Orang Melayu memahami kepentingan Khilafah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20

Muqaddimmah

Sebelum kejatuhan Khilafah pada 03 Mac 1924, orang-orang Melayu di Nusantara termasuklah di Tanah Melayu tidak pernah mengenal sistem pemerintahan selain sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah. Mereka tidak pernah mengenal sistem pemerintahan seperti demokrasi, republik atau yang lainnya yang diajarkan oleh penjajah. Hal ini dapat dibuktikan melalui penulisan-penulisan mereka pada akhbar dan majalah serta peristiwa yang dicatat dalam sejarah. Tambahan lagi, akhbar atau majalah seperti al-Imam, Neracha dan Pengasuh ditulis oleh para Ulama di Tanah Melayu yang sangat memahami bentuk sistem pemerintahan Islam. Dari sini kita dapat melihat bagaimana pandangan orang Melayu ketika itu terhadap sistem Khilafah Islamiyyah. Marilah kita perhatikan apakah yang diperkatakan oleh nenek moyang orang Melayu mengenai perkara tersebut:

1. Khilafah sebagai pemimpin tertinggi umat Islam

Chahyah Pulau Pinang, Jil 4, no.20, 20 februari 1904:

Akhbar ini menerangkan tentang projek landasan keretapi Hejaz yang dibina oleh Daulah Uthmaniyyah. Projek ini adalah untuk kegunaan dan kemudahan umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji. Di samping itu, landasan keretapi ini memberikan kelebihan kepada Uthmaniyyah kerana tidak perlu lagi menggunakan Terusan Suez uang dikuasai oleh British. Memandangkan projek mega ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi, umat Islam yang mengiktiraf Sultan Abdul Hamid II sebagai Khalifah digalakkan agar sama-sama memberikan sumbangan untuk membentuk dana kewangan.

Akhbar Al-Imam , Jil 1, no.8, 14 Februari 1907:

Tajuk – Surat Kiriman Makatib di Singapura:

“Bermula faedah yang kedua menghantar (anak-anak Melayu) belajar ke Mesir itu supaya di sana boleh ia melihat… adat dan aturan pemerintah Negeri Islam yang besar. Pegawai-pegawai bijak-bijak daripada bangsa Islam menjalankan aturan negeri yang tamadun dan agama Islam. Maka penglihatan ini memenuhkan hati dan perasaannya berat pada kemuliaan Islam. Kemudian, barulah dihantar pula akan anak-anak itu ke Istanbul masuk belajar dalam sekolah pada apa ilmu hendak dikhatamkan kanak-kanak itu dan lagi di Istanbul itu boleh ia melebihkan pandangannya lagi daripada apa yang dilihatnya dalam Mesir daripada kebesaran kemuliaan kekuatan dan kehebatan Darul Khilafah dan Raja Islam yang besar (Khalifah bagi sekalian umat Islam) dan nescaya jadilah bertambah tinggi dan luas penglihatan perasaan di dalam hatinya itu sebab ia melihat rajanya dan orang-orang Islam memuliakan agama dan tanda-tanda agama yang demikian…”

Akhbar Chahyah Pulau Pinang, 12 Julai 1900:

Berita mengenai kapal perang Turki juga mendapat liputan meluas. Sultan Abdul Hamid II selaku Sultan Daulah Turki Uthmaniyyah yang juga dianggap Sultan bagi sekalian umat Islam, sewajarnya mempunyai kelengkapan tentera yang kuat dan hebat. Kedudukan Daulah tersebut yang sering diancam oleh musuh (di kalangan kuasa penjajah Eropah) menyebabkan keperluan terhadap kelengkapan pertahanan terbaik diwujudkan.

Al-Imam , no.9, Jil. 1, Mac 1907:

Akhbar al-Imam dengan tegas menyatakan bahawa daulah Turki Uthmaniyyah ialah Daulah Islam yang kuat dan diperintah oleh Sultan Abdul Hamid II, baginda juga sebagai Khalifah umat Islam dan menjadi kewajipan kepada umat Islam termasuk masyarakat Melayu agar mentaati baginda.

Para ulama mutabar telah mendefinisikan Imamah dan Khilafah secara syari. Imam al-Haramain, misalnya, berkata:

الإمامة رياسة تامة، وزعامة تتعلق بالخاصة والعامة في مهمات الدين والدنيا

Imamah adalah kepemimpinan yang utuh, kepemimpinan yang berkaitan dengan hal umum maupun khusus dalam tugas-tugas agama maupun dunia.”

