Penghantaran Pulang Pelarian Muslim Rohingya: Tidakkah Kita Belajar Daripada Sejarah?

Kerajaan Bangladesh dilaporkan telah mencapai kesepakatan dengan kerajaan Myanmar berhubung proses penghantaran kira-kira 700,000 orang Muslim Rohingya yang menjadi pelarian semenjak krisis memuncak pada bulan Ogos 2017 lalu. Persepakatan tersebut dimeterai pada 23 Oktober tahun lalu dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan dari tarikh tersebut. Berdasarkan persepakatan tersebut, proses penghantaran pulang akan dilaksanakan berperingkat dalam tempoh dua tahun. Dianggarkan sejumlah 1,500 orang pelarian akan dihantar pulang setiap minggu dalam tempoh tersebut[Channel News Asia, diakses pada 22/1/2018 – https://www.channelnewsasia.com/news/asiapacific/more-rohingya-flee-myanmar-as-bangladesh-prepares-to-start-repatriation-9873542].

Namun, penghantaran kelompok pertama pelarian Muslim Rohingya yang dijadualkan bermula pada 23 Januari lalu telah ditangguhkan ekoran kebimbangan terdapat unsur pemaksaan ke atas Muslim Rohingya dalam proses penghantaran pulang tersebut [The Guardian, diakses pada 22/1/2018-https://www.theguardian.com/world/2018/jan/22/rohingya-muslims-repatriation-back-to-myanmar-postponed]. Di samping itu, perincian terhadap nasib Muslim Rohingya yang kembali ke Arakan juga tidak dapat dipastikan, sekali gus menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi pembunuhan serta pembersihan etnik sepertimana yang pernah berlaku dahulu.

Meskipun pelarian yang dihantar pulang telah diberikan jaminan untuk kembali ke mana-mana rumah yang menjadi pilihan mereka, namun mereka akan ditempatkan di sebuah kem transit terlebih dahulu. Tentera Myanmar sebelum ini telah terbukti berusaha untuk memadamkan sebarang rekod serta dokumen yang menjadi bukti bahawa Muslim Rohingya merupakan penduduk asal wilayah Arakan. Apakah jaminannya bahawa perkara tersebut tidak akan terjadi setelah mereka diserahkan kepada tentera Myanmar?

Dalam pada itu, tentera Myanmar juga dilaporkan telah membakar perkampungan Rohingya sewaktu menjalankan operasi ketenteraan pada tahun lalu [The Guardian, diakses pada 22/1/2018-https://www.theguardian.com/world/2017/dec/18/myanmar-burned-rohingya-villages-after-refugee-deal-says-rights-group]. Jadi persoalan yang timbul ialah ke manakah mereka hendak kembali setelah kediaman mereka dimusnahkan oleh tentera kuffar Myanmar? Masih wujudkah “mana-mana rumah yang menjadi pilihan” seperti yang dinyatakan dalam persepakatan tersebut? Atau sebenarnya mereka akan dibiarkan hidup merempat dalam tempoh masa tertentu, sebelum mereka dizalimi semula setelah dunia mulai melupakan nasib mereka kelak?

Sungguhpun demikian, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina pula dilaporkan tidak sabar-sabar hendak menghantar semula Muslim Rohingya ke Myanmar, seperti kenyataan beliau dalam perbualan sewaktu menerima kunjungan hormat Duta Switzerland ke Bangladesh yang baru, Rene Holenstein [Gulf Times, diakses pada 26/1/2018 – http://www.gulf-times.com/story/579425/Hasina-seeks-quick-return-of-Rohingya]. Bahkan Hasina telah pun mendesak agar kerajaan Myanmar menerima semula pelarian Rohingya semenjak September 2017 lagi. Sikap keji Hasina ini tidak dapat disembunyikan lagi, meskipun cuba berselindung dengan ‘lakonan’ keprihatinan dan kepura-puraan beliau sewaktu berkunjung ke kem pelarian di Cox’s Bazaar pada tahun lalu. Mujurlah masih ada dalam kalangan umat Islam di Bangladesh dan segelintir masyarakat antarabangsa yang menyantuni pelarian Muslim Rohingya, walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Dianggarkan bahawa kos bagi menguruskan kem pelarian mencecah 1 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) setahun, suatu jumlah yang tidak mampu untuk ditampung oleh Bangladesh tanpa bantuan daripada luar [Dhaka Tribune, diakses pada 26/1/2017 – http://www.dhakatribune.com/bangladesh/2017/09/13/cost-house-rohingya-refugees/].

