Nahdhah Fikriyyah: Apakah Yang Kita Ada Untuk Dikorbankan Demi Allah SWT?
Muqaddimah
Rasulullah SAW bersabda, “Aku datang kepada kalian sedang kalian memiliki dua hari yang kalian bersenang-senang di dalamnya pada masa Jahiliyyah. Sungguh, Allah telah menggantikan untuk kalian hari yang lebih baik dari dua hari itu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” [HR Ahmad, abu Daud, an-Nasa’i dan al-Baghawi].
Pada tahun ini, kaum Muslimin di seluruh dunia sekali lagi meraikan salah satu hari yang telah dianugerahkan Allah buat umat Nabi Muhammad SAW iaitu Hari Raya Aidiladha. Pada hari tersebut, Allah SWT mengampuni dosa dan memberi ganjaran pahala yang besar kepada individu yang melaksanakan ibadah haji dan korban serta Dia menebarkan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya yang taat. Di sebalik aktiviti ibadah haji dan korban tersebut, terselit sebuah kisah yang sangat menggoncangkan hati dan jiwa mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Sebuah kisah yang diceritakan oleh Allah SWT dalam kalamNya untuk dijadikan ibrah (pengajaran) buat hamba-hambaNya.
Pengorbanan Keluarga Nabi Ibrahim AS
Secara fitrahnya, manusia telah diciptakan Allah SWT lengkap dengan gharaiz (naluri-naluri) dan salah satunya adalah gharizah an-nau’ (naluri kasih sayang). Naluri inilah yang mewujudkan cinta antara suami isteri serta cinta ibu dan ayah dengan anaknya. Maka Islam yang bertindak sebagai mu’allajah (penyelesaian) bagi setiap masalah manusia telah memberi jalan untuk menyalurkan kasih sayang itu dengan ikatan perkahwinan. Melalui perkahwinan, pastinya setiap pasangan itu menginginkan zuriat keturunannya sebagai salah satu bekalan amal di akhirat kelak. Begitulah yang dilalui oleh Nabi Ibrahim AS yang sentiasa berdoa dengan penuh berharap kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak yang soleh dengan berdoa, “Ya Rabb, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang soleh” [TMQ ash-Shaffat (37):100].
Kemudian Allah mengabulkan permintaannya. Kehadiran Ismail dalam kehidupan Nabi Ibrahim merupakan satu anugerah yang terindah. Kasih sayang diberikan sepenuhnya kepada Ismail dan didikan agama sentiasa diberikan kepada beliau sehingga jadilah Ismail anak yang soleh dan taat kepada ibu bapa. Namun, tibalah saatkan rasa kecintaan itu diuji apabila Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih Ismail. Firman Allah SWT,
“Maka tatkala anak itu telah sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu” [TMQ ash-Shaffat (37):102].
Perintah itu benar-benar menguji ketaqwaan dan kecintaan Nabi Ibrahim AS kepada PenciptaNya, Allah SWT. Beliau harus membuat pilihan samada mengutamakan kecintaan yang tinggi (al-mahabbatul ulya) iaitu kecintaan kepada Allah atau lebih mengutamakan kecintaan yang rendah (al-mahabbatul adna) iaitu kecintaan kepada anak, harta, dan dunia. Perintah yang amat berat itu disambut Ismail AS dengan penuh kesabaran. Dia pun mengukuhkan keteguhan jiwa ayahandanya dengan mengatakan, “Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar” [TMQ ash-Shaffat (37):102].
Dengan izin Allah SWT, Dia menggantikan Ismail dengan seekor binatang apabila Nabi Ibrahim tekad untuk menyembelih anaknya sebagaimana firmanNya,
“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggil dia, wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar” [TMQ ash-Shaffat (37):103–107].
Inilah ibrah (pengajaran) yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail AS untuk seluruh umat Islam. Nabi Ibrahim telah mengorbankan Ismail demi kepatuhan kepada Allah SWT. Bagi menzahirkan semangat tauhid dalam diri seorang makhluk dan hamba, inilah pengorbanan sebenar yang sepatutnya dilakukan kepada Sang Khaliq iaitu mengutamakan al-mahabbatul ulya (kecintaan yang tinggi) daripada al-mahabbatul adna (kecintaan yang rendah). Sesuatu yang termasuk dalam kecintaan yang rendah seperti harta, pangkat atau anak perlulah dikorbankan jika ia boleh menghalangi seorang hamba daripada taat kepada perintah Allah SWT.
