OIC: Diskusi tanpa solusi
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Turki sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang baru, sempena Sidang Kemuncak ke-13 pertubuhan dunia itu di Instanbul 15 April lalu.
Najib dipetik sebagai berkata, Malaysia akan membantu Sekretariat OIC dalam berhadapan dengan cabaran semasa dunia Islam. “Turki sendiri melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang penting dalam pertubuhan itu dan meletakkan harapan yang tinggi kepada Malaysia untuk membantu mereka berhadapan dengan cabaran semasa,” kata Najib semasa sidang akhbar.
Najib mengetuai delegasi Malaysia dalam sidang kemuncak yang dihadiri oleh 57 buah negara anggota itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut meminta OIC memberi perhatian kepada isu-isu kemanusiaan di rantau Asia Tenggara khususnya di Selatan Filipina, Selatan Thailand dan isu pelarian Rohingya.
Pemimpin nombor satu Malaysia itu yang terpalit dengan beberapa isu kontroversi berkaitan derma RM2.6 bilion dan skandal 1MDB, turut mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin seperti Perdana Menteri Turki, Ahmad Davutoglu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir dan Presiden Lebanon, Tamman Salam.
Begitulah setiap kali sidang kemuncak OIC yang membincangkan pelbagai isu dan cuba memberi harapan kepada umat Islam di seluruh dunia, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan, yang hakikatnya tidak memberi sebarang kesan. Mungkin jutaan wang dilaburkan untuk setiap persidangan antarabangsa high class itu yang menyaksikan pimpinan-pimpinan utama setiap negara menghadirinya.
Di sebalik persidangan yang penuh prestij dan kemewahan itu, realitinya umat Islam di seluruh dunia terus dihimpit dengan pelbagai penderitaan. Tatkala para pemimpin umat Islam bersidang sambil makan besar di hotel mewah, berapa ramai umat Islam yang terus memakan sekeping roti di bawah atap rumah yang bocor. Tatkala para pemimpin umat Islam terus bersidang dan tidur di bilik berhawa dingin dengan layanan first class, berapa ramai umat Islam di Palestin dan Myanmar tidur berbumbungkan langit kerana rumah mereka dimusnahkan oleh orang-orang kafir.
Pendek kata, sejak ditubuhkan pada 1969 hingga kini dengan 57 buah negara anggota, sudah hampir 50 tahun OIC gagal menyelesaikan masalah umat Islam. Adakah 57 buah negara tidak mampu menyelesaikan konflik di Palestin, Myanmar, Iraq, Afghanistan dan lain-lain? Setepatnya, OIC bukan tidak mampu, tetapi tidak mahu! Kerana penubuhan OIC hanyalah untuk bersidang dan berdiskusi tantang masalah, bukannya untuk menyelesaikan masalah.
Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan OIC yang hanya handal berdiskusi tanpa solusi. Umat Islam memerlukan Daulah Khilafah yang akan mengeluarkannya daripada segala kesengsaraan, sebagaimana Daulah Khilafah dahulu yang telah mengeluarkan umat Islam dari sebarang penderitaan dan membawa kesejahteraan kepada seluruh dunia.