Wahai Menteri! Demokrasi-lah Yang Merupakan Ancaman kepada Umat

Berucap di Majlis Perasmian Youth, Foresight And Civics Education (VALUES2021) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan bahawa satu daripada cabaran yang dihadapi oleh belia Islam masa kini ialah pengaruh gerakan radikal yang bergerak dalam masyarakat dan kewujudan kumpulan seperti ini yang menggunakan nama Islam membawa imej buruk terhadap agama dan mengancam keselamatan serantau.

Sesungguhnya istilah “radikal” merupakan istilah neutral yang tidak membawa kepada konotasi negatif pun, tetapi malangnya sering digunakan oleh sesetengah pihak untuk memberikan gambaran negatif kepada subjek yang ditujukan. Contohnya apabila menyebut tentang “gerakan radikal”, ia sering dilabelkan sebagai sebuah gerakan yang merbahaya dan mengancam, sebagaimana yang digambarkan oleh Menteri Agama di atas.

Menurut laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, definisi “radikal” ialah – secara menyeluruh (tidak sedikit-sedikit atau terbatas), secara yg menjejaskan (mengubah dsb) aspek atau sifat asas sesuatu: perubahan yg ~ dlm adat resam sosial, politik, ekonomi, dan estetik; manusia boleh berubah dgn ~; 2. memperjuangkan (menyo­kong atau cenderung kpd) perubahan-per­ubah­an dasar pd bidang atau keadaan politik (ketatanegaraan, ekonomi, sosial, dll).

Berdasarkan definisi di atas, tidak ada salah atau negatifnya dengan istilah “radikal”. Jadi ia tergantung kepada konteks penggunaannya. Malah jika dikaitkan dengan Islam, ia boleh sahaja menjadi positif, contohnya jika kita ingin melakukan perubahan radikal daripada sistem sekular kepada sistem Islam (yang bermaksud perubahan sepenuhnya dari sistem kufur dengan menerapkan Islam secara kaffah), maka perubahan radikal seperi ini sudah pasti suatu yang baik.

Bagaimana pun istilah “radikal” telah diberikan konotasti negatif oleh Barat apabila Barat sering melabelkan umat Islam yang tidak mereka sukai dengan panggilan radikal. Dengan agenda jahat Barat ini, mereka telah berjaya meracuni pemikiran sebahagian kaum Muslimin, khususnya umara dan ulama salatin, untuk menjadikan istilah ini sebagai istilah yang mempunyai konotasi yang negatif apabila dilekatkan dengan Islam.

Kita harus memahami bahawa radikal dan kekerasan merupakan dua istilah yang berbeza. Kita tidak menafikan bahawa apa jua gerakan yang berunsur kekerasan dalam membawa perubahan merupakan suatu yang salah, boleh membawa kemudaratan dan sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam. Namun, gerakan yang membawa kekerasan tidak boleh terus dikatakan sebagai sebuah gerakan radikal, kerana hakikat keduanya tidak sama.

Dalam majlis yang sama, Menteri Agama mengajak masyarakat agar memahami kepentingan demokrasi dan sivik dalam kenegaraan.

Inilah realiti yang kita hadapi sekarang. Di saat pemerintah dan ulama salathin sibuk menyatakan kemerbahayaan dan ancaman golongan radikal, dan bangga dengan sistem demokrasi, mereka tidak sedar bahawa sistem demokrasi yang diterapkan ke atas umat Islam ketika ini, sesungguhnya jauh lebih berbahaya dan mengancam umat Islam. Malah ancaman dan kemerbahayaannya telah terbukti.

Sistem demokrasi merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat yang dijadikan alat oleh kuffar Barat untuk menghalang penerapan syariat Islam secara kaffah. Idea kebebasan di bawah sistem demokrasi telah terbukti merosakkan ramai generasi Muslim. Manakala konsep kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li sya’bi) yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi, telah menjadikan manusia mengambil peranan Allah sebagai Pembuat hukum. Sungguh amat merbahaya ajaran demokrasi ini terhadap umat Islam!

Sistem demokrasi merupakan sistem yang sangat membahayakan akidah umat Islam. Ini kerana “akidah” kepada sistem demokrasi adalah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan), di mana demokrasi menolak peranan Tuhan (Allah) dalam pemerintahan, dan hanya sekadar meletakkan peranan Tuhan dalam aspek spiritual semata-mata. Di dalam aspek politik dan pemerintahan, Tuhan tidak berhak campur tangan, sehingga hak untuk membuat hukum diletakkan di tangan anggota parlimen berdasarkan persetujuan majoriti. Inilah realiti sistem demokrasi yang sangat membahayakan akidah umat Islam!

Generasi Muslim tidak akan dapat menjadi role model kepada dunia selagi sistem kufur dari Barat ini menjadi pegangan. Ini kerana, untuk menjadi role model kepada dunia, sebagaimana generasi awal Islam dahulu, satu-satunya cara ialah dengan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah. Untuk membina generasi agar menjadi penyumbang yang lebih baik kepada masyarakat dunia, ia hanya boleh direalisasikan dengan wujudnya sistem Islam, bukannya dengan sistem demokrasi yang rosak lagi merosakkan ini. Manakala sistem Islam pula tidak akan dapat diterapkan kecuali dengan adanya sebuah Negara Islam iaitu Khilafah.

Wallahu a’lam.