Pengangguran – kerajaan tak pernah bersalah?
Sikap pilih kerja punca 400,000 belia menganggur
KUALA LUMPUR 6 April – Sikap rakyat tempatan yang tidak mahu bekerja dalam persekitaran kotor merupakan antara sebab utama kira-kira 400,000 belia menganggur dan kekosongan itu direbut oleh warga asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sikap memilih belia tempatan itu menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan dan mendorong pertambahan jumlah warga asing di negara ini.
”Gaji yang berpatutan dibayar kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing, namun mereka hanya bertahan sehingga dua atau tiga minggu dalam perkhidmatan seperti hospitaliti, pelancongan dan penyediaan serta penjualan makanan.
”Peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor ini tidak dihargai oleh belia tempatan dan mereka rela menjadi penganggur sehingga mendapat kerjaya yang diminati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Subramaniam mendedahkan mengenai kira-kira 400,000 rakyat tempatan menganggur kerana tidak mahu bekerja dalam sektor yang menjadi tumpuan warga asing.
Tambahnya, latihan kemahiran yang dicadangkan oleh kementeriannya diharap dapat membantu mengubah fikiran dan sikap warga tempatan untuk terus berkhidmat dalam industri seperti ini.
”Tidak ada cara terbaik selain latihan kemahiran untuk mengubah fikiran para belia, sedangkan gaji yang dibayar dalam sektor tersebut adalah berpatutan.
”Gaji tidak menjadi masalah tetapi sikap rakyat tempatan yang tidak bersedia untuk bekerja keras seperti warga asing menyebabkan masalah pengangguran dan pertambahan warga asing di negara ini,” tegasnya.
Katanya, jika rakyat tempatan tidak bersedia untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan maka warga asing terpaksa dibawa ke negara ini bagi mengisi kekosongan itu.
Sumber: Utusan Malaysia 07/04/08
Ulasan:
Sejak dulu lagi, isu pengangguran tak pernah sunyi dari peredaran zaman. Ia wujud hampir di semua negara di dunia. Maslah pengangguran yang berlaku sering dikaitkan dengan taraf pendidikan, memilih kerja, faktor ekonomi, kurangnya daya saing dan lain-lain lagi. Bagi negara yang mengamalkan sistem ekonomi Kapitalisme, kadar pengangguran yang tinggi merupakan suatu yang lumrah. Dan dalam negara Kapitalis, individu yang menganggur itu sendirilah perlu menyelesaikan masalahnya. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Subramaniam di atas, masalah pengangguran adalah kerana sikap penganggur, bukan yang lain.
Sebenarnya banyak aspek yang menyumbang kepada angka pengangguran yang dinyatakan. Salah satunya adalah dasar penswastaan negara dan beberapa polisi serta undang-undang pekerjaan. Tambahan lagi, oleh kerana peruntukan undang-undang yang mewajibkan caruman dan juga undang-undang pekerjaan yang ketat yang ke atas pekerja tempatan, maka sudah semestinya majikan atau pengelola suatu projek atau industri lebih cenderung mengambil pekerja warga asing berbanding pekerja tempatan.
Bayangkan berapakah kos yang diperuntukkan di bawah undang-undang perlindungan (keselamatan dan hospitaliti) pekerja yang perlu ditanggung oleh majikan terhadap pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing? Dan berapa pulakah kos tambahan yang perlu dikeluarkan oleh majikan kepada caruman pekerja bagi pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing? Sudah tentu dalam dunia sumber tenaga manusia ini, majikan memilih untuk meraih untung besar dengan melakukan penjimatan melalui peruntukan tersebut. Akhirnya menyebabkan senario di mana tidak wujud daya saing antara pekerja tempatan dan pekerja warga asing dalam beberapa sektor terutama pembinaan, buruh kasar, pengeluaran, pertanian dan lain-lain.
Bagi negara-bangsa (nation-state) yang mengamalkan ideologi Kapitalis seperti Malaysia, lambakan ‘pekerja asing’ dalam pasaran kerja negara memang merupakan satu masalah yang perlu diatasi. Mereka melihat ‘pekerja asing’ sebagai satu masalah. Walhal menurut Islam, dalam sesebuah Negara Islam, langsung tidak timbul isu pekerja asing atau pekerja tempatan. Mana-mana Muslim dari negara mana sekalipun boleh datang dan bertempat tinggal serta mencari pekerjaan di dalam Daulah Islam. Dan mereka tidak akan dikenali sebagai pekerja asing atau di diskriminasi mahupun di manipulasi. Ini kerana mereka akan menjadi warganegara Daulah (jika mereka Muslim), walau datang dari negara mana sekalipun. Ini dari satu aspek.
Dari aspek yang lain, dalam sesebuah Negara Islam, masalah pengangguran (jika wujud) tidak boleh dipersalahkan kepada penganggur semata-mata. Jika benar penganggur tersebut yang tidak mahu bekerja, walhal peluang pekerjaan terbuka luas, maka memang itu adalah kesalahannya sendiri. Di dalam Islam, kewajipan atas suami atau ayah untuk mencari nafkah bagi keluarganya.
“..dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang makruf..” [TMQ Al-Baqarah (2):233]
Namun, jika tiada peluang pekerjaan di dalam Daulah hingga menyebabkan wujud pengangguran, maka hal ini mestilah diselesaikan oleh pemerintah dengan menyediakan sebanyak mungkin sektor pekerjaan hinggalah masalah pengangguran tersebut dapat di atasi. Dalil ini di ambil dari beberapa hadis Rasulullah antaranya, kisah di mana seorang penganggur di dalam Daulah yang datang berjumpa Rasulullah, maka baginda terus memberikan kapak dan seutas tali kepada penganggur tersebut untuk ke hutan dan memotong kayu api untuk dijual. Hal ini sebenarnya termasuk di dalam ri’ayah (pengurusan) seorang ketua Negara. Rasulullah bersabda,
“Imam (Khalifah) itu pemelihara dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya” [HR Muslim]
Oleh kerana wujud peruntukkan dalam hukum syarak tentang kewajiban bekerja, maka bagi seseorang Muslim yang terkena taklif, dia wajib berusaha untuk mencari pekerjaan bagi menampung hidupnya dan keluarganya. Dia boleh memilih kerja, namun tidak dibolehkan hingga ke tahap menganggur kerana tidak berminat dengan sebarang kerja yang ada (terlalu memilih).
Kapitalisme sering menuding kesalahan kepada pihak individu mahupun majikan, tanpa sedikit pun memandang bahawa kesalahan perlu diletakkan di atas bahu negara. Tidak sedikit dari masalah pengangguran yang berpunca dari dasar negara itu sendiri yang mengabaikan soal keperluan asas individu dan rakyat keseluruhannya. Inilah antara kebobrokan sistem Kapitalis dan bagaimana kedudukan dan keindahan Islam sebagai deen yang mengatur kehidupan manusia mengikut apa yang Allah tentukan. Deen ini Insya Allah akan menggantikan sistem Kapitalis yang sudah semakin hancur ini.