Nahdhah Fikriyyah : Ramadhan Dan Perjuangan Hakiki – Daulatkan Syariah, Tegakkan Khilafah
RAMADHAN DAN PERJUANGAN HAKIKI:
DAULATKAN SYARIAH, TEGAKKAN KHILAFAH.
Sya’aban sudah melabuhkan tirainya, sekaligus menandakan mulanya bulan suci Ramadhan yang menjanjikan rahmat, berkah dan maghfirah dari Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T, “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa” [TMQ al-Baqarah (2):183]
Bulan Ramadhan sinonim dengan bulan memperbanyakkan bacaan Al-Quran, bulan mengeluarkan zakat fitrah, memakmurkan rumah-rumah Allah, taubat kepada Allah, mengukuhkan silaturrahim, membantu yang memerlukan, menjaga lisan dan perbuatan, pembaharuan dan pengukuhan iman, serta bulan penyucian hati dan fikiran. Pahala pelbagai amalan pun dilipatgandakan oleh Allah S.W.T sehingga tujuh ratus kali ganda, malahan lebih dari itu. Abu Hurairah r.a. menuturkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda ketika tibanya bulan Ramadhan,
“Sesungguhnya telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah; Allah mewajibkan ke atas kalian berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka; pintu-pintu neraka ditutup; syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang nilai amal di dalamnya lebih baik dari seribu bulan. Kerana itu, siapa saja yang tidak berhasil memperoleh kebaikannya, sesungguhnya dia tidak akan dapat lagi memperoleh kebaikan selama-lamanya” [HR. an-Nasa’i dan Ahmad].
Selain berbagai keutamaan dan amalan-amalan sunat yang kerapkali dibincangkan menjelang tibanya Ramadhan, kita juga wajar menyelak semula sejarah peradaban Islam yang menukilkan pelbagai peristiwa penting. Peristiwa-peristiwa ini tercatat dengan tinta emas, termasuklah perluasan pengaruh, penggabungan beberapa wilayah penting ke dalam kekuasaan Islam, dan penghapusan kezaliman. Allah S.W.T memberikan pertolonganNya kepada kaum muslimin berupa kemenangan dalam perang Badar Al-Kubra, pembebasan Kota Makkah (futuhat Makkah), persediaan perang khandak yang berakhir dengan kejayaan di bulan Zulkaedah (tahun ke-5 H); terjadinya Perang Tabuk dan Rasulullah kembali dari peperangan itu pada bulan yang sama. Kesemuanya ini berlaku di dalam bulan Ramadhan. Demikian juga, penaklukan Andalusia (Sepanyol dan Portugis) yang menandakan bermulanya pengaruh Islam terhadap kebangkitan dan era pencerahan (Renaissance) bangsa-bangsa Eropah turut berlaku pada bulan ini.
Kerana itu, Ramadhan merupakan bulan sabar, perjuangan, jihad dan kemenangan. Peristiwa-peristiwa ini menjadi bukti bahawa Rasulullah, para generasi sahabat, tabi’in dan kaum muslimin terdahulu tidak hanya menyambut bulan Ramadhan sebagai bulan perjuangan ruhiyyah (beribadah semata-mata), tetapi juga sebagai bulan perjuangan siyasiyyah (politik) untuk menyebarkan dakwah Islam agar benar-benar menjadi rahmatan lil ‘alamin.
Inilah perbezaan penting antara Ramadhan pada zaman Rasulullah S.A.W serta generasi setelahnya dengan Ramadhan pada zaman kita sekarang. Rasulullah S.A.W dan generasi-generasi seterusnya, menjalani Ramadhan di bawah naungan pemimpin dan kepimpinan Islam (Khilafah) yang mampu menerapkan seluruh syariat Islam dan menggerakkan umat Islam untuk melaksanakan jihad yang merupakan amalan wajib yang tertinggi serta puncak kepada Islam (Dzurwatul Islam). Diriwayatkan bahawa ketika nabi ditanya, amalan apakah yang paling afdhal, baginda menjawab: Iman kepada Allah!. Lalu ditanya lagi, apa pula setelah itu?. Baginda menjawab, jihad fi sabilillah!. Malangnya, hari ini, kaum muslim harus melalui Ramadhan di bawah naungan pemimpin yang memimpin menggunakan aturan-aturan kufur serta mengabaikan umat Islam yang sedang dijajah, dibantai dan diperangi di seluruh pelosok dunia.
PEMBENTUKAN KETAQWAAN
Allah SWT mengaitkan puasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan. Hal ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 183 di atas. Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa ‘muara’ dari puasa Ramadhan itu adalah taqwa. Berkaitan dengan hal ini , Allah S.W.T menegaskan, “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, takut kepada Allah, dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapatkan kemenangan” [TMQ an-Nuur (24)]:52].
Berlandaskan hal ini, Imam Al-Ghazali telah menukilkan di dalam kitabnya, Minhajul Abidin (m/s 121), bahawa dengan adanya ketaqwaan dalam diri seseorang Muslim, mereka akan memiliki perasaan takut kepada Allah SWT, hanya berbakti dan tunduk kepadaNya serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa. Allah SWT memerintahkan kita agar mengikuti seluruh aturan dan hukum-hukum yang dibawa oleh Rasul dan mencegah diri daripada seluruh larangan yang disampaikan oleh Rasul. Allah S.W.T berfirman, “Apa saja yang dibawa oleh Rasul kepada kalian, maka ambillah. Dan apa saja yang dilarangnya bagi kalian, maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah” [TMQ al-Hasyr (59):7].
