Pemuda Harapan atau Pemuda Pemusnah?

 

KUALA LUMPUR 25 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin mahu seluruh ahli pergerakan itu terutama para penyokong dua pesaingnya merapatkan kembali barisan untuk mengukuhkan sayap kanan tersebut.

Beliau menyifatkan pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO hari ini berlangsung dalam suasana demokrasi yang cukup matang. ‘‘Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Saya dapat 304 undi daripada 793 perwakilan yang ini bukan satu majoriti. Ini hanya majoriti calon tiga penjuru.

‘‘Walaupun (saya) bertanding atas (slogan) Setiakawan, ada Berani Berubah (slogan dibawa oleh Datuk Mukhriz Mahathir) dan Pemuda Berani (oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo), kita sebenarnya berani menuntut perubahan demi setiakawan Pemuda UMNO,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangannya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini malam ini. Difahamkan dalam pertandingan itu, Mohamad Khir memperoleh 254 undi manakala Mukhriz meraih 232 undi.

Dalam ucapannya pada majlis yang turut dihadiri Mukhriz tanpa kelibat Mohamad Khir itu, Khairy mengungkapkan: ‘‘Dalam kepimpinan Pemuda baru ini, ada Berani Berubah, jadi saya rayu supaya Berani Berubah berdiri bersama saya untuk berdepan dengan kubu-kubu pembangkang pada tiga pilihan raya kecil nanti (Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai).

‘‘Kepada Pemuda Berani, apabila pikul amanah seperti mana kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam kalau tidak berubah, kita rebah, maka tuan-tuan kena bersama-sama saya.’’

Kepada Pemuda Setiakawan (para penyokongnya), Khairy secara sentimental mengungkapkan:

‘‘Satu ketika dulu ada yang tulis kata saya tidak ada masa depan tanpa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (bapa mertuanya)…habis, pencalonan (yang diterima saya) nyawa-nyawa ikan.

‘‘Bila turun ke bawah, arus menentang (kata mereka) tapi saya kembali kepada asas perjuangan, kalau tidak kerana Setiakawan (para penyokongnya), lama dah kita tinggalkan (UMNO).’’

Sumber : Utusan Malaysia, 26/03/2009

Ulasan

Pemenang sudah diketahui dan yang kalah sedikit terkilan tetapi masih mampu tersenyum, itulah lumrah pertandingan dan perebutan sesuatu jawatan di dalam mana-mana organisasi. Di dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini malam tadi, Khairy Jamaludin selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru telah menyeru pihak-pihak yang bertanding supaya bersatu untuk menentang dan berdepan dengan parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya nanti.

Seruan ini dibuat atas dasar kepentingan (ikatan maslahat) sesaat, yang PASTI akan hancur apabila maslahat atau kepentingan tersebut sudah tercapai. Ikatan ini tidak membawa kebaikan dan keuntungan yang berpanjangan kerana ia adalah ikatan yang batil dan langsung tidak mempunyai nilai dalam membangkitkan umat. Ikatan yang sebenar yang PASTI akan membawa kepada kebaikan yang berpanjangan adalah ikatan yang berasaskan kepada suatu mabda’ atau ideologi yang telah menyatukan umat manusia dari Indonesia hingga ke Sepanyol di bawah satu aqidah dan matlamat yang satu – ISLAM – hidup untuk Islam dan mati kerana Islam. Dengan asas inilah kita telah melihat Daulah Islam menjadi satu ” *super power*” yang digeruni oleh kawan dan lawan dalam masa yang begitu singkat sejak Rasulullah mendirikannya di Madinah.