Pembunuhan duta Rusia: Manifestasi pengkhianatan penguasa Muslim terhadap Aleppo
Berita pembunuhan duta Rusia ke Turki, Andrey Karlov pada 19 Disember lalu mengejutkan dunia di saat Turki sedang memulihkan hubungan dengan kafir Rusia. Karlov ditembak secara bertalu-talu dari bahagian belakang oleh seorang lelaki, sewaktu berucap dalam sebuah majlis perasmian galeri fotografi di Ankara. Lelaki tersebut, Mevlut Mert Atlintas, 22 tahun, yang dikatakan seorang anggota polis yang tidak bertugas, menembak Karlov dari jarak dekat dan setelah duta Rusia itu rebah, Mevlut mengingatkan dunia supaya tidak melupakan Aleppo dan Syria. Dia kemudiannya terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan khas Turki selepas itu.
Insiden tersebut mengundang bantahan dan kecaman daripada beberapa pemimpin dunia. Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk tindakan tersebut dan menganggapnya sebagai satu bentuk provokasi terhadap hubungan Turki-Rusia. “Hubungan kita dengan Rusia adalah penting…saya menyeru kepada mereka yang berhasrat untuk memusnahkan hubungan kita, anda sedang menanti dengan sia-sia, anda tidak akan mencapai matlamat anda,” ujar Erdogan sebagaimana dilapor oleh media.
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut mengeluarkan kenyataan yang senada dengan Erdogan, sambil menjanjikan balasan untuk “memerangi keganasan dan pihak yang melakukan pembunuhan tersebut akan merasainya.”.
Sesungguhnya tindakan membunuh duta merupakan suatu perbuatan yang ditegah (haram) dalam Islam, sebagaimana yang dapat difahami daripada tindakan Rasulullah SAW yang menerima kehadiran utusan/duta daripada Musailamah al-Kazzab dan bersabda,
لَوْ كُنْتُ قَاتِلاً رَسُولاً لَقَتَلْتُكُمَا
“Jika tidak kerana wakil/utusan tidak boleh dibunuh, sudah pasti aku pancung tengkuk kamu berdua (wakil Musailamah al-Kazzab)”[HR Ahmad].
Namun, kita perlu melihat persoalan yang lebih besar dalam kes ini agar kita dapat mendudukkan perkara pada tempatnya. Persoalan penting yang perlu dilihat di sini kenapakah Turki di bawah pentadbiran Erdogan masih menerima duta Rusia yang merupakan negara kafir harbi fi’lan (kafir yang sedang memerangi umat Islam)? Seluruh dunia menyaksikan kekejaman dan keganasan Rusia dalam membunuh umat Islam di Syria, khususnya Aleppo, namun Erdogan tetap terhegeh-hegeh untuk berbaik dengan Rusia, si pembunuh umat Islam!
Bahkan lebih menghinakan lagi apabila Erdogan berpakat dengan negara kafir harbi itu, di bawah arahan dan restu Amerika, dalam kes pembantaian besar-besaran di Aleppo. Erdogan sebelumnnya memohon maaf dan berusaha untuk rapat smula dengan Rusia selepas Turki menembak jatuh pesawat Rusia yang melalui ruang udaranya, satu tindakan yang sungguh mengaibkan. Justeru, wajar sahaja jika warga Turki dan umat Islam yang sedar di seluruh dunia mengecam Erdogan atas segala pengkhianatan yang dilakukannya!
Di sebalik retorika sebagai “hero” umat Islam, ternyata Erdogan telah melakukan pengkhianatan yang besar ke atas umat Islam, sama seperti para penguasa Muslimin yang lain kerana ia bukan sahaja membiarkan umat Islam di Aleppo berdepan dengan keganasan Rusia, Iran dan rejim al-Assad, malah turut bersekongkol dengan mereka.
Disebabkan oleh pengkhianatan dan kegagalan Erdogan dan para penguasa kaum Muslimin dalam melakukan pembelaan ke atas umat Islam di Aleppo khususnya dan Syria amnya, tidak menghairankan jika warganya sendiri mahupun pihak lain, yang berusaha mengambil tindakan sendiri untuk menyedarkan dunia terhadap isu ini meskipun tindakan yang diambil itu adakalanya bertentangan dengan hukum syarak.
Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa para penguasa Muslimin yang ada saat ini sebenarnya tidak lagi berpihak kepada umat, tetapi berpihak kepada puak kuffar yang merupakan musuh umat. Justeru, tidak ada jalan lain lagi untuk menyelamatkan umat ini kecuali dengan dengan kembalinya Negara Khilafah atas manhaj kenabian yang kini sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, yang apabila tertegak sedikit masa lagi, Insya Allah Aleppo akan diselamatkan dan akan bangkit semula.