Maka, ketaqwaan merupakan ketaatan total kepada Allah S.W.T dengan cara mengikuti setiap hukum dan aturan-aturanNya yang diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Berkaitan dengan persoalan ini, Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhan), dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kalian menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu kebenaran, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Baqarah (2):208-209].
Ketika Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah: 183, ‘kutiba ‘alaikum as-shiam’ (‘diwajibkan ke atas kalian berpuasa’), gaya bahasa “kutiba alaikum” (diwajibkan ke atas kalian) turut digunakan dalam ayat-ayat Allah yang lain. Misalnya, dalam Surah Al Baqarah ayat 178, Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kalian (melaksanakan) qisas….”. Dalam surah Al-Baqarah ayat 180 pula Allah menyebutkan tentang kewajipan berwasiat, “Diwajibkan ke atas kalian, apabila seseorang daripada kalian didatangi maut, sedangkan kalian mempunyai harta agar ia berwasiat…”. Dalam surah Al-Baqarah ayat 126, Allah S.W.T berfirman, “Diwajibkan ke atas kalian berperang…..”.
Kesimpulannya, bentuk ayat perintah yang digunakan oleh Allah S.W.T ketika mewajibkan puasa, adalah sama dengan bentuk ayat Allah di mana Allah mewajibkan penerapan qisas (hudud), wasiat dan perang. Dalam bentuk yang hampir sama, solat disebutkan sebagai kewajipan pada waktu tertentu (Surah An-nisa: 103). Dalam bentuk yang lain juga, perkataan “katabna” menjadi sebahagian dari ayat-ayat Allah yang berkaitan dengan hukum-hukum hudud (Surah Al-Maidah 33-34, 38-39).
Perlu difahami bahawa hukum-hukum Islam bersifat sepadu dan menyeluruh. Kita wajib meyakini kesepaduan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah S.W.T, tidak mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Mengambil, menerima dan mengamalkan sebahagian dari ayat-ayat Allah S.W.T dan menolak sebahagian yang lain adalah sama dengan beriman dengan sebahagian isi Al-Quran, dan menolak sebahagian hukum Allah. Allah mencela perbuatan ini dalam firmanNya, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian isi dari kitab dan kufur terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi sesiapa di antara kalian yang melakukan demikian kecuali kehinaan di dalam kehidupan dunia manakala pada hari akhirat mereka dikembalikan kepada azab yang keras” [TMQ al Baqarah (2):85].
AFDHALUL ASY-SYUHUR, AFDHALUL AL-LAIL, AFDHALUL QURBAT!
Setelah runtuhnya daulah Khilafah di tangan boneka barat, Mustaffa Kamal Attartuk La’natullah Alaih pada tanggal 3 Mac 1924, umat Islam hidup bukan lagi berpandukan syariat Islam. Umat Islam terpecah-belah menjadi 57 serpihan negara-negara kecil, dan ukhuwah Islamiyah yang terjalin hanyalah sebatas di bibir semata-mata. Umat Islam hidup terjajah minda dan dicengkam secara hina oleh kafir barat Imperialis. Pemikiran, perasaan dan peraturan-peraturan hidup bermasyarakat kaum muslimin, diambil bulat-bulat dari kaum kuffar. Isi al-Quran diabaikan, walaupun dibaca setiap hari. Pandangan Montesqueie, JJ Roussou, Plato, dan ahli falsafah barat lain diambil. Perlembagaan kita dikutip dari Lord Reid, sementara al-Quran hanya dipegang saat pengangkatan sumpah di dewan parlimen!.
Sementara itu, di pelbagai belahan dunia Islam, kita melihat saudara-saudara kita ditindas, dibantai, diusir dari rumah-rumah dan kampung halaman mereka. Rohingya hidup melarat dan terbuang. Minoriti Muslim Uighur tertindas tanpa disedari dunia. Syria terus bermandi darah. Isu Palestin yang tidak kunjung usai, dan banyak lagi kisah-kisah hitam penderitaan umat Islam tanpa pembelaan!.
Sesungguhnya, kemuliaan Ramadhan yang bakal menjelang sebagai afdhalu asy-syuhur (bulan yang paling utama) yang di dalamnya ada afdhalu al-lail (malam yang paling utama) tentu akan lebih sempurna jika kita terus berjuang untuk menegakkan afdhalul qurbat iaitu pendekatan diri yang paling utama kepada Allah. Maka, apakah itu afdhalul qurbat? Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah telah menyatakan:
Wajib hukumnya mengangkat kepimpinan, sama ada ianya kerana alasan menegakkan agama mahupun pendekatan diri kepada Allah. Kerana sesungguhnya pendekatan diri kepada Allah dalam hal kepimpinan ini, iaitu dengan taat kepada Allah dan Rasul-Nya adalah taqarrub ilallah yang paling utama [Imam Ibnu Taimiyyah, al-Siyasah al-Syar’iyyah, hal. 161]
Khatimah
Wahai Kaum Muslimin, Ramadhan yang datang kali ini hendaknya kita jadikan momentum dan titik tolak untuk merealiasasikan ketaqwaan secara total, sekaligus momentum untuk memurnikan tauhid dan penghambaan semata-mata kepada Allah S.W.T. Semua itu hanya mampu kita wujudkan dengan menerapkan syariah dan hukum-hukum Allah secara total dan menyeluruh di bawah sistem Khilafah Rasyidah yang mengikuti manhaj kenabian. Ya Allah! Jadikanlah Ramadhan kami ini yang terakhir tanpa Khilafah….Amin ya Rabbal Alamin.