Parti Benazir sedia kerjasama dengan Pervez

ISLAMABAD 14 Jan. – Parti Benazir Bhutto berkata, ia mungkin akan bekerjasama dengan Presiden Pervez Musharraf selepas pilihan raya bulan depan, di sebalik tuduhannya kerajaan menjadi dalang di atas kematian bekas Perdana Menteri itu.

Parti Benazir dan parti-parti utama pembangkang lain dijangka mencapai keputusan yang baik pada pilihan raya Parlimen 18 Februari ini, tetapi beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada kemenangan itu membolehkan mereka menubuhkan kerajaan atau sebaliknya.

Kebimbangan meluas kemungkinan berlaku penipuan undi, meningkatkan spekulasi bahawa parti-parti pembangkang mungkin tidak menerima keputusan pilihan raya, sehingga mencetuskan kekacauan politik.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir tidak menolak bekerjasama dengan Presiden Pervez Musharraf selepas pilihan raya nanti.

‘‘Keutamaan kami ialah pilihan raya mestilah bebas dan adil,’’ kata jurucakap parti, Farhatullah Babar.

‘‘Perkara lain, sama ada bekerja dengan Musharraf atau tidak, ia adalah jambatan yang akan kami lintas apabila tiba masanya. Segala pilihan adalah terbuka.’’

Ramai penganalisis menjangka, perjanjian antara Musharraf dan parti Benazir tidak akan bertahan lama.

Bagaimanapun, ia akan mewakili gabungan antara golongan sekular dan sederhana di negara yang turut menyaksikan peningkatan puak pelampau Islam, dan dijangka akan dialu-alukan oleh Amerika Syarikat dan negara Barat lain.

Pemilihan telah ditangguhkan selama enam minggu berikutan pembunuhan Benazir, dan dilihat sebagai langkah Pakistan untuk mengembalikan demokrasi.

Satu kajian pendapat yang dikendalikan oleh Institut Republik Antarabangsa akhir tahun lalu mendapati, 72 peratus responden menentang pemilihan semula Musharraf sebagai Presiden untuk tempoh lima tahun lagi.

Benazir telah dibunuh pada 27 Disember lalu dalam satu serangan bom berani mati.

Musharraf menuduh serangan itu dilakukan oleh puak pelampau Islam yang pernah mengancam untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, parti dan anggota keluarga Benazir menuduh kerajaan gagal memberikan perlindungan keselamatan sewajarnya kepada beliau. Malah, ada yang menuduh pihak tertentu dalam kerajaan turut terlibat sama.

– AP

Sumber: Utusan Malaysia 15/01/08

Ulasan:

Secara logiknya berita ini adalah suatu yang amat memeranjatkan. Semasa kubur Benazir masih lagi merah dan darah para penyokongnya masih menggelegak marahkan dan menuduh Musharraf atas kematian Benazir, alih-alih parti mereka ingin berbaik dengan si ‘pembunuh’!!! Apakah yang telah berlaku?

Namun, berita yang memeranjatkan ini bukanlah suatu yang perlu dipelikkan, khususnya bagi ahli-ahli politik yang ada sekarang. Kenapa? Satu sahaja jawapan boleh menjawab segala-galanya – Inilah “politik kufur”!!! Di dalam politik kufur ini, segala-galanya boleh berlaku atas dasar “manfaat”. Siapa tidak tahu bahawa dalam politik kufur seperti sekarang, “tiada musuh yang abadi dan tiada kawan yang abadi, yang ada hanyalah kepentingan yang abadi”.

Hari ini bergaduh esok berbaik, hari ini menghina esok memuji, hari ini berada dalam parti ini, esok berada dalam parti lawan, lusa kembali semula kepada parti asal, hari ini berpisah, esok bergabung, lusa berpecah semula – ini adalah lumrah di dalam politik kotor ala Michievelli yang ada saat ini. Baik di luar negeri mahupun di dalam negeri, inilah hakikat politik yang bukan berdasarkan aqidah Islam. Segala-galanya adalah ditentukan oleh “manfaat”. Musuh ketat boleh menjadi kawan baik!

Inilah apa yang kita saksikan sekarang di Pakistan. Langsung tidak mustahil PPP akan bergabung dengan Musharraf dan kemudian akan ‘berperang’ semula dengan Musharraf dan kemudian akan bergabung semula dan begitulah seterusnya. Inilah kesan dari sistem demokrasi yang diterapkan oleh penjajah yang mana parti-parti yang ada telah diajar oleh kuffar penjajah ini agar bergaduh antara satu sama lain untuk merebut kekuasaan. Perebutan kekuasaan yang tidak kurang berakhir dengan pergaduhan dan kebencian sesama umat Islam akhirnya telah menjadi sebati di kalangan umat Islam. Maka wujudlah suasana seperti yang kita saksikan pada hari ini.

Apabila umat Islam sudah bergaduh sesama sendiri untuk merebut kekuasaan di bawah sistem demokrasi, maka kuffar penjajah telah berjaya melarikan umat Islam dari usaha untuk berbaik-baik dan bersatu di bawah Sistem Khilafah – sistem Islam sebenar yang sepatutnya diperjuangkan oleh umat Islam yang akan menyatukan mereka. Di sinilah Hizbut Tahrir hadir di tengah-tengah umat untuk menerangkan kepada umat akan agenda jahat kuffar penjajah yang ingin memisah dan memecah-belahkan kita. Hizbut Tahrir hadir dan menerangkan maksud sebenar politik di dalam Islam dan Hizbut Tahrir menyeru agar umat Islam di seluruh dunia berjuang dan bersatu di bawah Sistem Khilafah dan seterusnya kita akan mengalahkan kuffar penjajah yang merupakan musuh sebenar kita.