Nuri al-Maliki lancar perang sesama Muslim

Basra medan perang — ‘Kami ibarat hidup dalam neraka sejak beberapa jam lalu’

BASRA 27 Mac – Letupan kedengaran setiap sepuluh atau 15 minit hari ini di Basra menjadikannya medan operasi besar-besaran pasukan keselamatan Iraq ke atas pengikut setia ulama Syiah, Moqtada al-Sadr.

Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di seluruh selatan negara ini untuk menyekat keganasan daripada merebak selepas operasi ketenteraan terbesar dilancarkan kelmarin oleh kerajaan Iraq tanpa bantuan unit tempur tentera Amerika Syarikat (AS) atau Britain.

Lebih 100 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam pertempuran yang telah memecahbelahkan masyarakat Syiah Iraq dan menghancurkan gencatan senjata yang diisytiharkan oleh Moqtada tahun lepas.

Penduduk di Basra, bandar kedua terbesar dan pusat industri minyak di Iraq, menggambarkan pertempuran sebagai paling sengit sejak tentera melancarkan perang ke atas negara ini pada 20 Mac, 2003.

Pertempuran turut merebak ke bandar lain di selatan seperti Kut, Hilla, Diwaniya, Amara dan Karbala, di samping kawasan Syiah di Baghdad.

Polis melaporkan sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh di Kut.

“Kami ibarat hidup dalam neraka sejak beberapa jam lalu dan banyak menghabiskan masa bersembunyi di bawah tangga.

“Kami tidak pernah mengalami keadaan seperti ini sejak ketibaan tentera asing pada 2003,” kata seorang penduduk, Faris Hayder, 28.

Ketua Polis Basra, Mejar Jeneral Abdul Jalil Khalaf menjadi sasaran pengebom berani mati berkereta pada 1 pagi (8 pagi waktu Malaysia) apabila konvoinya lalu di bandar ini.
Beliau terselamat tetapi tiga pengawal peribadinya terbunuh dalam letupan itu.

Dalam pada itu, ratusan penyokong Moqtada melancarkan protes di kawasan kediaman Syiah di Baghdad untuk menuntut Perdana Menteri, Nuri al-Maliki meletakkan jawatan.
“Nuri, kamu pengecut! Nuri ejen Amerika!

“Undur dari kerajaan, Nuri! Bagaimana tergamak kamu menyerang Basra?” teriak penunjuk perasaan.

Pegawai kanan Moqtada mengakui pertempuran semakin sengit.

Moqtada telah menggesa pengikutnya melancarkan kempen “keingkaran awam”, memaksa sekolah, universiti dan kedai ditutup, dan mengancam untuk mengisytiharkan “pemberontakan awam” di seluruh negara jika operasi itu tidak dihentikan.

Nuri dalam kenyataannya pula berazam meneruskan operasi itu sambil menolak gesaan supaya diadakan dialog.

– Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 28/03/08

Ulasan:

Perang saudara berlaku lagi. Lebih 20 tahun dahulu perang di antara Sunni dan Syiah berlaku antara dua negara, Iran dan Iraq. Kini, ia berlaku di dalam Iraq itu sendiri, tanpa melibatkan negara lain. Sungguh malang situasi ini bagi umat Islam. Muslim bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan mazhab.

Kedua-dua mereka sepatutnya memerangi musuh yang sebenar-benar musuh yakni Amerika yang sedang menceroboh Iraq, tapi malangnya mereka berperang sesama sendiri dan AS menyaksikan dengan senang hati.

Kita menyaksikan di Turki, Erdogan menggunakan tentera dan membunuh saudara seagama dari puak Kurdish; di Pakistan Musharraf membunuh kaum pelajar, wanita dan kanak-kanan Islam kerana di katakan pengganas, Di Uzbekistan; Islam Karimov membunuh ahli-ahli gerakan dakwah Hizbut Tahrir dan lain-lain kerana dikatakan mengancam pemerintahannya; kini kita menyaksikan Nuri al-Maliki, seorang lagi agen Amerika menggunakan tentera untuk membunuh umat Islam yang lain yang tidak sehaluan dengannya.

Inilah nasib yang menimpa umat Islam dengan adanya pemimpin-pemimpin diktator sekular yang menyembah Amerika untuk mengekalkan kekuasaan ini. Membunuh pemerintah yang merupakan tali barut Amerika tidak akan menyelesaikan masalah, kerana apabila mati seorang agennya, AS yang masih super power akan melantik agen yang lain. Matinya Benazir, maka AS melantik orang lain pula sebagai ganti yang pastinya akan tunduk menyembah AS. Justeru, yang sepatut dan sewajibnya diperangi dan dihapuskan adalah AS itu sendiri. Dengan tumbangnya kekuatan atau terhapusnya AS, maka insya Allah, tiada lagi tali barut yang boleh mereka lantik untuk menjaga kepentingan mereka di bumi umat Islam.

Sesungguhnya umat Islam benar-benar memerlukan seorang Khalifah yang akan menggabungkan kekuatan militer kaum Muslimin untuk memerangi Amerika, bukannya untuk berperang sesama sendiri.  Dan Insya Allah, Khalifah ini akan muncul sedikit masa lagi untuk menyatukan kita semua dan mengalahkan kuffar Amerika.