Pembakaran jenazah pesakit COVID-19: Satu lagi episod kezaliman ke atas Muslim di Sri Lanka!
Buat kesekian kalinya, umat Islam terus dizalimi bukan hanya ketika hidup, bahkan setelah meninggal dunia pun turut dinafikan hak untuk disempurnakan mengikut ketetapan syarak.
Kezaliman ini terjadi baru-baru ini, apabila kerajaan Sri Lanka yang diperintah oleh majoriti penganut agama Buddha memutuskan untuk membakar mayat-mayat mangsa kes COVID-19 atau yang disyaki menghidapi penyakit tersebut. Arahan mandatori tersebut turut dipaksakan ke atas umat Islam di negara tersebut atas alasan bagi membendung penularan wabak.
Perkara ini tidak sewajarnya dibiarkan, kerana jenazah seorang Muslim wajib disempurnakan dan dikebumikan menurut ajaran Islam. Tindakan kerajaan Sri Lanka ini bukan sahaja bertentangan dengan ketetapan syarak ke atas umat Islam, bahkan berlebihan dalam membendung penularan COVID-19.
Sesungguhnya, penyempurnaan proses ritual pengkebumian jenazah merupakan fardu kifayah yang terpikul di bahu seluruh umat Islam di sesebuah kawasan itu.
Dalam pada itu, tindakan pembakaran mandatori ini juga merupakan satu langkah yang keterlaluan dan menafikan hak umat Islam. Sedangkan sebenarnya pengebumian boleh dilakukan secara selamat dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pakaian perlindungan yang lengkap, mengurangkan bilangan individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah dan pengebumian dan sebagainya.
Apa yang pasti, keputusan kerajaan Sri Lanka ini wajib dibantah dan ditentang sekeras-kerasnya kerana ia jelas bertentangan dengan ketetapan syarak dalam pengurusan jenazah. Dari sudut lain pula, ketetapan ini merupakan sekelumit daripada penindasan yang dihadapi oleh umat Islam di negara tersebut yang telah berdepan dengan bermacam bentuk diskriminasi dan penindasan. Umat Islam di Sri Lanka juga pernah menjadi mangsa kezaliman tentera kerajaan dan juga pemberontak Tamil Eelam berdekad-dekad lamanya sepanjang tercetusnya perang saudara di negara tersebut.
Realiti pilu ini akan berlarutan dan tidak mustahil akan berulang kembali selagi umat ini masih dalam kedudukan yang lemah serta berpecah-belah tanpa adanya sebuah kepimpinan ikhlas yang membela mereka. Tanpa Khilafah, nasib umat Islam akan terus diperkotak-katikkan, dan hak-hak mereka akan sewenang-wenangnya dinafikan oleh musuh-musuhnya. Apakah kita masih lagi hendak berdiam diri dan membiarkan senario sebegini terus berlaku?
Ayuh, setidak-tidaknya marilah bersama-sama menyatakan bantahan kita terhadap kezaliman ini dengan menyertai kempen ‘twitter storm’ yang akan berlangsung pada 3 Januari 2021 (Sabtu) pada jam 3 petang waktu Madinah (8 malam waktu Malaysia).
Umat Islam diseru untuk menggunakan hashtag #StopMuslimCremation atau أوقفوا_حرق_موتى_المسلمين# , secara serentak pada tarikh dan waktu tersebut sebagai tanda solidariti terhadap Muslim di Sri Lanka yang merupakan saudara seakidah kita.
Semoga kempen ini berupaya meningkatkan kesedaran sekali gus menampilkan sokongan dan solidariti kita terhadap Muslim di Sri Lanka. Mudah-mudahan usaha kecil ini diberkati dan diterima Allah (swt), insya Allah.
#StopMuslimCremation
أوقفوا_حرق_موتى_المسلمين#