Pembunuhan askar British di Woolwich

Seorang bekas askar British yang dikatakan pernah bertugas di Afghanistan telah dibunuh dengan menggunakan senjata tajam oleh seorang berbangsa Afrika yang dikatakan beragama Islam dengan videonya disiarkan di internet [1]. Ahli-ahli politik Britain dengan cepat menganggap peristiwa tersebut sebagai keganasan sehinggakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhyono turut menghantar perutusan takziah kepada Perdana Menteri British, David Cameron atas peristiwa tersebut.

Terdapat beberapa fakta yang perlu diperhatikan oleh umat Islam dalam isu ini:

1) Media massa Barat sentiasa bersifat Islamophobia, iaitu mencetuskan ketakutan dan kebencian terhadap Islam dan juga umat Islam. Apabila askar veteran British yang dibunuh, maka segala macam serangan ditujukan kepada umat Islam dan Islam oleh musuh-musuh Islam. Para pelakunya (si pembunuh) yang dikatakan seorang muslim terus dilabel sebagai pengganas. Tetapi apabila Andreas Brevik, yang bukan seorang Islam, yang membunuh secara rambang lebih daripada 70 orang awam di Norway pada tahun 2011, ia langsung tidak dicap sebagai pengganas. Di sini jelas, label pengganas hanya ditujukan kepada orang Islam yang melakukan pembunuhan dan segala macam jenayah yang lain. Apabila seorang Muslim bernama Muhammed Saleem Chaudhry, berumur 75 tahun, dibunuh dengan serangan senjata tajam di Birmingham, Britain beberapa bulan lepas, peristiwa tersebut tidak dianggap sebagai  keganasan dan pelakunya juga tidak dilabel sebagai pengganas [2].

2) Umat Islam sentiasa dipaksa untuk meminta maaf (apologetic) dan bersifat defensif dalam apabila berlakunya peristiwa-peristiwa sebegini. Musuh-musuh Islam sentiasa mahukan umat Islam meletakkan diri sendiri dalam kandang pesalah dan mengaku bersalah atas semua perkara yang berlaku. Seolah-olah polisi luar Britain atau mana-mana negara penjajah yang lain tidak ada kena-mengena dengan peristiwa tersebut. Perlu disedari bahawa Britain adalah sebuah negara imperialis, sejak dahulu sehinggalah sekarang. Askar-askar British melakukan pembunuhan secara massa (genocide) dan banyak jenayah perang terhadap umat Islam di Afghanistan dan juga di Iraq sejak tercetusnya perang dan pencerobohan ke atas kedua-dua negara tersebut pada tahun 2001 dan 2003. Ribuan umat Islam dibunuh oleh askar British di sana. Semasa zaman kolonial British di Tanah Melayu, askar-askar British bertanggungjawab dalam pembunuhan massa (genocide) ke atas masyarakat Cina di Batang Kali di Selangor pada tahun 1948, yang mana mereka dituduh berpihak kepada pengganas komunis semasa pemberontakan komunis di Tanah Melayu sebelum merdeka. Britain juga adalah dalang utama dalam usaha memusnahkan dan menjatuhkan Daulah Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 dan memainkan peranan utama dalam penubuhan entiti haram Yahudi (Israel) di Palestin pada 1948.

