[Nahdhah Fikriyah | NF124] Wahai Umat, Buktikan Kalian Beriman Kepada Rasul Dan Al-kitab!
Oleh: Amani Mohamed
Sejak kecil lagi anak-anak Muslim sudah menghafal enam rukun iman. Tetapi apabila usia semakin beranjak, adakalanya ramai yang alpa. Jom kita ingat semula rukun iman ini dan berharap semoga ingatan itu kekal hingga ke hujung usia. Iman adalah mutiara dan harta berharga yang mampu mengubah pemikiran, perasaan dan perilaku kita. Dengan iman, seorang penakut menjadi berani, bakhil menjadi dermawan dan lemah menjadi kuat. Sumayyah binti Khubath dan keluarganya dibunuh kerana mempertahankan iman.
Makna Beriman
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin menghuraikan makna iman sebagai pengakuan dengan lidah (lisan), mengakui dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota badan). Ringkasnya percaya tanpa ragu (haqqul yakin), mengaku dan beramal. Inilah tiga syarat kesempurnaan iman. Jika cacat syaratnya, jadilah dia seorang fasik, munafik atau kafir. Nau’zubillahi min dzalik.
Al-Quran adalah kata-kata (kalam) Allah sekaligus risalahNya. Sesiapa yang membawa risalah daripada Allah maka wajiblah dia seorang Rasul. Maka tidak diragukan bahawa Muhammad bin Abdullah ialah Rasul. Firman Allah, “Yaa Siin. Demi al-Quran yang penuh hikmah, sesungguhnya kamu (Muhammad) salah seorang dari rasul-rasul (yang berada) di atas jalan yang lurus.” [TMQ Yasin (36): 1-4]
Keperluan manusia kepada Rasul itu benar-benar dapat dirasakan dan terjangkau oleh akal. Pada hakikatnya manusia tidak mampu mengurusi segala keperluan jasmani (hajatul uduwiyah) dan naluri-nalurinya (gharizah) termasuklah dalam mengatur hubungan dengan Penciptanya hanya dengan menggunakan logik akal. Jika dibiarkan, sudah tentu timbul banyak perselisihan kerana manusia mempunyai kecenderungan yang berbeza. Maka, kita memerlukan satu standard yang seragam untuk seluruh manusia tetapi bukan rekaan manusia itu sendiri. Standard ini mestilah datangnya daripada Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT dan diwahyukan kepada RasulNya.
Kesempurnan Iman
Belum sempurna iman seorang Muslim jika perkara berikut masih berlaku:
1) Hawa nafsu dipuaskan tanpa panduan wahyu. Firman Allah SWT, “Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Qasas (28): 50].
Manusia diciptakan dengan pelbagai naluri dan keinginan. Contohnya, hati terasa gelisah apabila belum bertemu jodoh, belum memiliki beg tangan idaman atau belum ditawarkan untuk menunaikan haji. Persoalannya ialah, bagaimanakah untuk memenuhi naluri-naluri tersebut? Percayalah bahawa Rasul dan Al-Kitab ada solusinya. Jika diturutkan juga tanpa panduan wahyu, maka tidak hairan ramai yang bercinta dan berzina sebelum nikah, berhutang dengan riba untuk memiliki sesuatu atau sanggup terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
2) Perlembagaan negara tidak bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Negeri kaum Muslimin hari ini adalah bekas tanah jajahan Eropah-Barat yang memansuhkan peranan agama dalam rujukan perlembagaan negara. Di Malaysia, suruhanjaya yang diketuai Lord Reid bertanggungjawab membuat undang-undang baharu sebagai syarat kemerdekaan. Persis keadaan Yahudi yang digambarkan oleh Rasulullah SAW apabila para sahabat yang mulia bertanya, “Bagaimana caranya orang-orang Yahudi menjadikan para ulama’ dan pendeta mereka sebagai tuhan selain Allah?” Jawab baginda, “Mereka (ulama dan pendeta) itu telah membuat syariat untuk mereka.”
Pelbagai tuntutan dibuat oleh para peguam syariah, gerakan-gerakan dakwah dan badan-badan NGO agar perlembagaan kita dipinda. Padahal ia tidak perlu dipinda tetapi perlu ditukar kepada al-Quran dan as-Sunnah sepenuhnya agar terjamin manusia tidak tersesat.
3) Suara rakyat adalah pemutus hukum
Setelah dibentuk perlembagaan negara dengan memisahkan agama daripada kehidupan (sekular), ditetapkan pula suara majoriti wakil rakyat sebagai pembuat undang-undang negara. Maka berebutlah para pemimpin negara mengumpul sokongan untuk usul masing-masing. Tangan yang bersetuju melebihi yang membantah, kononnya membawa rahmat buat rakyat dan negara. Contohnya pada November 2023 lalu, ramai rakyat kecewa apabila RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) ditolak oleh Parlimen. Terang lagi bersuluh, demokrasi hanya retorik. Sebaliknya ugutan para kapitalis penentu segalanya. Sedangkan yang paling berhak sebagai pembuat hukum adalah Allah SWT. FirmanNya, “..Sesungguhnya keputusan menetapkan sesuatu adalah hak Allah..” [TMQ Yusuf (12):67].
Hak Allah ini bersifat mutlak dan tidak memerlukan suara majoriti untuk bersetuju. Lihatlah kegagalan mantan Menteri Agama mendapat suara majoriti dalam mengurangkan senarai konsert hiburan yang telah dirancang sepanjang tahun 2022. Adakah ini bererti, untuk menghentikan maksiat juga memerlukan undi majoriti?
Belum Terlewat Untuk Bertindak
Umat Islam tidak wajar berputus asa tatkala kezaliman dan kefasikan berleluasa. Ramai yang mengakui bahawa inilah bencana akhir zaman dan mengambil sikap menjaga diri dan keluarga masing-masing sahaja. Antara langkah yang boleh kita lakukan ialah;
1)Bertaubat : Menginsafi betapa lalainya kita dalam memelihara iman, maka segeralah memohon keampunan dariNya. Jangan lelah berdoa agar Allah sentiasa memelihara iman kita dan semoga kita istiqamah di jalan keimanan yang benar.
2) Belajar : Membina keimanan wajib melalui proses berfikir dengan menggunakan akal bukan sekadar mengikut rasa hati. Inilah yang dilalui oleh seorang tiktoker, saudari Megan Rice tatkala mengkaji al-Quran setelah melihat keteguhan iman penduduk Gaza sepanjang peperangan. Malah kini beliau pula giat menyerukan kaum Muslimin agar belajar Islam dan membentuk kesatuan.
3) Muhasabah : Salah satu kewajipan sesama Muslim adalah melakukan amar makruf dan nahi munkar. Lihat diri sendiri, ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tetangga sehinggalah pemimpin negara. Kita memiliki mata, mulut dan telinga ketika di dunia, tetapi kita tidak mahu di akhirat kelak Allah jadikan kita buta, bisu dan tuli.
Bersempena genap 100 tahun lenyapnya Khilafah pada tahun 1924, ayuhlah Muslimah! Kita sama-sama lakukan sesuatu untuk mengembalikan al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan dan bernegara. Kembalilah menjadi Muslimah yang berpegang teguh pada keimanan dan mendakwahkannya. Firman Allah SWT,
“Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” [HR Abu Daud]
Wallahua’lam