Penghayatan Al-Quran Menuntut Pelaksanaan Syariat Islam, Bukan Sekadar Penerapan Nilai-nilai Murni Semata-mata

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya yang disampaikan bersempena sambutan Nuzul al-Quran telah menyarankan supaya umat Islam di negara ini menghayati ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan kehidupan. Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa kemurnian, kesucian serta kesejahteraan yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang dihormati jika dihayati sepenuhnya dalam kehidupan negara yang majmuk rakyatnya.

Dalam perkembangan yang sama, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa dengan berlandaskan al-Quran, pemerintahan dan pentadbiran akan mengandungi roh takwa sekaligus menyemai nilai ketelusan, keikhlasan, kejujuran dan integriti yang tinggi dalam jiwa hamba ketika melaksanakan tanggungjawab sesama manusia dan menyempurnakan amanah Allah SWT. Baginda bertitah sedemikian sewaktu majlis perasmian Masjid al-Ghufraniah dan sambutan Nuzul al-Quran di peringkat negeri Perak.

Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan kepada umat Islam adalah bertujuan untuk dijadikan panduan dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam aspek pemerintahan dan kenegaraan. Namun pada hari ini, al-Quran hanya dijadikan sebagai amalan ritual oleh sebilangan besar umat Islam di samping menjadi kayu ukur bagi nilai-nilai murni moral semata-mata. Pada hakikatnya, pemerintahan dan pentadbiran negara ini masih lagi diatur dengan sistem yang  tidak Islami dan berteraskan perlembagaan buatan manusia. Walhal al-Quran dengan jelas telah menyatakan bahawa hak untuk menggubal sebarang hukum hanyalah milik Allah SWT. Firman Allah SWT:

“…Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6): 57].

Penghayatan al-Quran menuntut kita untuk menerapkan seluruh syariat Islam dan bukan sekadar mengamalkan nilai-nilai murninya semata-mata. Bagaimana mungkin sesebuah negara itu dikatakan sebagai sebuah negara Islam seandainya keamanan dan hukum-hakamnya tidak berlandaskan syarak. Adapun mahkamah syariah yang ada dalam negara ini, ia hanya mempunyai bidang kuasa yang sangat terhad dan undang-undangnya juga masih dalam lingkungan ciptaan manusia. Ternyata kenyataan yang menguar-uarkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berlandaskan al-Quran itu tidak lebih daripada sekadar omong-omong kosong semata-mata sedangkan pada realitinya hukum syarak tidak menjadi sumber rujukan atau perundangan utama dalam sistem demokrasi kapitalisme di negara ini. Wallahua’lam.

Sumber:
1) Terus hayati ajaran Islam dalam al-Quran, Sinar Harian, akses pada 15/7/2014

2) Jadikan al-Quran rujukan urus tadbir, Sinar Harian, akses pada 15/7/2014