Penganalisis Bimbang Kemungkinan Berlaku Penggulingan Pemerintahan Di Asia Tengah Oleh Hizbut Tahrir

altThe Eurasia Review News and Analysis pada tarikh 12 April lalu telah menyiarkan sebuah artikel yang ditulis oleh dua orang penulis, iaitu Alexander Rahr and Mikhail Logvinov dengan tajuk, “Kemungkinan Penentangan Kumpulan Islam di Asia Tengah”. Alexander Rahr adalah pengarah The Russia/Eurasia di kedutaan Jerman dalam Hubungan Luar Negeri. Manakala Mikhail Logvinov adalah mahasiswa PhD di Universiti TU Chemnitz, Jerman.

Dalam artikel mereka, kedua-dua penganalisis tersebut menulis bahawa insiden penggulingan Presiden Kyrgystan, Bakiyev, menunjukkan suatu fakta bahawa semua regim fasis boleh digulingkan oleh gelombang besar kemarahan rakyat jika pemerintah tidak dapat menyelesaikan masalah politik dalam negeri melalui cara damai dan jika pemerintah tidak segera berusaha untuk menggalakkan kemajuan sosial, ekonomi dan politik.

Pada masa yang sama, kekejaman pemerintahan di Kyrgystan juga berlaku di beberapa negara Asia Tengah yang lain, khususnya di Uzbekistan, Tajikistan, dan Turkmenistan. Di sini  terdapat sebab kemungkinan terjadinya pergolakan rakyat di negara-negara tersebut di mana ia hanya menunggu masa sahaja, kecuali jika pemerintah segera mengubah cara pemerintahannya. Selain itu, keadaan di Kyrgystan adalah keadaan sekular. Manakala kuasa penentang di ketiga-tiga negara yang telah disebutkan di atas adalah kumpulan Islam.

Para penganalisis bersepakat bahawa banyak gerakan Islam di Asia Tengah mampu mewujudkan sesuatu yang berbentuk kestabilan sosial dan ekonomi. Dan hal itu disokong oleh masyarakat walaupun pemerintah tidak menyokongnya.

Antara perkara yang secara khusus menimbulkan keresahan adalah bahawa gerakan-gerakan Islam ini dan pendapat-pendapat  mereka sudah menjadi sebuah rujukan di Lembah Ferghana, di mana kemiskinan, ketidakstabilan, dan ekstremisme Islam telah berkembang di sana. Dalam hal ini, sesungguhnya kumpulan Islam telah mencapai kejayaan yang ketara di bahagian wilayah yang lain di Asia Tengah.

Terdapat  ramai pendakwah yang mungkin melihat revolusi di  Kyrgystan sebagai seruan untuk melakukan sesuatu tindakan. Antara pendakwah yang paling penting di antara para pendakwah tersebut adalah Hizbut Tahrir, yang telah memiliki lebih dari 20,000 anggota di wilayah tersebut, yang bertujuan menyatukan semua negeri kaum Muslimin dalam satu negara Islam iaitu Khilafah, yang mana ia akan menerapkan syariah Islam dan kaum Muslimin akan memilih seorang Khalifah sebagai ketua negaranya.

Hizbut Tahrir menolak penggunaan kekuatan ketenteraan terhadap pemerintah. Rampasan kuasa pertama yang berlaku di wilayah ini benar-benar mampu meyakinkan pelbagai gerakan bahawa sesungguhnya pemerintah sesuatu daerah boleh digulingkan melalui penentangan rakyat dan bukti terbaik adalah apa yang berlaku di Kyrgystan baru-baru ini.

Anggota Hizbut Tahrir pada waktu ini tidak mengambil jalan jihad. Namun demikian, mereka tidak menutup kemungkinan untuk menggunakan ketenteraan, tetapi itu hanya untuk melindungi negara Islam setelah berlakunya kebangkitan umat Islam. Begitulah yang ditulis oleh kedua-dua penganilisis Asia Tengah tersebut.

Memang tidak keterlaluan apa yang dikatakan oleh penganalisis tersebut. Beberapa media telah berulang kali menyiarkan peningkatan sokongan masyarakat terhadap gerakan yang menyeru kepada penyatuan kaum Muslimin di dunia di bawah naungan Khilafah tersebut, sekalipun para pengembang dakwah menghadapi ujian seperti ditangkap dan dipenjarakan. Namun sokongan masyarakat tidak pernah surut. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kebangkitan Islam itu semakin dekat sehingga suatu saat apabila pertolongan Allah swt telah datang, maka pada saat itulah, Khilafah akan kembali memimpin dunia, insyaAllah.

Sumber: syabab.com