Imam ar-Ramli menyatakan:

الخليفة هو الامام الاعظام، القائم بخلافة النبوة، فى حراسة الدين وسياسة الدنيا

Khalifah itu adalah imam yang agung, yang tegak dalam Khilafah an-Nubuwwah, dalam melindungi agama serta politik yang sifatnya duniawi.

Definisi yang lebih lengkap yang mengkompromikan berbagai definisi para ulama salaf adalah yang dikemukakan oleh Syaikh Dr. Abdul Majid al-Khalidi, yang menyatakan bahwa Khilafah adalah:

رئاسة عامة للمسلمين جميعا فى الدنيا لاقامة احكام الشرعى الاسلامي, وحمل الدعوة الاسلامية الى العالم

Kepemimpinan umum bagi kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hakam syariah Islam serta mengembang dakwah Islam ke suluruh dunia.”

Oleh yang demikian, apa yang difahami oleh nenek moyang orang-orang Melayu tentang Khilafah sebagai kepimpinan politik di kalangan seluruh umat Islam di dunia adalah selari dengan pemahaman para ulama.

2. Khilafah sebagai pelindung

Akhbar Tanjung Penegeri, Rencana Pengarang, 17 Januari 1895:

Akhbar ini menjelaskan bahawa Turki Uthmaniyyah lebih berkuasa daripada British dan Rusia serta berusaha menyelesaikan konflik masyarakat Islam dan Kristian, terutamanya yang melibatkan orang Armenia. Kekuatan Turki Uthmaniyyah diandaikan dapat menghalang Rusia daripada menawan British.

Akhbar Lengkongan Bulan , Jil. 2, No.3, 14 Mei 1900:

Daulah Turki Uthmaniyyah dilihat sebagai Daulah Islam yang kuat dan mampu memberikan perlindungan kepada umat Islam yang lain. Daulah ini diiktiraf sebagai sebuah mahkota Islam yang kuat dan menjadi tempat seluruh umat Islam, termasuklah masyarakat Melayu untuk berlindung di bawah kekuasaannya.

Khalifah Turki Uthmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II juga sentiasa mengambil berat terhadap rakyatnya termasuklah umat Islam di bawah naungan negeri bukan Islam. Salah satu usaha yang dilihat untuk menjaga kepentingan umat Islam ialah menerusi penempatan konsul (duta) Turki Uthmaniyyah iaitu Muhammad Kamil Bey di Betawi, Hindia Timur Belanda (Indonesia). Antara peranan konsul tersebut termasuklah melakukan pemilihan di kalangan kanak-kanak di sana dan dihantar ke Turki Uthmaniyyah untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi. Matlamat Khalifah ialah memudahkan orang Turki Uthmaniyyah yang berminat menjalankan perdagangan ke negeri-negeri Melayu demi mengurangkan monopoli pedagang Perancis, Jerman, Jepun dan lain-lain.

Al-Imam Jil 2, Bil 1 12 Julai 1907 dan Bil 2 10  Ogos 1907:

Al-Imam menyiarkan ucapan Mustafa Kamil Pasha sempena menyambut ulang tahun pemerintahan Daulah Uthmaniyyah ke-608. Mustafa Kamil Pasha (1874-1908) merupakan salah seorang tokoh terkenal di Mesir. Beliau mengasaskan parti politik al-Hizb al-Watani di Mesir. Mustafa Kamil Pasha menyeru masyarakat Mesir agar menanamkan perasaan cinta kepada Uthmaniyyah. Orang Mesir perlu mencontohi kekuatan dan kelebihan Turki Uthmaniyyah iaitu dianggap sebuah Daulah yang kuat dan melambangkan kegemilangan bangsa di sebelah Timur. Daulah Uthmaniyyah juga berperanan memelihara kesucian agama Islam, Makkah dan juga Madinah. Turki Uthmaniyyah juga dianggap sebagai Khalifah Islam yang berperanan memerdekakan negara Mesir daripada kuasa penjajah Eropah, Perancis dan British.

Neracha , Jil. 3, No. 99, 20 Ogos 1913

Terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang beranggapan bahawa Turki Uthmaniyyah akan membebaskan tanah air mereka daripada penjajah British. Majlis sembahyang hajat dan doa selamat diadakan di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu untuk mendoakan kejayaan Turki Uthmaniyyah. Sultan Turki dianggap sebagai “Amirul Mukminin” dan Khalifah Islam.

