Najib Lupa Tentang 1Tuhan
PARIS 6 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ‘menjual’ gagasan 1Malaysia kepada dunia yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang. Berucap pada Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di sini, Perdana Menteri menegaskan, kesanggupan dan komitmen untuk menentukan keamanan sejagat merupakan antara tiga cabaran utama yang perlu didepani masyarakat antarabangsa hari ini. Dua lagi cabaran berkenaan berkaitan usaha untuk membentuk sistem kewangan global yang baru serta menangani perubahan cuaca yang mengancam dunia ketika ini.
Di pentas persidangan yang menyaksikan penampilan pertama seorang pemimpin Malaysia dalam tempoh 50 tahun diberi penghormatan menyampaikan ucaptama, beliau berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat ‘1impian, 1negara,1bangsa’ boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1Rantau, seterusnya 1Dunia. ”Pilihan kita bukanlah bersifat unilateral sebaliknya masa depan kita memerlukan kerjasama global yang lebih imaginatif dan dengan penyertaan sejagat. ”Kerana itu, Malaysia sanggup memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya. Struktur geografi dan legasi peninggalan sejarah telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk menjadi jambatan di antara budaya-budaya besar dunia,” katanya dalam ucapan selama 17 minit itu. Hadir sama pada persidangan pertubuhan yang disertai 191 negara itu ialah Ketua Pengarah UNESCO yang baru, Irina Bokova dan bekas penyandangnya, Koichiro Matsuura. Dalam hubungan ini, Perdana Menteri menegaskan, keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni. Beliau turut menarik perhatian mengenai ungkapan Profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa ‘tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian di kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog di kalangannya’. ”Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran kami sejak April lalu sememangnya berasaskan kepada kepercayaan dan sifat hormat-menghormati antara kaum. ”Sebenarnya bagi Malaysia dialog antara budaya ini adalah perkara yang berlaku sehari-harian. ”Kami hidup dalam suasana toleransi dan kemajmukan sedia ada telah tersemat dalam pemikiran (rakyat) untuk terus mengekalkan kestabilan dan mengelak punca yang boleh mengundang konflik,” katanya.
Najib berkata, cabaran untuk membentuk sistem kewangan global yang baru pula dibangkitkan beliau setelah mengambil kira pengalaman 50 tahun lepas yang menyaksikan pasaran ekonomi yang tidak konsisten akibat dari perancangan sistem yang lemah. ”(Justeru) adalah penting untuk membentuk sistem kewangan global yang boleh menentukan pengagihan pendapatan yang lebih adil serta mempunyai mekanisma bagi menangani lambakan dan amalan manipulasi,” kata beliau. Mengenai cabaran untuk menangani perubahan cuaca, Perdana Menteri menyarankan supaya Sidang Kemuncak Perubahan Iklim yang akan diadakan di Copenhagen, Denmark tidak lama lagi mengambil langkah-langkah tegas untuk mengekang fenomena itu yang kini mengakibatkan bencana besar. ”Ketika saya berucap ini, rantau saya mengalami bencana alam dan malapetaka seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, Tsunami di Barat Samoa, taufan di Filipina dan banjir besar di selatan India. ”Oleh itu saya harapkan persidangan di Copenhagen nanti dapat mencerminkan komitmen sejagat dalam usaha menangani perubahan iklim, ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul bersama-sama,” katanya. Najib yang tiba di sini Ahad lalu dalam rangka lawatan rasmi empat hari akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Presiden Nicolas Sarkozy esok. Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau di luar Asia sejak mengambil alih pentadbiran negara April lalu. –UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia 06/10/09
1Malaysia…1Rantau….1Dunia….Bagaimana Dengan 1Tuhan? Apakah Najib Terlupa?
Najib nampak bersungguh-sungguh untuk mempromosikan idea 1Malaysia yang dilihatnya sebagai satu penyelesaian kepada masalah yang berlaku di seluruh dunia saat ini. Kali ini beliau mencetuskan pula idea 1Rantau dan 1Dunia. Tetapi nampaknya Najib seolah-olah terlupa bahawa apabila dia menyebut 1Dunia mahupun 1Rantau dan 1Malaysia maka kesemuanya itu wajib tunduk kepada 1Tuhan, Allah SWT. Ini adalah kerana 1Malaysia, 1Rantau dan 1Dunia ini adalah milik Allah SWT yang menciptakan bumi dan langit dan apa yang ada diantaranya. Firman Allah SWT
”Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)? Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuannya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa. Yang demikian sifatnya ialah Tuhan Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani”. [TMQ As Sajdah (32) :4-6].
Apakah Najib juga sedar bahawa segala permasalahan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca apabila 1Dunia kini dikuasai oleh 1Ideologi yang rosak dan merosakkan. Ideologi yang berdiri atas aqidah sekular dan meletakkan asas perbuatan manusia kepada manfaat semata-mata. Ideologi yang menafikan peranan agama dalam kehidupan. Ideologi Kapitalisme ini menjadikan akal manusia sebagai penentu baik dan buruk, bukannya wahyu Allah SWT. Inilah dunia Kapitalisme yang rosak dan akan terus merosakkan 1Dunia selama mana ia masih mendominasi dunia. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Beliau gagal mengenalpasti punca kepada segala permasalahan yang berlaku samada di Malaysia, mahupun di seluruh dunia.
Wahai Najib! Ketahuilah bahawa satu-satunya ideologi yang benar dan mampu membawa rahmat kepada 1Dunia Islam. Firman Allah SWT:
”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) :107].
Apakah Najib bersedia membuang ideologi Kapitalisme yang didokongnya saat ini dan menggantikannya dengan Islam? Yakinlah, hanya dengan tertegaknya 1Khilafah yang dipimpin oleh 1Khalifah sahajalah Islam akan berjaya diterapkan secara kaffah dalam kehidupan 1Dunia hari ini.