Pemerintah Tunisia ingin benarkan penggunaan dadah!
Pada 30/12/2015 Presiden Tunisia, Al-Baji Caid Essebsi mengumumkan hasrat kerajaan untuk mencadangkan semakan semula Undang-undang No. 52 tentang memerangi dadah dan menyeru untuk tidak menghukum pengguna dadah. Al-Baji menjustifikasikan permintaannya dan permintaan kepada kerajaannya untuk mengkaji semula undang-undang dadah sebagai “tindak balas kepada hak peribadi beberapa kes dan mengambil kira kedudukan belia dan pelajar dan menjaga masa depan mereka.”
Pengumuman itu dibuat selepas kempen hebat media diketuai oleh beberapa pegawai kanan di negeri ini dan parti pemerintah dengan sokongan daripada beberapa media yang menyeru untuk tidak menghukum pengguna dadah kali pertama. Seorang pegawai kanan kerajaan mempertahankan inisiatif kerajaan ini dengan mengatakan “kekecewaan yang dialami oleh anak-anak muda Tunisia selepas melihat masa depan mereka yang suram, meletakkan mereka hanya dalam pilihan sama ada untuk mendaki Gunung Chumbi atau keluar berhijrah ke Eropah dengan bot yang boleh membawa maut atau pengorbanan diri.”
Tuan Presiden Tunisia! Adakah cara menjaga masa depan pelajar-pelajar dengan memudahkan jalan mereka kepada penggunaan dadah?! Adakah belia Tunisia akan pulih daripada keputus-asaan dan kekecewaan dengan mengambil dadah?! Siapakah yang menyebabkan kekecewaan yang dialami oleh anak-anak muda ini? Siapakah yang menekan mereka hingga membawa kematian, sama ada mati lemas di lautan atau membakar diri dengan api? Bukankah yang menyebabkan semua itu adalah kerajaan anda yang “bijak” itu dan parti yang anda pimpin itu?
Tuan Presiden Tunisia! Anda muncul pada awal tahun dengan memberi jaminan untuk melakukan pembaharuan besar kepada rakyat Tunisia pada 2016. Jadi, adakah “gembira berita” anda yang pertama kepada umat Islam di Tunisia dengan anda menggalakkan anak-anak mereka untuk mengambil dadah?!
Tuan Presiden Tunisia! Anda mempertahankan habis-habisan negara “moden” yang ditubuhkan oleh Bourguiba dan “mengisytiharkan” bahawa anda akan meneruskan dan mengekalkan pencapaiannya. Atas nama pemodenan, warga Tunisia mendapati diri mereka berada dalam sebuah negara yang menjual arak dan membenarkan meminumnya, membenarkan pelacuran terbuka serta rumah pelacuran dan medianya mempertahankan kebolehan pelacuran, zina, homoseksual, dan membina ekonomi ribawi yang haram dan mendesak kaum Muslimin untuk mengambilnya. Atas nama pemodenan, anda menjerumuskan Tunisia ke dalam hutang yang membawa padah dan menyerahkan kekayaan kepada penjajah. Anda meletakkan keselamatannya di tangan musuh dan meletakkan anggota tentera dan pegawai-pegawainya sebagai hamba kepada musuh serta menjadi pengintip untuk NATO.
Wahai kerajaan Tunisia! Anda melakukan semua tindakan yang diharamkan oleh Allah SWT dan memudahkan semua jalan untuk kerosakan. Pertama, anda menolak Islam dan mencampakkannya daripada menjadi urusan hidup umat Islam. Kemudian anda mengikat diri anda kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mematuhi setiap arahannya dan menenggelamkan Tunisia ke dalam hutang riba yang membawa maut, menjerat rakyat dengan cukai dan menyerahkan semua kekayaan Tunisia kepada syarikat-syarikat penjajah. Anda telah menjadikan Tunisia sebagai medan untuk pengintipan oleh penjajah dan menutup mata dengan semua itu. Anda mengganggu rakyat negara ini dengan mengintip mereka dan menyerbu rumah-rumah mereka dan anda telah meletakkan keselamatan Tunisia ke tangan Britain, musuh utama umat Islam.
Wahai kaum Muslimin! Adakah ini merupakan sebuah kerajaan atau satu timbunan penghinaan? Ini adalah sebuah kerajaan yang sudah hilang upaya dan akhlaknya, yang mengharamkan apa yang Allah halalkan dan menghalalkan apa yang Allah haramkan dan ia berpuas hati dengan meratanya kerosakan akhlak di kalangan rakyat serta menyerahkan anda ke tangan musuh. Ini adalah sebuah kerajaan yang Allah SWT berikrar menurunkan azab seperti dalam firmanNya:
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat, dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” [An-Nur (24:19].
Wahai kaum Muslimini! Adakah anda akan taat kepada mereka dan menderhakai Rabb anda? Adakah anda berpuas hati dipimpin oleh pemerintah seperti itu? Dan mereka menjadikan tuhan-tuhan selain Allah SWT? Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan anda dalam Kitab suciNya:
اتَّخَذُوا أَحْبارَهُمْ وَرُهْبانَهُمْ أَرْباباً مِنْ دُونِ اللَّهِ…
“Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” [At-Taubah (9):31].
Apabila Adi Bin Hatem datang kepada Rasulullah SAW sebelum dia memeluk Islam dan tatkala dia mendengar ayat di atas, Adi (yang sebelumnya Kristian) berkata, “Kami tidak menyembah mereka. Rasulullah SAW lalu berkata,
«أَلَيْسَ يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فَتُحَرِّمُونَهُ وَيُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَتَسْتَحِلُّونَهُ؟»
“Bukankah mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan dan kamu mengikuti mereka dan mereka menghalalkan apa yang Allah haramkan dan kamu mengikuti mereka?’. Adi berkata, ‘Ya’. Baginda SAW berkata,
«فَتِلْكَ عِبَادَتُهُمْ»
“Inilah maksud kamu menyembah mereka”.
Wahai kaum Muslimin! Allah SWT memerintahkan anda menyembahNya semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan suatu apa pun. Allah SWT berfirman,
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah Taghut itu.’ Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antara mereka orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)” [An-Nahl (16):36]
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kami tidak mahu anda mengalami nasib seumpama mereka yang menolak Rasulullah SAW kerana anda tidak begitu, di mana anda beriman kepada Allah dan kami melihat keinginan anda untuk beribadah kepada Tuhan anda dan anda tahu bahawa ibadah kepada Allah adalah dengan menegakkan Islam dan mengatur seluruh kehidupan anda dengan Islam. Perintah Allah kepada anda untuk melaksanakan Islam sesungguhnya merupakan satu rahmat dan penyelesaian kepada semua masalah anda. Hanya dengan Islam, anda akan bebas dari penjajah dan mendapatkan semula kekayaan serta menghentikan pihak pengintip dari campur tangan di negara anda. Dasar ekonomi Islam akan mengeluarkan anda dari kemiskinan dan kehinaan. Manakala dasar pendidikan Islam akan menyelamatkan anak-anak anda dan sekolah-sekolah anda akan menjadi cahaya yang memandu, bukan menjadi tempat graduan bagi penagih-penagih dadah, tetapi graduan untuk pereka cipta, ahli-ahli sains dan para pemimpin yang hebat.
Wahai kaum Muslimin! Kami di Hizbut Tahrir menjemput anda untuk berusaha bersama kami bagi mencabut penjajahan negara kita dan mencampakkan sistem demokrasi kapitalis serta menegakkan Islam dan Negara Khilafah di atas jalan kenabian.
Wahai golongan yang mempunyai kekuatan! Wahai golongan yang mempunyai maruah! Hari ini kami menyeru anda dengan keberanian dan maruah yang anda miliki: Adakah anda boleh menerima kewujudan rasuah di negara anda sedangkan anda menyaksikannya?! Adakah anda suka tersebarnya kerosakan akhlak pada anak-anak anda? Pemerintah yang ada mengambil alih negara anda, menjualnya dan menyerahkannya kepada musuh kita sedangkan anda adalah golongan yang ada kuasa dan mampu menghalang mereka serta mengetepikan mereka kerana memang anda mampu melindungi negara ini!
Anda telah lama berdiam diri terhadap pemerintah ini sehingga mereka fikir yang mereka akan kekal kuat, mampu dan boleh kekal memerintah. Melalui dasar-dasar yang mereka laksanakan, mereka fikir dapat membius rakyat Tunisia seperti terbiusnya orang-orang Amerika Latin dan Asia Selatan. Tetapi hal ini tidak akan berlaku. Ia tidak akan berlaku kerana Tunisia adalah tanah Zaituna yang melahirkan anak-anak jantan. Di tanah ini, agama Islam dan kaum Muslimin serta tamadun Islam telah berakar umbi berkurun lamanya.
Di Tunisia, anak-anak jantan di sini amat tidak sabar untuk meraih kegemilangan dan tidak akan tercapai kegemilangan kecuali dengan Islam. Tidak ada ketinggian, malah tidak ada kehidupan kecuali di bawah negara yang mengibarkan panji-panji Rasulullah SAW dengan megahnya.