Britain sehingga kini masih lagi menjajah Ireland Utara dan melakukan pembunuhan secara rambang terhadap para penduduk yang bermazhab Katolik di sana dalam peristiwa Sunday Bloody Sunday pada tahun 1972. Sebagai tindakbalas terhadap penjajahan British ke atas Ireland Utara, sebuah pertubuhan ketenteraan ditubuhkan iaitu Irish Republican Army (IRA) yang bertujuan untuk menamatkan penjajahan dan mendapatkan kemerdekaan untuk Ireland Utara daripada penjajahan British. Tentera IRA dicap sebagai pertubuhan pangganas oleh kerajaan Britain. Penduduk Ireland Utara dan IRA kebanyakannya adalah bermazhab Roman Katolik, tetapi mereka tidak pernah dicap sebagai pengganas Katolik (Catholic terrorists). Sebaliknya apabila terdapat orang Islam yang melakukan jenayah, maka ia dengan segera akan terus dicap sebagai pengganas Muslim (Muslim terrorists). Jika umat Islam sentiasa diperlakukan sedemikian rupa, siapakah pula yang akan meminta maaf (apologetic) ke atas kesemua jenayah perang yang telah dilakukan oleh askar-askar British dalam semua penjajahan mereka dan pembunuhan massa (genocide) di Iraq, Afghanistan, Ireland Utara dan juga di Tanah Melayu?

Seorang bekas askar veteran di Afghanistan, Joe Glenton telah menulis dalam akhbar British iaitu The Guardian yang bertajuk “Woolwich attack: of course British foreign policy had a role”. Dalam tulisannya, beliau menyalahkan polisi luar negara Britain ke atas peristiwa pembunuhan tersebut [3].  Beliau mengatakan bahawa, ‘Tidak ada apa-apa yang boleh menjustifikasikan pembunuhan seorang bekas askar Britain di Woolwich, bukanlah payah untuk memberikan penjelasan terhadap sebab-sebab pembunuhan tersebut…ia menjadi lebih jelas bahawa dengan menyerang umat Islam di luar negara, ia sebenarnya menyebarkan lagi kebencian (terhadap kita) di dalam negara. Kita mesti sedar bahawa kerajaan British terlibat dengan Amerika Syarikat dalam penjajahan di Timur Tengah, kita sepatutnya berterima kasih kerana peristiwa pembunuhan ini adalah jauh lebih kecil berbanding apa yang sepatutnya.

3) Kita mesti memberikan kesedaran kepada umat Islam dan juga bukan Islam bahawa Islam bukanlah musuh kepada masyarakat Britain secara umum. Beribu-ribu rakyat Britain memeluk Islam setiap tahun dan angka tersebut semakin bertambah secara mendadak setiap tahun. Musuh kepada masyarakat British adalah ahli politik British yang telah dipilih sendiri oleh masyarakat Britain melalui sistem pilihanraya demokrasi. Melalui sistem ini, pemerintah mereka telah merangka polisi luar negara yang bukan sahaja menjajah, malah membunuh beribu-ribu umat Islam dan juga bukan Islam dalam dunia umat Islam dan negaranya sendiri, sepertimana yang telah disaksikan di Iraq dan Afghanistan serta di Ireland Utara. Britain sebagai sebahagian daripada ahli Kesatuan Eropah (EU) tidak dapat lari daripada mengalami krisis ekonomi yang serius sehingga menyaksikan kehidupan rakyatnya yang semakin melarat akibat kos kehidupan yang semakin meningkat secara mendadak, kes pengangguran yang terlalu banyak dan lain-lain lagi. Dalam keadaan rakyat yang serba payah sebegini, kerajaan Britain masih mampu membelanjakan berjuta-juta pound setiap tahun dalam meneruskan penjajahan mereka ke atas tanah-tanah umat Islam tanpa mengira kesan buruk tindakan mereka terhadap kehidupan masyarakat dalam negara sendiri. Umat Islam tidak seharusnya meminta maaf kepada sesiapa selagimana mereka beramar ma’ruf dan mencegah kemungkaran melalui dakwah yang dilakukan. Dakwah kepada yang haq (benar) akan sentiasa memusnahkan kebathilan. Pihak yang memperjuangkan kebathilan, sama ada mereka sedar ataupun tidak sedar, merekalah yang sepatutnya meminta maaf atas apa yang telah mereka lakukan melalui perjuangan sesat mereka itu.

“Bahkan Kami melontarkan yang haq kepada yang batil, lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21) : 18].

Wallahu a’lam.

Rujukan : [1] guardian.co.uk [2] dailymail.co.uk [3] guardian.co.uk