[NF136] Membentuk Karakter Kepimpinan dalam Diri Anak
Oleh: Hidayah Muhammad
Muqaddimah
Sebagai ibu bapa, kita pasti bangga dan bersyukur apabila anak-anak membesar menjadi individu yang soleh dan solehah. Apatah lagi proses membesarkan anak memang tidak mudah kerana tanggungjawab ini dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Tanggungjawab ini bukan hanya mengasuh dan membesarkan anak, tetapi juga mendidik mereka dengan nilai-nilai yang akan membentuk keperibadian Islam.
Dalam Islam, mendidik anak untuk menjadi pintar tidak mencukupi. Kesolehan, keperibadian mulia dan karakter yang baik adalah keutamaan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak.
Kepentingan Karakter Kepimpinan
Salah satu karakter penting yang harus dimiliki oleh anak-anak adalah sifat kepimpinan. Kepimpinan ini boleh dalam skala besar seperti menjadi pemimpin masyarakat, atau skala kecil seperti menjadi ketua keluarga.
Secara umumnya, anak-anak kita suatu hari nanti akan memikul peranan sebagai ketua. Anak lelaki akan menjadi ketua keluarga, manakala anak perempuan akan menjadi ibu yang mengatur rumah tangga. Oleh itu, penting untuk membentuk sifat kepimpinan agar mereka mampu menjalankan peranan ini dengan baik pada masa hadapan. Rasulullah SAW bersabda,
“Kamu semua adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) atas apa yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin (pengurus) bagi rumah suaminya dan anaknya. Oleh kerana masing-masing daripada kamu adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya.” [HR Bukhari]
Mencari Sosok Teladan
Peranan ibu bapa sangat besar dan penting dalam membentuk karakter yang baik dalam diri anak, sama ada anak lelaki mahu pun anak perempuan. Sudah tentu kita mencari sosok teladan yang baik dalam mengasuh dan mendidik anak. Tidak lain tidak bukan, wajarlah kita menjadikan Rasulullah SAW dan Khadijah RA sebagai teladan sepanjang masa.
Hasil daripada asuhan dan didikan Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Khadijah RA, Ali RA dan Fatimah RA yang dibesarkan di rumah sejak kecil berjaya dididik sehingga terbentuk karakter kepimpinan dalam diri mereka. Ali RA contohnya, dilantik sendiri oleh Rasulullah SAW untuk diberikan panji perang (ar-Royah) dan memimpin kaum Muslimin dalam perang Khaibar.
Fatimah RA yang juga berjaya menjalankan tugas dan peranannya sebagai isteri dengan baik dan berjaya mendidik anak-anaknya sehingga salah seorang daripada mereka menjadi pemimpin negara (Khalifah) selepas ayahnya Ali RA wafat.
Tips Melatih Anak
Membentuk karakter anak mesti bermula dari rumah dan seawal usia yang mungkin. Pepatah mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk karakter kepimpinan dalam diri anak, antaranya:
1. Menunjukkan teladan yang baik.
Anak-anak adalah peniru terbaik. Mereka belajar melalui pemerhatian, terutamanya pada ibu bapa mereka. Maka sewajarnya ibu bapa memberikan teladan yang baik. Sebagai contoh, jika kita menginginkan anak lelaki mempunyai karakter kepimpinan, maka penting untuk si bapa menunjukkan kepimpinan seorang ketua keluarga dalam menjaga dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang telah diamanahkan dalam Islam.
Begitu juga seorang ibu, dalam membentuk karekter kepimpinan dalam diri anak perempuan, ibu perlu menunjukkan teladan yang baik dalam mengatur dan mengurus rumah tangga. Bukan hanya menunjukkan teladan yang baik tetapi perlu juga mendidik anak dari segi mengurus emosi mereka.
2. Memberi pemahaman Islam tentang peranan dan tanggungjawab.
Anak-anak perlu memahami peranan dan tanggungjawab mereka mengikut ajaran Islam. Perkara ini penting kerana mereka perlu sedar dan faham bahawa setiap perbuatan yang dilakukan adalah atas dasar perintah dan langaran Allah SWT. Menjadi pemimpin yang baik bermula dengan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT.
3. Melatih anak-anak dengan memberikan tugas mengikut tahap kemampuan.
Ibu bapa perlu melatih anak-anak dengan memberikan tugasan di rumah mengikut kemampuan mereka. Setiap anak perlu diberi tugasan masing-masing dan perlu dilakukan sendiri agar mereka dapat merasai kesusahan serta tidak hanya diberi kesenangan semata-mata. Sebagai contoh, anak-anak kecil boleh dilatih untuk menyimpan mainan mereka sendiri manakala anak yang lebih besar pula boleh dilatih melakukan kerja rumah yang lebih kompleks.
Berilah galakan kepada anak-anak untuk mencuba, lakukanlah dengan penuh kasih sayang dan berikanlah perhatian kepada mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesilapan.
4. Memotivasi anak-anak dengan ganjaran pahala.
Motivasi dan sokongan daripada ibu bapa juga penting dalam menbentuk keyakinan diri anak. Berikan pujian apabila mereka berjaya melaksanakan tugas. Bukan itu sahaja, malah tekankan ganjaran pahala daripada Allah SWT sebagai motivasi utama selain ganjaran material.
Khatimah
Anak adalah amanah besar daripada Allah SWT kepada ibubapa. Membesarkan dan mendidik anak memerlukan kesabaran yang tinggi dan usaha yang berterusan. Nikmatilah proses ini kerana setiap usaha mendidik anak akan dinilai sebagai pahala di sisi Allah SWT. Semoga usaha kita mendidik anak-anak menjadi ladang pahala dan menghasilkan generasi yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Waalahu a’lam
Rujukan
- The Model for a happywomen, Titin Yuri
- muslimahhtm.com
- ibubapa hebat, anak bijak, Zaid Mohamad