Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diasingkan oleh Saudara Muslimnya di Malaysia

28 Julai 2017- Ketika ditemui pada Konvensyen Imigresen Malaysia: Transformasi Melestarikan Kecemerlangan TN50 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di Sintok, Kedah, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, “Majikan ini lebih suka menggaji PATI sebab boleh ambil kesempatan ke atas mereka yang tidak dilindungi undang-undang”. Seramai 117 majikan ingkar ditahan Jabatan Imigresen melalui Ops Mega yang digerakkan bermula 1 Julai lalu, sejurus tamat program pendaftaran kad sementara E-Kad untuk pendatang asing tanpa izin (PATI). Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/306619/majikan-degil-terus-guna-pati

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengeluarkan kad sementara bagi PATI yang bekerja di Malaysia, program E-Kad telah diperkenalkan supaya majikan yang menggaji PATI boleh membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah. Program yang bermula pada 15 Februari 2017 ini telah berakhir pada 30 Jun yang lalu.

Mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, majikan boleh dikenakan tindakan jika menggaji PATI secara tidak sah. Bermula 1 Julai yang lalu, kerajaan telah melancarkan Ops Mega E-Kad sebagai langkah penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka. Sehingga 26 Julai lalu, seramai 5,065 PATI pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Pusat Tahanan yang Dahsyat

Di Malaysia, PATI bukan sahaja tidak mendapat jaminan dalam pekerjaan daripada kerajaan dan dipandang serong oleh masyarakat tetapi mereka juga tidak mendapat layanan yang selayaknya diberikan kepada seorang manusia. Di Sabah, wujud sebuah Pusat Tahanan Sementara (PTS) di daerah Sandakan. PTS lebih dikenali dengan nama Rumah Merah oleh masyarakat setempat kerana bangunannya yang berwarna merah.

Di sinilah tempatnya orang-orang yang ditangkap atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah seperti PATI akan ditempatkan secara sementara. Sementara tapi penuh dengan penyeksaan yang menghantui sampai bila-bila. Itulah kata-kata yang tepat untuk menggambarkan trauma mereka yang pernah ditahan. Seorang bekas tahanan PTS telah menceritakan kehidupannya di sebalik tembok berwarna merah itu.

Anee berumur 23 tahun ketika ditangkap oleh pasukan Jabatan Imigresen atas kesalahan memiliki pasport yang tiada jaminan majikan. Teruk. Itu perkataan pertama yang Anee utarakan apabila ditanya tentang keadaan di dalam PTS yang dianggapnya seperti penjara. Bangunannya kotor, bekas makanan dan air minuman yang diberikan juga kotor. Bekalan air untuk sanitasi terhad sehinggakan tahanan diberi masa 10 saat sahaja untuk mandi. Bekalan air panas untuk menyediakan susu bayi juga sedikit sehingga ibu-ibu terpaksa menggunakan air biasa. Apabila bayi dan kanak-kanak menangis, ibu-ibu mereka ditampar dan dimarahi kerana dianggap tidak pandai menjaga anak. Anak-anak di situ diberi makan mi segera, semuanya kurus-kurus tetapi perut buncit.

Penyakit kulit turut berjangkit. Bukan sahaja tidak diberikan ubat tetapi dimarahi apabila meminta. Apabila keluarga yang datang melawat memberikan bekalan makanan, pengawal akan mengambilnya dahulu baru kemudian bakinya diberikan pada tahanan. Anee turut menceritakan pengalamannya disuruh makan di luar bangunan di tengah-tengah panas sambil disiram air longkang yang mengandungi najis. “kami dilayan macam bukan manusia padahal sama sahaja manusia bezanya mereka ada kad pengenalan sedangkan kami tiada”, kata Anee dengan penuh kesedihan.

Penyahmanusia Muslim Kerana Sempadan Palsu

Inilah antara kejayaan pihak kuffar penjajah dalam melakar sempadan negara bangsa atas tanah-tanah kaum Muslimin. Orang Indonesia hanya diiktiraf di tanah Indonesia tetapi menjadi orang asing di tanah Malaysia padahal dua tanah ini adalah tanah kaum Muslimin yang pernah bersatu di bawah pemerintahan Daulah Khilafah. Pendatang daripada negara lain perlu memiliki pasport dan visa untuk masuk ke negara Malaysia, barulah dia boleh diiktiraf sebagai pendatang asing yang sah. Sebaliknya, pendatang yang tidak mempunyai dokumen yang sah dilayan seperti binatang. Lebih teruk lagi, undang-undang di Sabah hanya memberi taraf kewarganegaraan kepada seseorang yang lahir di Sabah jika salah seorang daripada ibu bapanya adalah bertaraf warganegara. Jika tidak, jadilah mereka asing di tanah kelahiran sendiri

Sempadan palsu ciptaan penjajah ini harus dihapuskan segera demi membela hak dan maruah manusia yang diberikan oleh Allah dengan cara mengembalikan semula kepimpinan umat Islam iaitu Daulah Khilafah. Khalifah akan membuka pintu seluasnya-luasnya kepada sesiapa sahaja yang mahu menjadi warganegaranya tanpa mengira asal keturunan dan bangsa termasuklah orang kafir. Semuanya akan dilayan sebagai warganegara dan mendapat hak yang sama

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir oleh
Syamsiyyah Jamil – Malaysia