Pembela Islam Atau Pelakon Islam?
PEKAN 3 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam tempoh terdekat ini bagi menjelaskan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta umat Islam bertenang sambil menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikannya menerusi proses undang-undang. Beliau juga meminta umat Islam terutama kumpulan tertentu mengurangkan aktiviti rapat umum yang boleh memanaskan isu yang amat sensitif itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku. ‘‘Saya akan melakukan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong nanti dan jika Seri Paduka perkenan, perkara ini akan ditaklimat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuarat akan datang. *Hisham: KDN akan buat rayuan secepat mungkin.
‘‘Seperti mana yang kita tahu, keputusan ini (kebenaran penggunaan kalimah Allah) dibuat oleh Mahkamah Tinggi tetapi kita ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan. ‘‘Kerajaan telah memutuskan perkara ini akan dibuat rayuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 321 murid pada majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Keputusan mahkamah itu mengundang kemarahan umat Islam di seluruh negara yang mahukan kerajaan dan Majlis Raja-Raja segera campur tangan dalam menangani isu tersebut. Mengulas lanjut, Najib menegaskan, kerajaan amat memahami sensitiviti masyarakat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu. Beliau juga tidak dapat menafikan berlakunya rapat-rapat umum di kalangan umat Islam di seluruh negara kerana mereka kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah tersebut. ‘‘Saya tahu perasaan umat Islam bagaimana mereka merasa begitu terkilan dengan isu ini dan saya berharap biarlah kerajaan menanganinya dengan sebaik mungkin melalui proses rayuan dan Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan itu,” katanya. Berikutan itu, Perdana Menteri berharap isu tersebut dapat diatasi dengan penuh kebijaksanaan bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk. ‘‘Saya berharap keadaan ini tidak bertambah keruh dan kita mengharapkan penyelesaiannya nanti berasaskan kebijaksanaan untuk menyelesaikan isu yang sangat sensitif ini,” tegasnya. Terdahulu, sebelum mempengerusi mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Najib yang merupakan Ketua UMNO bahagian itu menerima memorandum daripada 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi tersebut. Memorandum berkenaan diserahkan oleh Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan yang mengetuai 50 ahli NGO terbabit di depan Bangunan UMNO Bahagian Pekan.
Sumber: Utusan Malaysia 04/01/10
Pembela Islam Atau Pelakon Islam?
Nampaknya watak-watak segera “pembela” Islam mula memanaskan suasana berhubung dengan isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Berbagai tindakan diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk menunjukkan kecintaan mereka kepada Islam.
Namum dari apa yang dilakukan oleh beberapa pihak yang berkenaan, nampak seolah-olah mereka cuba “berlakon” untuk menunjukkan merekalah pembela Islam yang sebenarnya. Persoalannya ialah apakah benar selama ini mereka membela Islam? Berhubung dengan isu nama Allah SWT ini kita perlu melihatnya dengan menggunakan pemikiran yang mustanir dan bukannya menggunakan perasaan yang mencair. Kenapa ada di kalangan umat Islam yang begitu cepat melenting dengan perkara ini? Bukankah ini keputusan yang dibenarkan oleh mahkamah yang diperakui sah oleh perlembagaan kufur yang dipertahankan oleh pemerintah hari ini? Mengapakah kita begitu melenting dengan isu ini sedangkan selama ini ada institusi yang menggunakan gelaran “Yang Maha Mulia” dalam panggilan mereka? Bukankah gelaran ini tidak layak untuk mahkluk yang bergelar manusia? Kenapa ini juga tidak dipertikaikan? Bukankah selama ini para pemerintah secara terang-terang menolak undang-undang dan sistem ciptaan Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara? Apakah ini bukannya penghinaan kepada Islam namanya? Kini tiba-tiba para pemuda UMNO Nibong Tebal “berlakon” kononnya ingin membuktikan merekalah pembela Islam. Sedarkah mereka bahawa UMNO lah parti yang membakul sampahkan hukum Allah SWT selama ini? Apakah umat Islam tidak merasa apa-apa dengan bentuk hukuman “365” yang diguna pakai oleh mahkamah yang tidak syariah di Malaysia pada hari ini? Bukankah hukuman 365 ini merupakan hukuman ataupun undang-undang yang diluluskan oleh UMNO? Tidakkah bentuk hukuman ini suatu hukuman yang menghina Allah SWT? Kenapa kamu tidak bangkit, wahai para “pembela” Islam? Ayuh, bangkitlah! Dirikanlah Khilafah!Hanya Khilafahlah penyelesaian yang terbaik buat umat Islam saat ini.