Pejuang muda itu telah pergi
Beliau meninggal setelah baru beberapa bulan lepas dikesan menghidap penyakit hepatitis C dan pada pagi Sabtu lalu beliau dikejarkan ke hospital setelah mengadu sesak nafas. Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1966 merupakan bekas pelajar SRK Ismail (1) Muar sebelum meneruskan persekolahan di SMK Jalan Junid. Setelah zaman persekolahannya, Allahyarham meneruskan pendidikan di IKBN dalam jurusan Mekanik Motor dan pernah bekerja di pelbagai syarikat sebagai juruteknik. Sejak 1997 hinggalah ke saat terakhirnya, beliau bekerja di Sykt. Eletronik ST, Tg. Agas, Muar
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berumur 5 tahun.
Penglibatan Allahyarham di dalam HTM bermula sejak lebih kurang 5 tahun lalu (sekitar 2003) dan merupakan seorang yang sangat komited dengan perjuangan untuk menegakkan Islam hinggalah ke hembusan nafasnya yang terakhir. Beliau tidak pernah melalaikan tanggungjawab dakwahnya baik di dalam HTM mahupun kepada umat. Walaupun beliau adalah seorang yang tidak suka dikenali, namun beliau tidak pernah meninggalkan usaha untuk menyampaikan Islam kepada setiap orang yang dijumpainya. Beliau senantiasa mengambil peranan aktif di dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh HTM khususnya di Muar. Sepanjang hidupnya, Allahyarham merupakan seorang yang ringan tulang dan amat disenangi oleh rakan-rakan yang lain. Beliau terkenal dengan tidak pernah menolak apa jua tugasan yang diberi demi untuk menyampaikan Islam.
Dalam keadaan uzur sejak beliau di dapati menghidap hepatitis C, Allahyarham masih terus istiqamah melaksanakan kewajipan-kewajipan dakwahnya. Sehinggalah ke saat-saat akhir semasa berada di hospital, beliau masih meminta agar dibawa kepadanya kitab untuk ditelaah kerana katanya masih banyak ilmu Islam yang belum dikuasainya.
Sesungguhnya darah sebagai seorang pejuang Islam tetap segar mengalir di dalam tubuhnya hinggalah ke saat Allah memanggilnya pulang Kami amat sedih dengan pemergiannya dan redha dengan qadha Allah ke atasnya.
Semoga Allah SWT menerima segala amal solehnya, diampunkan segala dosa dan kesalahannya dan ditempatkan oleh Allah di dalam syurgaNya bersama para anbiya’, syuhada dan solehin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.