John M. Gullick 1963, Malay Society in the Late Nineteeth Century the Beginning of Change, 1989:

Reaksi masyarakat Melayu dalam gagasan Pan-Islamisme yang dibawa oleh Khilafah dapat dilihat pada tahun 1892 apabila dua orang pemimpin Melayu di Negeri Sembilan iaitu Tunku Besar Tampin (Sayid Hamid bin Sayid Shaaban) dan Penghulu Inas (Encik Omar) mengemukakan rayuan kepada tentera laut Turki Uthmaniyyah yang singgah di Singapura. Rayuan dibuat agar bantuan diberikan kepada masyarakat Melayu yang berhadapan dengan penjajah British. Kesan daripada permohonan rayuan tersebut, Penghulu Inas dipecat dan Tunku Besar Tampin diberi amaran oleh British.

Awang Haji Mohd Jamil al-Sufri , Kertas Kerja ‘Brunei di tengah-tengah Nusantara’ 1989:

Dalam pemberontakan di Wilayah Limbang, Sarawak  pada tahun 1884, Sultan Brunei iaitu Sultan Hashim Jalili ‘Alam Aqamaddin (1885-1906) asalnya meminta bantuan daripada Raja Charles Brooke di Sarawak untuk menumpasan pemberontakan tersebut tetapi ianya ditolak. Kemudian, Charles Brooke berjaya menumpaskan pemberontakan dan merampas Limbang dari Brunei. Dalam usaha mendapatkan bantuan, Sultan Hashim  menghantar surat kepada Sultan Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II untuk meminta bantuan terhadap rampasan Limbang oleh Charles Brooke. Surat tersebut tidak sempat sampai kepada Sultan Abdul Hamid kerana dirampas oleh James Heweet, Residen British di Singapura yang melawat Brunei.

Neracha, Jil 3, No. 89,  1 June 1913

Dengan meningkatkan persaudaraan Islam, Neracha menyiarkan usaha yang dibuat oleh akhbar Mesir dalam berkempen untuk kemenangan Turki Uthmaniyyah. Neracha mengajar orang Melayu tentang tanggungjawab mereka dan juga semua orang Islam untuk menyokong Khilafah, mengingatkan bahawa kejatuhan empayar Uthmaniyyah akan mendatangkan aib kepada semua umat Islam.

 

Apa yang difahami oleh nenek moyang orang-orang Melayu ialah bahawa Khilafah merupakan pelindung bagi umat Islam. Khilafah akan membebaskan umat Islam daripada kezaliman dan cengkaman penjajah. Tanpanya umat Islam akan kehilangan pelindung dan menjadi hina. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:

«إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ»

Sungguh Imam (Khalifah) itu perisai; orang-orang akan berperang mendukung dia dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)-nya (HR Muttafaq ’alayh).

3. Khilafah sebagai pemelihara urusan umat

Chahyah Pulau Pinang, Jil 4, No.19, 13 Februari 1904:

Akhbar ini juga menjelaskan kepada masyarakat Melayu mengenai usaha Sultan Abdul Hamid II membina kolej kedoktoran untuk memenuhi keperluan semasa. Kolej tersebut dinamakan Madrasah Tabib Sultaniyyah. Baginda turut menghantar para doktor dari Turki Uthmaniyyah ke Hejaz bermula dari bulan Ramadhan sehingga akhir Zulhijjah untuk memberikan perkhidmatan bagi seluruh umat Islam termasuklah masyarakat Melayu yang mengerjakan ibadah haji.

Chahyah Pulau Pinang, Jil. 4, No.20, 20 Februari 1904:

Akhbar ini menerangkan tentang projek landasan keretapi Hejaz yang dibina oleh Daulah Uthmaniyyah. Projek ini bertujuan untuk kegunaan dan kemudahan umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji. Di samping itu, landasan keretapi ini memberikan kelebihan kepada Uthmaniyyah kerana tidak perlu lagi menggunakan Terusan Suez yang dikuasai oleh British. Memandangkan projek mega ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi, umat Islam yang mengiktiraf Sultan Abdul Hamid II sebagai Khalifah digalakkan agar sama-sama memberikan sumbangan untuk membentuk dana kewangan.

