Pengganas Sebenar Masih Hidup Bermaharajalela
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan Indonesia yang berjaya menumpaskan anggota militan paling dikehendaki di Asia Tenggara, Noordin Mohammad Top, dalam serbuan di pekan Solo, Jawa Tengah, kelmarin. Perdana Menteri berkata, kejayaan pasukan keselamatan negara jiran itu diperoleh selepas sekian lama melakukan siasatan.
“Nampaknya selepas sekian lama (menyiasat), mereka berjaya dalam tindakan untuk menghapuskan ancaman yang amat serius ini dan saya difahamkan mengikut kepada (laporan) forensik peringkat awal, memang sah bahawa yang terbabit adalah Noordin Mohammad Top,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara, di sini, semalam. Najib berkata, keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) akan diketahui dalam tempoh seminggu untuk mengesahkan sepenuhnya identiti lelaki berkenaan.
Menjawab soalan, Perdana Menteri menolak andaian kononnya Malaysia negara ‘pengeksport’ pengganas walaupun Noordin adalah warga negara ini.
“Noordin sudah dipengaruhi Abu Bakar Bashir (ketua gerakan Jemaah Islamiah dan dikaitkan dengan al-Qaeda), seorang warga negara Indonesia, hendak kata kita mengeskport pengganas tak boleh juga, sebab dia dipengaruhi Abu Bakar yang membuka satu sekolah agama di Ulu Tiram, Johor, itu asal usulnya. “Bagaimanapun, kita tahu keganasan adalah masalah serantau dan global, ia tidak kenal sempadan (dan) apa pun kena kerjasama antara kedua negara malah pada peringkat antarabangsa kalau kita hendak membanteras ancaman ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menuding jari dalam isu keganasan tidak akan menguntungkan kerana ia adalah isu global dan bukan membabitkan sesebuah negara saja.
Dalam serbuan itu, Noordin dilaporkan terbunuh bersama pakar bom, Bagus Budi Pranoto yang juga dikenali sebagai Urwah.
Noordin yang mulanya menganggotai Jemaah Islamiah sebelum menubuhkan kumpulan serpihan yang lebih ganas disyaki merancang serangan bom ke atas Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003, Kedutaan Australia di Jakarta pada 2004 dab pengeboman di Bali pada 2006.
Sumber: Berita Harian 19/09/09
Pemburuan Pengganas Sudah Berakhir?…Bagaimana Dengan Pengganas Global Amerika. Apa Pula Sikap Pemimpin Umat Islam Mengenai Pengganas Terbesar Ini?.
Propaganda Barat terhadap umat Islam nampaknya semakin menjadi-jadi. Mana-mana umat Islam yang tidak mahu tunduk kepada kehendak barat akan dilabelkan sebagai radikal, ekstremis dan sebagainya. Keadaan ini diperparahkan lagi apabila para pemimpin sekular di dunia umat Islam hari ini yang secara langsung mahupun tidak langsung menjadi boneka Barat untuk memerangi umat Islam. Dan lebih malang lagi mereka menjadikan Amerika Syarikat sebagai sekutu yang wajib dijaga kepentingannya!!
Amat hina apa yang dilakukan oleh para pemimpin sekular ini. Ini diburukkan lagi apabila ada sebahagian dari umat Islam yang terpancing dengan provokasi musuh-musuh Islam itu di mana mereka, samada sedar mahupun tidak telah melakukan suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim. Tidak mustahil ada di kalangan umat Islam itu sering menjadi kambing hitam pihak Barat di mana mereka dipergunakan bagi memburukkan imej Islam dan umat Islam yang lain. Perbuatan yang dilakukan oleh mereka ini juga sebenarnya tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam itu sendiri. Tambahan lagi, Islam secara jelas mengharamkan sebarang bentuk pencerobohan terhadap nyawa rakyat awam tanpa hak dan melarang perosakan terhadap tempat-tempat umum.
Wahai umat Islam! Yakinlah. Dunia ini tidak akan mengecapi keamanan yang hakiki selagimana USA selaku pengganas nombor 1 dunia ini terus menguasai dunia seperti yang kita saksikan hari ini. Bukankah USA yang sedang mengganas di Afghanistan saat ini? Siapakah pengganas yang mengganas di Iraq hari ini? Bukankah USA, terrorist No. 1?
Persoalannya kini ialah apakah benar rangkaian Noordin Mohammad Top yang telah melakukan siri pengeboman di Indonesia itu? Jika ya, berapa ramaikah yang telah terbunuh? Bagaimana jika kita bandingkan dengan pembantaian yang dilakukan oleh USA di dunia umat Islam? Bandingkan juga dengan Israel yang terang-terangan membunuh umat Islam di bumi Palestin. Bukankah kedua-dua negara tersebut adalah pengganas yang sebenarnya? Selayaknya Najib menyeru presiden Indonesia SBY untuk memerangi pengganas yang sebenarnya iaitu USA bukannya ucapan tahniah kepada SBY terhadap kejayaannya menumpaskan kelompok Noordin Mohammad Top. Kita berkeyakinan bahawa SBY, Najib dan para pemimpin–pemimpin umat Islam yang ada hari ini sebenarnya terlalu bacul, penakut dan tunduk kepada Barat. Mereka hanya berani terhadap rakyat mereka sendiri terutama terhadap para pengembang dakwah di kalangan umat Islam semata-mata. Betapa hinanya kamu wahai para pemimpin sekular yang tunduk dan patuh untuk berkerja atas arahan Barat. Sedarlah dan fokuskanlah tenaga kamu untuk melepas diri dari cengkaman Barat dan perangilah mereka semoga dengan itu, kamu akan mendapat kemuliaan.