OIC Bukan Platform Penyatuan Ummah
KUALA LUMPUR 15 Dis. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Islam disaran menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia memandangkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) gagal melaksanakan tanggungjawab itu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rangkaian NGO dari negara Islam di seluruh dunia boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah masa depan.
“Jika kerajaan Islam (dalam OIC) tidak dapat mewujudkan satu perpaduan ummah dan usaha individu adalah terlalu kecil untuk memberi sebarang kesan, kenapa tidak umat Islam memilih NGO untuk mencapai matlamat bersatu padu.
“NGO Islam yang bersatu padu ini perlu berkempen dari semasa ke semasa mengenai kepentingan memiliki pendidikan sempurna sebagai kewajipan umat Islam,” katanya.
Dr. Mahathir menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Kedua Uniti Muslim anjuran NGO Islam dari United Kingdom (UK), Yayasan Ramadhan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelas beliau, NGO Islam juga perlu melaksanakan kempen menghentikan pemikiran segelintir umat Islam yang sentiasa ingin membalas dendam kepada musuh Islam sehingga mengambil pelbagai tindakan secara membuta tuli.
“… Di negara-negara yang diceroboh, rakyatnya dipenjara dan diseksa sementara beratus-ribu lagi dibunuh dalam peperangan yang tidak adil.
“Umat Islam yang marah meluahkan rasa marah kepada semua orang termasuk masyarakat Islam lain. Mereka letupkan diri sendiri untuk membalas dendam dan membunuh namun tidak banyak musuh Islam yang menjadi mangsa melainkan masyarakat mereka sendiri,” katanya.
Kata Dr. Mahathir, selepas kehilangan nyawa, tidak ada apa yang mereka peroleh dari semua perbuatan tersebut.
“Dan semua perbuatan tersebut sedikit pun tidak menghalang musuh umat Islam ini daripada terus menindas dan membunuh,” katanya.
Justeru, tambah Dr. Mahathir, umat Islam perlu berfikir, merancang dan merangka strategi supaya pengorbanan yang mereka lakukan jika perlu adalah berbaloi.
“NGO perlu menggalakkan perpaduan masyarakat Islam demi mempertahankan ummah.
“Namun jika kita gagal menjadikan seluruh umat Islam bersatu kita perlu bersedia untuk menerima perpaduan sebahagian daripada umat Islam sahaja,” katanya.
Konvensyen yang dirasmikan Dr. Mahathir itu hari ini akan berakhir esok.
Ia menghimpunkan lebih 500 ulama dari 20 negara yang akan berkongsi pandangan mengenai perpaduan umat Islam.
Sebelum ini Konvensyen Uniti Muslim pertama berlangsung di Manchester, UK) pada 2005.
Sumber : Utusan Malaysia, 16/12/2009
OIC bukan platform penyatuan Ummah
Ya, memang benar OIC tidak dapat menyatukan ummah. Ikatan dasar yang membentuk keahlian OIC merupakan ikatan yang batil, iaitu ikatan negara bangsa dan bukannya berdasarkan ikatan aqidah Islam. Mana mungkin ikatan dasar yang batil ini membuahkan sesuatu yang benar. Inikan pula untuk menyatukan umat Islam yang telah berpecah-belah dipisahkan oleh sempadan yang dilakarkan oleh penjajah. Sudah berbakul-bakul resolusi, sudah bekoyan-koyan wang rakyat dihabiskan untuk penganjuran persidangan, namun hasilnya cumalah air liur basi yang tidak bermakna.
Seruan menghentikan pemikiran dendam oleh umat Islam terhadap musuh-musuh Islam oleh Tun Dr.Mahathir merupakan seruan yang bertentangan dengan sifat kaum kuffar terhadap umat Islam. Ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al Quran :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka ini tidak henti-henti (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali Imran (3):118].
Sebagai umat Islam yang menjadikan Islam sebagai ideologi untuk memandu mereka, sudah semestinya ayat ini perlu difahami dengan jelas agar jangan sampai ada yang menyeru kepada suatu yang bertentangan dengan ayat Allah ini. Namun, apa yang berlaku amatlah menyedihkan. Sudahlah platform penyatuan salah, ditambah pula dengan seruan yang salah, pastilah akan memberi natijah yang salah. Seruan yang sepatutnya dilontarkan oleh Tun Dr Mahathir beserta lebih 500 ulama itu adalah seruan penyatuan seluruh kaum Muslimin di bawah naungan Daulah Khilafah. Sudah tiba masanya kita mencampakkan OIC ke dalam lohong sejarah kegagalan manusia dan membuka lembaran baru kekhilafahan yang akan memayungi seluruh umat Islam.