[Nahdhah Fikriyyah | Edisi 111] Kerjaya Wanita Dari Sudut Pandang Islam

Oleh: Hidayah Muhammad

Mukadimah

Kini, kita melihat trend sebahagian wanita yang memilih kerjaya dan bekerja dalam bidang yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki seperti juruterbang, jurukimpal di pelantar penapis minyak, juruteknik yang memasang peralatan di menara berkembar dan sebagainya. Apabila ia dihebahkan di televisyen, media sosial dan cetak, cabaran-cabaran yang dihadapi wanita yang menceburi bidang kerja dalam industri yang memerlukan kekuatan fizikal dan tenaga lelaki seolah-olah menjadi “wow factor”. Fenomena ini dilihat telah meningkatkan keterampilan dan martabat wanita, apatah lagi setelah ia menjadi tular. Persoalannya, bolehkah wanita bekerja atau memilih kerjaya yang didominasi oleh kaum lelaki ini?

Sudut Pandang Kapitalis

Jika persoalan ini diambil dari sudut pandang kapitalis, maka ia akan dinilai sebagai suatu kerjaya yang boleh dibanggakan. Ini kerana masyarakat yang menerima pandangan hidup ideologi kapitalis menganggap wanita perlu diperkasakan dan tidak boleh disekat dalam melakukan apa-apa jenis pekerjaan. Bahkan mereka menggalakkan wanita-wanita bekerja tidak kira dalam sektor apa sekalipun kerana ia membantu negara menjana pendapatan dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara.

Oleh kerana itulah, permerkasaan wanita (women empowerment) adalah antara isu yang sering dibincangkan saban tahun. Atas dasar ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat (KPWKM) telah memilih tema Sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 iaitu “Saksama Bersama”. Ia selari dengan tema yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu “Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow” (Kesaksamaan Gender Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Depan).

Fahaman ini memberi gambaran bahawa pemerkasaan wanita merupakan aspek penting dalam mencapai kesaksamaan gender. Kesaksamaan gender merujuk kepada hak, keadilan dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita yang sama dalam semua aspek termasuklah bidang ekonomi. Fahaman ini memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Apa yang lelaki boleh lakukan, wanita juga boleh lakukan.  Laporan Berita Harian pada 23 September 2022 menyatakan bahawa hanya hanya 52 daripada 100 syarikat tersenarai utama mencapai sasaran penyertaan 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah, manakala 350 syarikat tersenarai atau 36.5 peratus daripada keseluruhan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanya mempunyai seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah mereka setakat September 2022. Disebabkan fakta inilah, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin menegaskan bahawa di bawah Bajet 2022, semua syarikat tersenarai dikehendaki untuk melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Dari sudut pandang kapitalis, wanita yang berjaya ialah wanita yang memiliki kerjaya dan mampu memberi sumbangan kepada isi rumah tangga sekaligus mampu menjana ekonomi negara. Pandangan ini adalah berdasarkan nilai material semata-mata dan inilah hakikatnya yang terjadi ditengah-tengah masyarakat. Hakikat ini disokong dengan realiti sesetengah industri seperti penyedia kesihatan (healthcare providers) yang mana majoriti kakitangan dari kalangan jururawat menguatkan lagi dakwaan ini.

Sudut Pandangan Islam

Jika kapitalis memandang kerjaya atau pekerjaan wanita itu dari sudut material, hal ini sangat bertentangan sekali dari sudut pandang Islam.  Kaum wanita di dalam Islam dipandang sebagai kehormatan yang wajib dijaga. Hukum-hukum yang terkait tentang wanita juga adalah untuk menjaga dan mengangkat martabat wanita.

Di dalam Islam, peranan dan kerjaya utama seorang wanita adalah sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga). Kerjaya sebagai seorang ibu dan pengatur rumah tangga ini memberi impak yang amat besar kerana melalui peranan inilah para ibu mampu mencetak dan mendidik anak-anak untuk menjadi generasi terbaik. Berbeza dengan pandangan tradisi yang menganggap peranan wanita seolah-olah hanya di dapur (menyediakan makan minum), di telaga (membasuh dan membersihkan rumah) dan di katil (melayani suami). Wanita menurut pandangan Islam malah berperanan penting di tengah-tengah masyarakat melakukan aktiviti dakwah dan amar makruf nahi mungkar sebagaimana yang diwajibkan ke atas kaum lelaki.

Kedudukan Wanita Dalam Islam

Islam telah menetapkan peraturan dan hukum yang jelas mengenai wanita. Ini termasuk hukum wanita yang ingin bekerja. Wanita dibolehkan bekerja secara syarie. Bekerja untuk mengamalkan ilmu yang telah dipelajari tidaklah dilarang. Bahkan mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dengan bekerja sebagai guru, doktor, jururawat, pensyarah dan sebagainya adalah termasuk kategori fardhu kifayah. Memegang jawatan penting dalam sesebuah syarikat juga dibolehkan. Namun perlu dipastikan kewajipan utama sebagai ibu dan pengatur rumah tangga tidak diabaikan. Wanita juga perlu menjaga batasan dan landasan yang telah ditetapkan oleh syarak seperti wajib mendapat keizinan suami, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita, larangan bertabarruj, kewajipan berpakaian syarie semasa keluar rumah dan sebagainya.

Oleh itu , jika wanita ingin berkerja di dalam bidang yang didominasi oleh lelaki,  perlu diperhatikan dulu suasana kerja dan juga bidang tugas yang dipertanggungjawabkan. Adakah ia bersesuaian dengan  hukum syarak atau tidak. Kalau ia bersesuaian dengan syarak maka hukumnya adalah mubah, Namun jika suasana dan bidang tugasnya bertentangan dengan syarak maka ia adalah haram.

Malahan ,tidak sepatutnya bagi wanita yang hukumnya mubah untuk bekerja menjadi beban dengan berpandangan bahawa mereka turut bertanggungjawab menafkahi keluarga bersama-sama suami. Ini kerana kewajipan memberikan nafkah terletak di bahu suami. Firman Allah SWT:

“…dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf” [TMQ al-Baqarah (2): 233]

Khatimah

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan hukum dan peranan masing-masing antara lelaki dan wanita. Perbezaan hukum dan peranan antara lelaki dan wanita bukanlah untuk meninggikan atau merendahkan salah satu dari keduanya, sebaliknya perbezaan ini adalah supaya kedua-dua gender ini saling membantu dan saling melengkapi dan bukannya bersaing antara satu sama lain. Allah SWT juga menciptakan lelaki dan wanita sesuai dengan fitrahnya. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah dilebihkan oleh Allah kepada sebahagian kamu ke atas yang lain. Kerana bagi lelaki ada bahagian atas apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan juga ada bahagian atas apa yang mereka usahakan. Mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu” [TMQ an-Nisa (4): 32]

 Jadi, sebagai hamba tidak selayaknya kita mengingkari apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan (hukum), maka ada pilihan lain bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36]

Rujukan

https://www.bharian.com.my/amp/wanita/lain-lain/2018/01/379229/cabar-diri-ceburi-kerjaya-lasak

https://www.astroawani.com/video-terkini/hari-wanita-2021-sahut-cabaran-kerjaya-didominasi-lelaki-1894369

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/03/684145/wanita-muda-mula-kuasai-sektor-didominasi-lelaki

https://muslimahhtm.com/2022/03/30/bolehkah-wanita-bekerja-dalam-sistem-khilafah/