Penganalisis Barat: Prospek Masa Depan Hizbut Tahrir di Asia Tengah

altSalah satu organisasi politik Islam Sunni yang berkembang dengan sangat pesat di seluruh dunia adalah Hizbut Tahrir (HT), menurut Emmanuel Karagiannis, seorang pakar dari Universiti Macedonia, Greek. Parti politik yang menolak kekerasan ini mempunyai prospek pada masa depan. Khususnya di Asia Tengah, HT memiliki peranan yang sangat aktif dan terus berkembang.
HT sering terlepas daripada analisis yang mendalam kerana kumpulan itu mengisytiharkan sendiri sebagai organisasi yang tidak menggunakan kekerasan dalam membuat perubahan politik. Oleh sebab itu menurut beliau, pemerintah AS tidak memasukkan kumpulan itu ke dalam senarai organisasi teroris.

Karagiannis juga mengakui bahawa HT membawa agenda yang bertentangan dengan Barat dan kumpulan tersebut berupaya menimbulkan ancaman yang besar bagi Amerika Syarikat dan sekutunya.

Peranan HT di Asia Tengah

Menurut Karagiannis, meskipun HT memiliki pengaruh di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat dan di Barat, namun yang paling aktif adalah di Asia Tengah kerana ia tidak mempunyai persaingan yang banyak di kalangan kumpulan-kumpulan Islam yang lain di wilayah ini.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan meningkatnya pengaruh HT di Asia Tengah, antara kenyataannya adalah Asia Tengah didominasi oleh kaum Muslimin. Keadaan ekonomi yang miskin di Asia Tengah pasca Kesatuan Soviet telah menyediakan tanah yang subur bagi kumpulan-kumpulan Islam untuk meraih sokongan dalam mengubah suasana sosial ketika ini.

Menurut Karagiannis lagi, pemerintah di Tajikistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan kecuali minoriti Uzbek, telah membiarkan HT merekrut para pengikutnya di negara-negara tersebut. Di samping itu, ramai penduduk tertarik dengan prospek pemerintahan Islam, terutama dalam berhadapan dengan pemerintahan yang gila kuasa di benua tersebut.

Selain itu, runtuhnya komunisme telah menyebabkan berlakunya kekosongan ideologi di Asia Tengah, di mana HT telah cuba mengisinya dengan retorik agama. Kumpulan ini dilihat menarik bagi individu-individu yang ingin percaya pada sesuatu ideologi yang mempunyai kesinambungan yang bukan sekadar menyediakan penyelesaian bagi persoalan-persoalan rohani, tetapi juga perkara-perkara praktikal.

Karagiannis menyatakan lebih lanjut bahawa sejak tahun 1990-an, HT berjaya menyebarkan seruan-seruan mereka ke seluruh Asia Tengah. Hasilnya, HT kini menjadi kumpulan Islam yang terkemuka di Tajikistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan dengan beribu-ribu anggota daripada setiap negara.

Kemunculan HT membuatkan pemerintah bertindak balas dengan melakukan tindakan yang menindas terhadap para anggota dan pendukungnya. Pelbagai jenis hukuman yang dikenakan telah memberikan kesan yang sebaliknya. Populariti HT semakin meningkat termasuk di kalangan mahasiswa, para peniaga, para cendiakawan dan wanita, katanya.

Karagiannis juga menyatakan bahawa HT telah aktif merekrut para anggotanya yang berada di dalam penjara di Asia Tengah. Di penjara, para ahli HT menyebarkan ideologi mereka kepada sesama banduan kerana keadaan penjara yang payah telah membuatkan mereka mudah terpengaruh terhadap seruan Islam. Situasi ini dianggap sebagai suatu masalah di penjara di Uzbekistan.

Prospek Masa Hadapan

Karagiannis melihat HT mempunyai prospek di masa hadapan. Ia mengatakan HT menolak sebarang keganasan politik dan bergantung pada keadaan politik yang berlaku. Apabila nusrah bukan suatu pilihan, menurutnya, kumpulan itu akan mengarah kepada Islamisasi masyarakat dan akhirnya dapat menggulingkan rejim dengan aman.

Di akhir penulisannya, Dr. Emmanuel Karagiannis menyatakan bahawa jika HT bekerjasama dengan pasukan bersenjata untuk mendirikan negara Islam di sesuatu negara, ia akan kembali mendirikan semula Khilafah Islamiyyah, yang jelas akan meletakkan negara baru itu berkonflik dengan negara-negara jiran di benuanya.

Dr. Emmanuel Karagiannis ialah seorang penolong Profesor Politik Rusia dan Pasca Soviet di Universiti Macedonia di Thessaloniki, Greek dan juga sebagai pemeriksa di START Center di Universiti Maryland. Tulisan analisis tersebut telah diterbitkan semula dalam Eurasia Review (21/04/10). 

Demikianlah, semakin nyatanya janji Allah bahawa Islam akan berkuasa kembali dan akan menjadi kenyataan. Perkara itu telah pun dirasai oleh para pemikir barat yang mulai resah akan kemunculan kembali kebangkitan Islam melalui tertegaknya Khilafah Islamiyyah. Memang benar, kebangkitan Islam itu ibarat cahaya fajar. Ia hanya menunggu masanya sahaja, insya Allah.

Sumber: syabab.com