Orang-orang Melayu memahami bahawa Khilafah akan menjaga kebajikan umat Islam di seluruh dunia. Khilafah sentiasa akan menjaga kepentingan umat kerana itu adalah tanggungjawabnya. Sabda Rasulullah SAW :

َالإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Imam (Khalifah) adalah pemelihara urusan rakyat dan dia ditanya tentang rakyat yang dia urus (HR al-Bukhari).

4. Umat Islam di Tanah Melayu merasakan mereka sebahagian daripada Khilafah

Neracha dari November 1912 hingga Mac 1913:

Neracha memberikan liputan meluas kepada peperangan Balkan. Ruangan “Turki dan kerajaan-kerajaan Balkan” merupakan ruangan khusus yang membentangkan perkembangan semasa mengenai peperangan di Balkan. Orang Melayu mengambil sebahagian besar dari paparan Neracha. Ruangan tersebut melaporkan perkembangan terkini situasi peperangan seperti lokasi peperangan, strategi pasukan tentera Turki Uthmaniyyah yang melancarkan serangan terhadap Greek, Serbia dan Bulgaria. Perkara penting yang turut menarik perhatian pembaca adalah sama ada Turki Uthmaniyyah mengalami kemenangan ataupun kekalahan di tangan pihak musuh.

Penduduk di Singapura turut mengikuti dengan penuh semangat situasi peperangan yang berlangsung. Hal ini terbukti apabila mereka menyediakan sebuah papan kenyataan khas yang menjelaskan pelan lokasi peperangan Turki Uthmaniyyah. Maklumat dimasukkan dalam pelan tersebut dengan meletakkan petunjuk khas yang mendedahkan kawasan yang mengalami kekalahan atau kemenangan. Petugas yang terlibat juga akan memberikan maklumat semasa dan terkini, setiap hari kepada orang ramai dengan memantau dan mengubah petunjuk khas yang diletakkan di setiap lokasi peperangan.

Neracha Jil 2, No. 57, 30 Oktober 1912:

Ketika Perang Balkan di mana Turki Uthmaniyyah berhadapan dengan serangan kuasa Itali, akhbar Neracha menegur masyarakat Melayu yang ghairah dengan permainan bola sepak, sedangkan saudara seagama mereka di Turki Uthmaniyyah ditimpa bencana konflik peperangan. Kritikan oleh Neracha agak keras dengan menyatakan “bila masanya kita mesti sedar diri, saudara-saudara kita mengerang siang dan malam menghadap senjata dan seteru, maka kita bersorak ramai-ramai tendang bola hentam satu satu lagi, tidak mengambil insaf.” Neracha turut menyelitkan ayat al-Quran dan juga hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa umat Islam itu bersaudara dan haruslah membantu antara satu sama lain. Neracha dengan tegas menyatakan pendirian mereka yang menolak kecenderungan orang Melayu terhadap permainan bola sepak.

Neracha juga melancarkan kempen mengutip derma untuk memberikan sokongan dalam peperangan Uthmaniyyah. Kutipan derma sebanyak $1.00 seorang bagi membantu daulah Turki Uthmaniyyah membeli senjata dan peluru. Neracha juga mengkritik orang Melayu kerana tidak prihatin terhadap saudara seagama mereka di Turki Uthmaniyya yang bermati-matian berjuang dalam peperangan.

Orang-orang Melayu berdoa ke atas Khilafah Uthmaniyyah, buktinya:

Neracha , Jil. 3, No.99, 20 Ogos 1913:

Pada awal Julai 1913, berita kemenangan pasukan tentera Turki Uthmaniyyah di Edirne disambut dengan gembira oleh masyarakat Melayu. Solat hajat diadakan di Masjid Jalan Perak, Dato’ Keramat dan Pulau Pinang. Bendera Turki Uthmaniyah turut dinaikkan dalam majlis tersebut.

Neracha Jil.3, No. 107, Oktober 1913:

Laporan turut dikeluarkan yang menyatakan bahawa solat hajat turut diadakan di kebanyakan tempat di Semenanjung Tanah Melayu.

