Panglima AS Rayu Keranda Tambahan Di Afghanistan

altTentera asing mungkin tumpas
 
WASHINGTON: Panglima tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan memberi amaran tentera asing akan kalah di tangan Taliban jika askar tambahan tidak dikerahkan dalam masa setahun.

Jeneral Stanley McChrystal menulis dalam satu laporan sulit: “Kegagalan untuk mengambil kesempatan dan mengubah momentum yang memihak kepada pemberontak dalam masa terdekat (12 bulan) sementara menunggu tentera Afghanistan disediakan membuka risiko berdepan dengan kekalahan.”

Akhbar Washington Post mendedahkan laporan penilaian mengenai konflik lapan tahun itu selepas ia dikemukakan kepada Setiausaha Pertahanan Robert Gates 30 Ogos lalu dan ketika ia sedang diteliti Rumah putih.

McChrystal yang dijangka mengemukakan permohonan rasmi tambahan askar daripada 62,000 yang berada di Afghanistan sekarang, berkata kempen ketenteraan di negara bergolak itu sejak mulanya menghadapi kekurangan sumber.

“Keadaan ini besar kemungkinan akan menghasilkan kegagalan,” katanya.

Kelemahan sumber itu juga membawa risiko “konflik yang lebih lama, jumlah kematian dan kos yang tinggi dan seterusnya kehilangan sokongan politik.

“Salah satu daripada risiko ini akan menggagalkan misi,” katanya.

Laporan 66 halaman itu menyatakan pemberontakan Taliban semakin mengukuh dan lebih bijak dilaksana.

McChrystal juga mengecam kerajaan Afghanistan yang dicemari rasuah dan strategi pasukan antarabangsa yang gagal memikat hati rakyat negara itu.

“Kelemahan institusi negara, sikap buruk ahli politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kesilapan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarbangsa (Isaf) tidak memikat rakyat Afghanistan untuk menyokong kerajaan.”

Pasukan antarabangsa, katanya beroperasi dengan cara tidak mendekatkan mereka dengan rakyat yang mereka ingin melindungi.

“Pemberontak tidak akan mengalahkan kita secara ketenteraan tetapi kita akan mengalahkan diri kita sendiri, kata jeneral itu.”

Sumber : Berita Harian Online 22/09/09

Panglima AS Rayu Keranda Tambahan Di Afghanistan

Setelah drama  11 September 2001, peperangan di Afghanistan yang di canang oleh AS sebagai “perang melawan pengganas” tetap diteruskan. Malah kesinambungannya terus menjangkiti negeri umat Islam yang lain. Namun, apa yang pasti, kehadiran tentera AS dan sekutunya adalah umpama perompak yang tak dijemput. Kerakusan dan keganasan tentera AS dan sekutunya di Afghanistan dan Iraq membuktikan bahawa kedatangan mereka ke sana bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh media antarabangsa, kononnya sebagai penyelamat untuk membebaskan rakyat Afghanistan dari cengkaman golongan “fundamentalis Islam” kepada pemerintahan demokrasi. Hakikatnya bukan ini yang umat Islam inginkan di sana. Islam sudah lama ada, seharusnya Islamlah yang sepatutnya memimpin mereka dan bukannya Amerika.

Sejak perang meletus di Afghanistan, jumlah kematian tentera AS semakin meningkat dari hari ke hari dengan angka tidak rasmi mencatatkan 838 kematian (sumber : http://antiwar.com/casualties/).

Situasi yang semakin menegang di Afghanistan ini memaksa panglima perang AS di sana memohon tambahan tentera untuk  “mengawal sepenuhnya” keadaan di Afghanistan. Sungguh aneh! Tentera yang telah mengisytiharkan kemenangan di Afghanistan masih belum “mengawal sepenuhnya” keadaan di sana!! Jadi, siapa yang “mengawal keadaan” di sana sebenarnya? Mungkin tentera AS berjaya mengawal keadaan di kem-kem tentera mereka, namun  lebih dari itu, mereka bagaikan ayam yang kehilangan ibunya!!

Jumlah 62,000 tentera AS pengecut di Afghanistan pastinya tidak akan mampu menggentarkan sekelompok Mujahideen di Afghanistan yang sanggup menggadaikan harta dan nyawa mereka untuk meraih syurga Allah. Semangat perang orang yang sekadar menurut perintah & takut mati pastinya jauh berbeza berbanding semangat para pejuang agama Allah yang lebih cintakan syahid daripada keenakan dunia. Sebagaimana firman Allah :

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar, (yaitu) beberapa derajat daripada-Nya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [TMQ An Nisaa’(4) : 95-96]

Itu dari satu aspek. Dari aspek yang lain pula, dengan mengeluarkan laporan keadaan yang meruncing di Afghanistan dan perlunya tambahan bilangan anggota tentera di sana, AS mengharapkan agar keberadaan mereka dan tentera sekutu di sana masih dianggap releven. Oleh itu, segala usaha pengunduran adalah satu langkah yang kurang bijak. Mungkin mereka  masih belum puas meratah umat Islam di sana dan masih banyak kekayaan bumi Afghanistan yang belum dikaut. Sekali lagi, permainan propaganda AS akan mendominasi pandangan umum dunia yang akan melihat kehadiran AS di sana sebagai masih relevan dalam ‘mengembalikan keamanan dan demokrasi’ di Afghanistan.

Sama ada dari segi aspek pertama mahupun dari aspek kedua, yang pasti, umat Islam di sana memerlukan pembelaan. Yang umat Islam perlukan bukanlah tali barut AS seperti Hamid Karzai, tetapi umat Islam amat memerlukan seorang Khalifah yang akan mengisytiharkan jihad melawan AS dan membebaskan setiap inci bumi umat Islam yang telah dijajah oleh puak kuffar dan seterusnya membebaskan seluruh penjuru dunia daripada kekufuran. Rasulullah bersabda:

إنما الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به

”Sesungguhnya Imam (khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]