Pengorbanan Kita
Saat ini, tanyakan pada diri kita, apakah yang kita ada untuk dikorbankan sebagai bukti ketaqwaan kepada Allah SWT? Adakah kita mempunyai sesuatu yang amat kita cintai dan deminya kita rela mengorbankan apa sahaja? Itulah ‘Ismail’ kita yang perlu dikorbankan. ‘Ismail’ inilah yang dapat melemahkan iman kita dan menghalangi diri kita untuk mentaati Allah, justeru layak dikorbankan. Apa yang sepatutnya dikorbankan adalah apa sahaja yang membuatkan diri kita diam daripada membicarakan haq (kebenaran), menghalangi kita daripada melaksanakan kewajipan-kewajipan dan menyebabkan kita memberikan pelbagai alasan untuk mentaati perintah Allah SWT.
Apa yang kita ada saat ini, samada sedikit atau banyak, jauh atau dekat, kecil atau besar, ada yang perlu dikorbankan demi membuktikan cinta dan taqwa kepada Allah SWT. Kita mungkin ada isteri, suami, anak ibu bapa atau sesiapa sahaja. Kita juga ada harta benda, pangkat, kepentingan atau kedudukan. Allah SWT berfirman,
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan” [TMQ al-Kahfi (18):46].
Ada juga antara kita yang mempunyai mabda’ (ideologi) dan pandangan hidup sekular, seperti kapitalisme, sosialisme/komunisme atau apa-apa sahaja ideologi yang tidak bersumber daripada nilai-nilai tauhid. Perkara penting yang harus difahami di sini adalah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh kaum Muslimin saat ini tidaklah terhad kepada menyembelih binatang untuk diagihkan kepada orang miskin dan fakir. Ini adalah kerana Allah SWT tidak hanya menilai pengorbanan hambaNya dalam ruang lingkup ibadah sunat sahaja. Memahami konsep pengorbanan dalam ruang lingkup ibadah ruhiyah dan ibadah sunat sahaja adalah kesan daripada pemikiran sekular yang menyebabkan umat Islam jauh daripada amalan kehidupan Islam yang kaffah.
Wahai Muslimat yang dikasihi,
Bagaimana besar sekali pun kecintaan kita kepada apa yang kita ada, sepatutnya lagi besarlah cinta kita kepada Pencipta semua itu atas dasar semangat tauhid kepadaNya. Justeru, tatkala khitab as-Syari’ (seruan Pembuat hukum) iaitu Allah SWT berkumandang, yang harus diucapkan kaum Muslimin adalah sami’na wa atho’na (kami dengar dan kami patuh) bukannya sami’na wa ‘ashoina (kami dengar dan kami ingkar).
Sebagai seorang Muslimah, wajarlah kalian mengorbankan segala kepentingan dan kecintaan yang rendah tatkala Allah memerintahkan kalian berhijab berlandaskan hukum syarak. Korbankanlah kepentingan dan kecintaan yang rendah tatkala peranan ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumahtangga) kalian terbengkalai. Korbankanlah kepentingan dan kecintaan yang rendah tatkala dunia memerlukan tenaga-tenaga kalian untuk membebaskan segala kezaliman yang berlaku kerana bermaharajalelanya sistem sekular saat ini. Korbankanlah segalanya tatkala apa yang dimiliki kalian saat ini telah menghambat jalan dakwah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan bagi kalian suatu nikmat yang lebih besar berbanding segala apa yang ada di dunia ini dalam firmanNya,
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar” [TMQ at-Taubah (9):111].
Penutup
Cinta dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan sama sekali. Kecintaan hakiki yang tinggi akan termanifestasi dalam ketundukan, kepatuhan serta keterikatan seluruh kaum Muslimin terhadap segala ketentuan syara’Nya yang wajib dilakukan secara kaffah dalam kehidupan peribadi, bermasyarakat dan bernegara. Kesemua itu tidak akan terlaksana tanpa adanya sebuah institusi politik yang digelar Daulah Khilafah kerana hanya Khalifahlah yang mampu mengatur kehidupan umat manusia sesuai dengan ketentuan syarak. Oleh itu, perjuangan bagi menegakkan kembali al-Khilafah al-Islamiyah yang akan menerapkan syariah secara kaffah dan mewujudkan kembali persatuan umat jelas memerlukan pengorbanan kerana tidak ada ketaatan tanpa pengorbanan. Semoga kita termasuk golongan-golongan yang bersedia untuk mengorbankan ‘Ismail’-nya. Aamiin..
Wallahu’alam…