PBB gagal selesaikan konflik dunia

Johor Bahru, 18 Januari – PBB yang digambarkan sebagai satu badan yang boleh memberi jalan keluar daripada masalah dan konflik di serata dunia sebenarnya telah berulang kali gagal untuk melaksanakan misinya tanpa sebarang tindakan susulan.

Hal ini dibincangkan semasa sesi Diskusi Umum anjuran Hizbut Tahrir Malaysia cawangan Johor Bahru yang telah disampaikan oleh saudara Dr Amri selaku panel pembentangan. Panel juga menegaskan bahawa kuasa veto milik lima negara ahli tetap PBB iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, China dan Russia sebenarnya telah memberi ‘kuasa’ kepada mereka untuk menindas dan menekan sasaran mereka demi meraih kepentingan masing-masing pihak.

PBB juga kononnya telah memperkenalkan perjuangan Hak Asasi Manusia untuk membela nasib mereka yang tertindas dan bertentangan dengan hak semua manusia untuk hidup. Namun begitu, jika dilihat nasib umat Islam seperti di Palestin, Syria, Myanmar, China dan lain-lain, penindasan terus berlaku tanpa sebarang pembelaan. Ternyata peranan PBB dalam isu-isu kezaliman dan penindasan telah gagal buat sekian kalinya.

Ahli panel menegaskan bahawa penyelesaian hakiki kepada masalah umat Islam di seluruh dunia hanya akan dapat tercapai apabila tertegaknya negara Islam iaitu Khilafah. Hal ini demikian kerana, Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah akan menerapkan Islam di dalam negeri dan melaksanakan polisi dakwah dan jihad di luar negeri. Dengan kata lain, sang Khalifah akan menggerakkan tentera-tentera kaum muslimin untuk menyelamatkan umat Islam yang kini sedang ditindas.

Selesai pembentangan diskusi, program diteruskan dengan beberapa soalan dan komentar daripada penonton yang hadir. Majlis bersurai selepas sedikit jamuan ringan daripada pihak penganjur.