Manuskrip Khutbah Jumaat dan hari Raya Aidilfitri Kg Chabang Tiga, Kuala Bakat Patani 4 Nov 1900:

Umat Islam di Patani juga memberikan sokongan kepada Sultan Turki Uthmaniyyah dan pasukan tentera baginda menerusi bacaan khutbah solat Jumaat dan Hari Raya dengan memohon agar Allah SWT sentiasa memberikan kekuatan dan ketinggian kepada Sultan Abdul Hamid II dan kerajaannya. Di samping itu, doa juga dipohon agar pasukan tentera Turki Uthmaniyyah sentiasa dikurniakan kekuatan dan juga kemenangan dalam usaha mereka menentang musuh-musuh yang sering memberikan tekanan dan juga ancaman kepada umat Islam.

Oleh yang demikian, orang-orang Melayu memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada Khilafah di mana mereka mendirikan solat hajat dan mendoakannya. Mereka mengikuti perkembangan politiknya misalnya dalam peperangan dengan sangat rapat. Mereka juga menyebutnya di dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid di Tanah Melayu.

5. Orang-orang Melayu memahami kewajiban mendirikan Khilafah

Majalah Pengasuh 147 , 3 Jun 1924 (1 Zul kaedah 1342H) dengan tajuk : ‘Khilafah dan Khalifah’:

“Saya adalah Khalifah dan itu merupakan jawatan ketua bagi kerajaan orang-orang Islam di muka bumi ini pada perkara agama dan dunia mereka.

Maka mendirikan Khilafah (orang yang dilantik menjawat jawatan Khalifah) itu wajib atas sekalian Muslimin kerana sabda Nabi SAW:-

 وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِى عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

[Siapa saja yang mati, sedangkan di tengkuknya tiada bai’at (kepada Khalîfah), maka ia mati seperti mati jahiliyah -HR Muslim]

Dan tatkala jawatan itu adalah jawatan yang besar dan pangkat yang tinggi apabila telah dilantik diangkat seorang Khalifah itu dengan membai’at (bersumpah setia akan taat mengikut segala perintahnya) maka wajiblah atas sekalian orang Muslimin taat menurut apa-apa perintahnya yang bukan pada maksiat kerana sabda Nabi SAW:-

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ مِيتَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

[ Siapapun yang melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tak disukainya, hendaklah ia bersabar terhadapnya, sebab siapa yang memisahkan diri sejengkal dari jama’ah, dia mati dalam jahiliyah]

[Diriwayatkan oleh ibnu Najir dan Muslim daripada Ibn Abbas] .

Oleh yang demikian sayugialah atas orang-orang Islam di dalam Semenanjung Tanah Melayu. Sumatera, Jawa, Borneo, Celebes (Sulawesi), dan lain-lain mengadakan Lembaga Perhimpunan daripada ulama dan ahli-ahli aqal yang pandai-pandai bagi mesyuaratkan dan merundingkan siapa yang patut dilantik dijadikan dia Khalifah. Kemudian apa-apa kehasilannya dibentangkan di mana-mana surat khabar bagi pengetahuan ramai.

Sanya mendirikan Khalifah itu satu perkara yang tak boleh tidak daripadanya  pada syarak, kerana terhenti kepadanya peredaran persatuan orang-orang Islam yang bertaburan di muka bumi ini, dan bukanlah yang demikian kerana ia semata-mata kepala orang Islam. Tetapi kerana ia jalan yang boleh dapat bererti kita sekalian orang Islam yang tak boleh dijalankan melainkan kemudian daripada telah didirikan Khalifah itu memadailah bagi menerangkan yang demikian, memalingkan sedikit pandangan kepada Tarikh al-Islam, hanya Khalifah itu atasnya beberapa kewajipan, maka kewajipan itu wajib atas sekalian orang islam, menilik dan mentahkikkan dia, apabila ada peluang baginya seumpama masa ini, iaitu bagaimana yang di bawah ini:

  1. Memelihara dan mendirikan segala perintah syarak seberapa upaya.
  2. Memelihara dan menjaga segala tempat yang suci, bagi menyenangkan orang-orang Islam mendirikan syiar ugama yang wajib
  3. Khalifah itu jangan ada ia berikat dengan kerajaan asing, perikatan yang boleh jadi menguasai akan dia.”

Dari petikan di atas, jelaslah bahawa orang-orang Melayu memang memahami bahawa mendirikan Khilafah itu wajib sebagaimana dalil-dalil yang diterangkan dalam akhbar Pengasuh tersebut.