Sudah pasti keadaan ini akan menambahkan lagi beban terhadap negara yang mempunyai kepadatan penduduk antara yang tertinggi di dunia ini. Bahkan kesannya terhadap ekonomi setempat, khasnya di Cox’s Bazaar semakin ketara dengan peningkatan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan. Tambahan pula, Bangladesh bakal mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi. Sudah semestinya pihak-pihak yang bertanding akan berusaha untuk memenangi hati penduduk tempatan demi meraih undi mereka. Justeru, tidak menghairankan apabila Hasina begitu bersungguh-sungguh hendak menghantar pulang Muslim Rohingya dan melihat mereka sebagai beban yang boleh merosakkan pandangan umum terhadap pentadbirannya.

Penghantaran semula pelarian ini bukanlah yang pertama dalam sejarah Muslim Rohingya. Pada 1978, kerajaan Bangladesh pada waktu itu telah bertindak menahan bekalan makanan kepada pelarian dengan tujuan untuk mempercepatkan proses penghantaran semula Muslim Rohingya. Dilaporkan sejumlah 12,000 orang Muslim Rohingya telah terkorban sepanjang tempoh penghantaran semula berlangsung. Keadaan yang sama berulang kembali pada 1991 apabila kerajaan Bangladesh bertindak menyekat bantuan kemanusiaan daripada badan kebajikan antarabangsa bagi mempercepatkan proses penghantaran semula Muslim Rohingya. Apabila berlaku protes di kem pelarian bagi membantah penghantaran semula, mereka telah diusir menggunakan kekerasan dan ugutan.

Demikianlah nasib yang menimpa Muslim Rohingya. Mereka terpaksa menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar, dan apabila mereka mengharapkan pembelaan, mereka telah dikhianati oleh saudara seakidah mereka lalu diusir kembali untuk terus ditindas semula. Apakah setelah Muslim Rohingya pupus dari muka bumi, barulah umat Islam menyedari kesilapan kerana mengabaikan rintihan mereka?

Sesungguhnya, akar kepada permasalahan ini disebabkan oleh menebalnya sentimen nasionalisme yang membarah dalam tubuh umat Islam. Umat ini dipisah-pisahkan dengan garis sempadan palsu yang dipaksakan ke atas mereka oleh kolonialis kuffar. Akibat nasionalisme, masalah Muslim Rohingya dianggap sebagai “masalah luar negara” oleh umat Islam di negara lain. Muslim Rohingya dilihat sebagai “pelarian” dan “pendatang” di sisi mereka, tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada umat yang satu. Akibat nasionalisme jugalah, umat Islam berpecah-belah menjadi lemah tanpa berupaya melakukan pembelaan apabila ditindas.

Atas kelemahan ini jualah tentera Myanmar telah mengambil kesempatan untuk terus menzalimi Muslim Rohingya. Penyelesaian-penyelesaian yang dilaksanakan selama ini hanyalah bertujuan meringankan beban dan menyelamatkan mangsa (iaitu Muslim Rohingya) buat sementara waktu semata-mata. Dalam masa yang sama, tiada sebarang tindakan tegas diambil bagi mengajar kebiadapan pemangsa (iaitu tentera Myanmar) sekali gus menghentikan tindakan kezaliman yang dilakukan ke atas Muslim Rohingya. Natijahnya, kitaran keganasan ini akan terus berulang saban tahun. Inilah realiti yang terjadi, bukan hanya di Arakan, bahkan turut terjadi di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Republik Afrika Tengah, dan Kashmir. Tidakkah kita belajar daripada sejarah dan mengambil iktibar daripadanya?

Sudah tiba masanya umat Islam bergerak bagi menangani akar permasalahannya, bukan hanya mencari solusi ranting yang bersifat sementara. Campakkanlah nasionalisme dan bebaskanlah tubuh umat ini daripada belenggu sistem yang dipaksakan ke atasnya. Bersatulah di bawah kepimpinan yang ikhlas menerapkan syariat Islam dalam kerangka Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwwah. Yakni kepimpinan yang akan mengerahkan segala potensi umat ini bagi melindungi dan memayunginya daripada sebarang bentuk penindasan serta kezaliman. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia