu sendiri masih jauh daripada aturan Allah SWT? Sudah tentu tidak. Maka, wajarlah bagi Muslimah untuk sama-sama memahami makna dan aktiviti politik yang sebenar agar penglibatan mereka dalam politik sejajar dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, bukannya kehendak manusia.
Memahami Politik Islam
Politik (siyasah) menurut istilah/syara’ adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Makna ini diambil daripada beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat. Antara hadisnya adalah,
“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara.” [HR Bukhari & Muslim].
Berpandukan hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW adalah ahli politik dan mengajak umatnya untuk berpolitik, termasuklah Muslimah. Baginda bukan hanya layak dicontohi dalam aspek akidah, ibadat dan akhlak sahaja tetapi dalam semua urusan kehidupan manusia termasuk politik. Sebagai seorang pemimpin sebuah kutlah (kelompok/gerakan) Islam ketika di Mekah, Rasulullah SAW adalah seorang ahli politik. Sebagai Ketua Negara Islam semasa di Madinah sekaligus pemimpin dunia Islam, Rasulullah SAW adalah seorang ahli politik. Sebagai seorang Muslim yang berdakwah mengajak manusia kepada Islam dan melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar semasa di Mekah dan Madinah, Rasulullah SAW adalah seorang ahli politik.
Memilih Gerakan Politik
Setiap individu Muslim wajib berpolitik iaitu dengan memerhatikan urusan dan kepentingan umat diatur oleh pemerintah negara sesuai dengan hukum Islam. Mereka juga wajib memuhasabah pemerintah jika pemerintah mengatur negara dengan hukum selain hukum Allah SWT. Untuk melaksanakan kewajipan tersebut, Allah mewajibkan adanya segolongan umat (kutlah/gerakan) yang mengajak manusia kepada Islam dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagaimana perintahnya di dalam ayat ke-104 Surah Ali-Imran.
Oleh itu, memilih gerakan yang benar sangat penting dalam menentukan hala tuju perjuangan politik yang diredhai Allah SWT. Berikut empat tips yang dikongsikan oleh Saudara Joko Prasetyo, seorang ahli politik Islam dan jurnalis dalam tulisannya yang bertajuk Tips Memilih Jemaah untuk Kebersamaan dalam Takwa:
- Pilihlah gerakan yang selalu mengajak kepada Islam kaffah, bukan mengambil sebahagian atau mencampur-adukkan hukum Islam dan hukum lain.
- Pilihlah gerakan yang memerintahkan kepada kebaikan, bukan sekadar fardhu ain malah fardhu kifayah termasuk kewajipan menegakkan syariat oleh negara.
- Pilihlah gerakan yang mencegah kemungkaran, bukan sekadar kemungkaran yang bersifat individu malah kemungkaran seperti menerapkan hukum selain hukum Islam oleh negara.
- Tidak perlu memilih gerakan yang tidak memenuhi salah satu daripada kriteria di atas kerana dijamin tidak akan membawa kepada ketakwaan. Jika ada gerakan yang memenuhi semua kriteria di atas, pilihlah gerakan yang memiliki rekod prestasi yang lebih baik.
Memilih gerakan politik yang benar dapat menjamin pemenuhan kewajipan politik setiap Muslim dan Muslimah untuk menyampaikan muhasabah daripada rakyat kepada pemerintah zalim, yang tidak menerapkan Islam. Allah SWT dan RasulNya menjanjikan status sayid asy-syuhada (penghulu para syahid) sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW,
“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].
Khatimah
Dengan kefahaman yang benar tentang makna dan aktiviti politik, sudah tentu berbondong-bondong wanita melibatkan diri dalam politik dan bergabung dalam gerakan yang memperjuangkan penerapan Islam dan tegaknya semula Khilafah. Ia juga menjadi tanggungjawab seorang wanita yang bergelar ibu untuk mendidik anak-anak dengan kefahaman yang benar tentang politik kerana anak-anak masa kini adalah bakal pemimpin pada masa hadapan. Maka, masa hadapan generasi akan datang berada di tangan Muslimah pada hari ini.
Rujukan:
- https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2024/01/1195296/penguasaan-wanita-malaysia-dalam-bidang-politik-tangga-tercorot-di
- https://www.astroawani.com/berita-dunia/kesatuan-wartawan-palestin-lancar-kempen-womenjournalistswartime-499516
- https://penanginstitute.org/publications/suara-nadi/penyertaan-wanita-dalam-politik/
- https://www.utusan.com.my/nasional/2024/11/pinda-undang-undang-wajibkan-parti-politik-letak-30-peratus-calon-wanita/
- https://www.kosmo.com.my/2024/06/28/ramai-wanita-cemerlang-akademik-tak-sumbang-tenaga-buruh/?fbclid=IwY2xjawHSQWFleHRuA2FlbQIxMQABHUCB6HCgeOWpyNSu7iaSOYyVIiLCUOSmuEwus4dfTmm1FubYZwi16u-QfA_aem_m_eR3TGLixj0nyB-GgI6vg#google_vignette
- https://harakahdaily.net/index.php/2022/09/16/beri-kesedaran-politik-menerusi-program-kebajikan/
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jumlah-pemimpin-wanita-di-malaysia-masih-rendah-teo-496376
- https://www.facebook.com/share/p/19bzAny531/