6. Khilafah difahami hanyalah tunggal dan tidak boleh lebih daripada satu.

Majalah Pengasuh Bilangan 143 Sabtu 5 April 1924 (1 Ramadhan 1342H) dengan tajuk ‘Kerajaan Turki memansuhkan jawatan Khalifah daripadanya dan menghalang Khalifah daripada negerinya’ :

“ Maka adalah seperti seruan kita kepada Muslimin Melayu yang kita sebarkan di dalam Pengasuh bilangan 142 tentang mempersetujukan perlantikan Khalifah Islam ke atas yang Maha Mulia raja Hijaz itu pada kali ini kita mengkuatkan lagi di atas seruan kita itu bahkan melampaui pula kita menyeru sekalian Muslimin dunia terutama sekali Muslimin di dalam India yang diadakan Jam’iyyah al-Khilafah itu pada mempersetuju dan menguatkan perlantikan Arab Hejaz di lainnya mengangkatkan yang Maha Mulia Asy-Syarif Husin bin Ali itu menjadi Khalifah Muslimin di dalam serata dunia ini kerana yang demikian itu terlebih manis dan terlebih mustahak dan terpelihara pula kehormatan mulia Islam pada pandangan bangsa-bangsa asing ialah dengan sebab jikalau Muslimin yang lain daripada Muslimin di dalam tiga buah negeri (Hijaz, Iraq dan Syarqil Urdun) tiada bersetuju di atas perlantikan mereka itu, masakan mereka itu menghibur atau menurunkan Khalifah yang dilantik itu daripada jawatannya maka tak patut pula diadakan dua atau tiga Khalifah di dalam dunia ini jikalau Muslimin dunia ini tiada bersetuju di atas raja Hijaz menjadi Khalifah itu.”

Apa yang difahami oleh orang-orang Melayu ketika itu selari dengan hadis-hadis yang menyatakan bahawa umat Islam tidak boleh memiliki lebih dari seorang Khalifah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW :

إذا بويع لخليفتين، فاقتلوا الآخر منهما

Jika dibai’at dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.[HR Muslim no 1853].

Begitu juga dengan hadis yang lain di mana sabda Rasulullah SAW :

من أتاكم، وأمركم جميع، على رجل واحد، يريد أن يشق عصاكم، أو يفرق جماعتكم، فاقتلوه

Siapa saja yang datang kepada kalian –sedangkan urusan kalian seluruhnya ada pada satu orang laki-laki (Khalifah)– [orang yang datang itu] hendak memecah belah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia.” [HR Muslim no 1852].

Dalam hadis yang lain Rasullah SAW bersabda:

«كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء. كلما هلك نبي خلفه نبي. وإنه لا نبي بعدي. وستكون خلفاء فتكثر» قالوا: فما تأمرنا؟ قال «فوا ببيعة الأول فالأول. وأعطوهم حقهم. فإن الله سائلهم عما استرعاهم»

Dahulu Bani Israil diatur oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, dia digantikan oleh nabi yang lain. Dan sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku. Yang akan ada adalah para khalifah dan jumlah mereka akan banyak. Mereka [para sahabat] bertanya,Lalu apa yang Engkau perintahkan kepada kami [ketika khalifah jumlahnya banyak]?” Nabi SAW bersabda,”Penuhilah bai’at untuk khalifah yang pertama sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada mereka mengenai urusan rakyat yang diamanahkan kepada mereka .” [HR Muslim no 1842].

Khatimah

Setelah kita menelusuri fakta-fakta sejarah ini, amat jelas bahawa orang-orang Melayu terutamanya para ulama memahami bahawa Khilafah Ialah kepimpinan tertinggi umat Islam. Khilafah juga memelihara urusan umat dan melindunginya daripada kejahatan, kezaliman dan penjajahan. Ketika Khilafah diruntuhkan oleh golongan Turki Muda yang dipelopori oleh Mustafa Kamal at-Tartuk, orang-orang Melayu menyerukan didirikan semula Khilafah kerana ia merupakan sebuah kewajiban bagi setiap induvidu Muslim. Walaupun pemahaman ini ada di kalangan orang-orang Melayu, namun pemahaman ini terdapat pada sebahagian sahaja orang Melayu dan ianya tidak meluas. Gerakan kebangkitan semula Khilafah kurang mendapat sambutan di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Hal ini kerana konspirasi yang dilakukan oleh penjajah British jauh lebih awal daripada itu. Nantikan penjelasan kami tentang konspirasi British dalam memadamkan perjuangan Islam di kalangan orang Melayu.